Sunday 29 September 2019

SEGERA LAKUKAN KEBAIKAN TANPA BERTANGGUH


Manusia diperintahkan melakukan kebaikan dan menjauhkan perbuatan mendatangkan keburukan. Amalan itu perlu disegerakan jika ada kesempatan melakukannya.

Allah SWT berfirman: “Dan segeralah kamu kepada (mengerjakan amal baik untuk mendapat) keampunan Tuhan kamu dan (mendapat) syurga yang keluasannya segala langit dan bumi, yang disediakan bagi orang bertakwa”. (Ali Imran: 133)

Allah SWT memberi panduan supaya Muslim tetap mengisi masa selepas menunaikan sesuatu amalan dengan amalan lain yang berfaedah dan berkebajikan.

Firman-Nya: “Kemudian apabila engkau selesai (daripada sesuatu amal salih), maka bersungguh-sungguhlah engkau berusaha (mengerjakan amal salih lain). (Al-Insyirah: 7)

Dengan kata lain, kita tidak hanya berpuashati dengan kebaikan yang telah dilakukan. Sebaliknya akan terus berusaha melakukan kebaikan itu berulang-ulang dan meningkatkan tahap kebaikan itu.

Sesungguhnya, masa tidak menanti kita. Kita perlu mengisi masa dengan melakukan kebaikan. Apabila berpeluang melakukan kebaikan, maka bersegeralah.

Sikap menangguhkan tugas yang perlu dilakukan akan membawa kepada kesan buruk. Semakin lambat menyelesaikan masalah, kemajuan akan terencat, sedangkan semakin cepat menerajui aktiviti, kemajuan segera berada di depan mata.

Rasulullah SAW bersabda: “Sesiapa yang suka melambat-lambatkan pekerjaannya, maka tidak akan disegerakan hartanya”. (HR Muslim)

Dalam hadis lain, perintah bersegera melaksanakan kebaikan disampaikan Baginda: “Segeralah melakukan amal salih (kebajikan), (kerana) akan berlaku fitnah seumpama malam gelap-gelita. Dalam keadaan itu, terdapat seseorang pada paginya mukmin, petangnya menjadi kafir. Begitu juga sebaliknya seseorang yang petangnya kafir, kemudian paginya, menjadi Mukmin. Dia menjual agamanya demi kepentingan dunia sedikit.” (HR Muslim)

No comments:

Post a Comment