Wednesday 22 May 2019

AK 2 - HARI DILALUI TANPA BEKALAN AIR

Setiap hari menanti dengan penuh harapan agar penantian dan kepayahan ditanggung akan berakhir. Namun, kini telah masuk hari ke 63 hidup tanpa bekalan air paip. Bermakna setiap hari terpaksa memunggah air dari tangki yang disediakan oleh Air Kelantan Sendirian Berhad (AKSB).

Bermula 20 Mac 2019, setiap hari ambo tidak gagal untuk memunggah air bagi keperluan harian, kecuali tiga hari ketika pergi ke Selangor. Di Selangor biarpun dikhabarkan juga sering mengalami masalah gangguan bekalan air, namun sepanjang berada di sana, ambo dapat mandi sepuasnya.

Tempoh 63 hari tanpa bekalan air satu tempoh yang menghuru-harakan. Apa tidaknya kerana dalam tempoh masa itu, 17 hari adalah bulan Ramadan.

Bayangkan, sebelum sahur terlebih dahulu kena punggah air. Kalau tidakpun, sebelum tidur pukul 11 malam kena punggah air. Pernah juga pukul 2.00 pagi kena punggah air apabila bekalan di rumah habis. Dalam keadaan letih lewat petang menanti waktu berbuka juga kena punggah air.

Malah, luar dari kebiasaan apabila berada di masjid berharap agar rasa nak berak supaya boleh guna tandas di masjid untuk jimat air di rumah. Begitu juga bila pergi ke rumah keluarga akan masuk ke tandas.

Kurang dua minggu lagi bakal tiba 1 Syawal yang disambut gembira. Namun, jika keadaan gangguan bekalan air ini berlanjutan, sudah pasti kemeriahan Aidilfitri akan terganggu.

Semoga AKSB akan melakukan sesuatu yang dapat menyelesaikan masalah ini.

No comments:

Post a Comment