Kejadian empat remaja perempuan ditahan polis
berhubung kes video tular perbuatan biadab memijak al-Quran di Kampung Gobek
Gual Ipoh, Tanah Merah memang amat mengejutkan.
Hasil siasatan awal mendapati remaja yang
memijak al-Quran itu dipaksa oleh rakan perempuannya sebagai salah satu kaedah
'bersumpah' berkaitan perbuatan hubungan seks dengan seorang lelaki.
Gara-gara bimbang keselamatan diri, dia
mendakwa terpaksa melakukannya seperti terkandung dalam klip rakaman video yang
tular.
Soal siapa yang bersalah, sama ada yang
memaksa atau dipaksa, perbuatan itu tidak wajar. Bahkan, 'babak' dalam rakaman
itu menampakkan seperti ia 'main-main'.
Kejadian itu amat serius sebagai satu bukti
parahnya masalah moral remaja sekarang. Kejahilan dan kurang didikan agama
adalah punca masalah itu terjadi.
Sekitar tahun 1990 an hingga 2010 kita
berdepan dengan masalah remaja terlibat dengan Kumpulan Black Mantel sehingga
timbulnya Kumpulan Jangan Ikut Tuhan (JIT).
Mereka terpengaruh dengan kumpulan di luar negara
dan berkembang di Malaysia dengan wujud pengikutnya sendiri. Mereka terlibat
menjadikan al-Quran sebagai 'bahan' dalam beberapa aktiviti ritual seperti
sumpah dan ikrar.
Dalam aktiviti tersebut, al-Quran akan
dikoyakkan, dibakar atau dijadikan alas untuk melakukan perbuatan ditegah
agama.
Kejadian dahulu dan yang terbaru berlaku
adalah disebabkan kejahilan tentang kedudukan al-Quran yang sepatutnya
dimuliakan. Kita sepatutnya meletakkan al-Quran pada tempat tinggi dan bukannya
dipijak.
Malah, adab memegang hendaklah dilakukan dengan
'pandangan' dan perasaan bahawa ia adalah sesuatu yang mulia sesuai dengan kedudukan
al-Quran sebagai kalam Allah.
Usah mencari dan menunding jari salah siapa atas
apa yang berlaku, menjadi tanggungjawab semua pihak agar perkara sama tidak berulang
lagi.
Ketika kita sentiasa meletakkan kesalahan kepada
bukan Islam tentang sesuatu yang dianggap menghina Islam, amat malang sekali ia
dilakukan oleh orang Islam sendiri.
No comments:
Post a Comment