Saturday 28 September 2019

SEMINAR MOTIVASI TIDAK MENEPATI DISIPLIN ILMU AKIDAH


Lambakan motivator yang membawakan tema keagamaan dari satu sudut, memberikan impak positif kepada suasana beragama di Malaysia.

Walaubagaimanapun, ada beberapa kelompangan daripada sudut yang lain terutamanya daripada aplikasi sumber yang kurang menepati disiplin ilmu terutamanya dalam akidah dan syariah.

Antara contohnya adalah Fatwa Berkenaan Dengan Kursus ESQ Leadership Training Dan Fahaman Yang Seumpama Dengannya yang telah diwartakan pada tahun 27 Ogos 2009 oleh Majlis Perundingan Hukum Syarak Wilayah Persekutuan dalam Mesyuarat Perundingan Hukum Syarak Wilayah Persekutuan kali ke-75.

Mendakwa sesuatu sebagai ajaran agama tidak boleh dilakukan sewenangnya. Apa sahaja yang disandarkan kepada agama, hendaklah dibawakan buktinya sebagaimana kaedah menyebut: “Sekiranya kamu menyatakan sesuatu hendaklah kamu mensahihkan dahulu berita itu, dan sekiranya kamu mendakwa hendaklah kamu menyatakan dalil atau bukti.”

Perlunya pihak-pihak berwajib seperti Pertubuhan Perunding Latihan & Motivasi Muslim Malaysia (TAMRIN) untuk duduk semeja bagi menyelaraskan dan mengemaskini modul-modul latihan dan motivasi agar ianya berada atas landasan al-Quran dan al-Sunnah serta apa sahaja yang bersesuaian tanpa bercanggah dengan kedua-duanya.

Masalah-masalah berhubung Syariat Islam dalam seminar motivasi dan pembangunan diri, tidak hanya tertumpu kepada seminar tertentu sahaja, tetapi mungkin juga berlaku dalam seminar-seminar yang lain.

Dalam membahaskan sesuatu isu hukum, memahami hakikat dan realiti semasa sesuatu yang ingin dihukumkan itu adalah amat penting. Kaedah fiqh menyebutkan: “Menghukum sesuatu perkara adalah cabang daripada gambaran mengenainya.”

Ertinya, mana-mana pihak tidak boleh menjatuhkan hukum terhadap suatu perkara melainkan setelah pihak tersebut memahami gambaran sebenar akan perkara yang dibincangkan itu.

Nasihat Kepada Penggemar Motivator dan Perunding Latihan Muslim
Motivator dan agamawan bukanlah berada pada kelompok yang sama.

Begitu juga jika dilihat dengan lebih teliti, pendakwah juga ada yang berlatarbelakangkan agama dan sebaliknya. Tahap kefahaman dalam agama juga adalah berbeza bergantung kepada latarbelakang pendidikan, pengalaman dan usaha mereka sendiri dalam memahami ilmu agama.

Justeru, tidak wajar bagi audien untuk menerima segala-galanya tanpa menilai semula apa yang didengari daripada motivator dan perunding latihan. semata-mata kerana mereka menggunakan ayat-ayat al-Quran dan Hadith.

Kaedah ini difahami daripada nas-nas al-Quran, antaranya sebagaimana yang ditegaskan oleh Allah SWT dalam surah al-Isra ayat 36 bermaksud: “Dan janganlah engkau mengikut apa yang engkau tidak mempunyai pengetahuan mengenainya; sesungguhnya pendengaran dan penglihatan serta hati, semua anggota-anggota itu tetap akan ditanya tentang apa yang dilakukannya.”

Syeikh Muhammad Amin al-Syanqiti menjelaskan bahawa dalam ayat ini Allah SWT menegah manusia daripada mengikuti sesuatu tanpa ilmu.

Syeikh Abdurrahman al-Sa’di pula mengatakan ia bermaksud supaya manusia tidak melakukan sesuatu tanpa ilmu, bahkan perlu memastikan kebenaran setiap apa yang dikata dan dilakukan. Sesungguhnya itu merupakan petanda kepada pendapat yang baik dan kekuatan berfikir.

Hal inilah yang memerlukan satu usaha awal daripada orang awam yang berminat dan seminar dan kursus sebegini untuk memantapkan asas-asas agama terlebih dahulu sebelum mengikut mana-mana seminar motivasi dan pembangunan diri.

ikuti kupasan panjang lebar di sini: 

No comments:

Post a Comment