Kepentingan ilmu. Umat Islam perlu merebut peluang kelebihan
memiliki ilmu. Keghairahan dan berahi menuntut ilmu perlu menjadi budaya di
kalangan umat Islam. Dengan kekuatan akal dan ilmu meletakkan kedudukan seseorang pada
tahap lebih baik. Mereka dapat memahami matlamat hidup dan patuh kepada
perintah Maha Pencipta.
Firman Allah SWT bermaksud: “Katakanlah: “Adakah sama orang-orang
yang mengetahui dengan orang-orang yang tidak mengetahui?” Sesungguhnya
orang yang berakallah yang dapat memahami.” (Surah az-Zumar ayat 9).
Seharusnya orang Islam tidak melepaskan
peluang untuk berjihad melalui menuntut ilmu. Satu jihad yang amat penting
dilaksanakan setiap Muslim bagi mengembalikan kedudukan Islam pada tahap
kegemilangan.
Skop dan maksud jihad tidak hanya apabila
berperang menegakkan Islam. Tindakan sesetengah orang menyertai kumpulan
tertentu di luar negara atas alasan berjihad tidak menepati tuntutan Islam.
Tindakan mereka membunuh sesama Islam tidak termasuk dalam erti jihad.
Adalah lebih mudah kita berjihad dengan
menuntut ilmu. Sedangkan kebaikannya amat besar dan boleh dikongsikan dengan
orang lain. Orang berilmu boleh mengajar dan kongsi ilmu dengan orang lain. Itu
sebahagian amalan yang memberi kebaikan berkekalan biarpun selepas meninggal
dunia.
Jangan kita lepas peluang untuk mempelajari
sesuatu kebaikan.
Sabda Rasulullah SAW bermaksud: “Barangsiapa
yang memasuki masjid kami ini (masjid Nabawi) dengan tujuan mempelajari
kebaikan atau mengajarkannya, maka ia laksana orang yang berjihad di jalan
Allah. Dan barangsiapa yang memasukinya dengan tujuan
selain itu, maka ia laksana orang yang sedang melihat sesuatu yang bukan
miliknya.” (Hadis riwayat Ibnu Hibban, Ibnu Majah dan Ahmad).
Sabda Rasulullah SAW lagi yang maksudnya: "Siapa yang keluar
untuk menuntut ilmu maka ia berjuang fisabilillah hingga ia kembali".
(Hadis riwayat Tirmizi).
Hari ini kedudukan umat Islam lemah antara lain berpunca kurang
penguasaan ilmu moden. Umat Islam menjadi pengguna kepada ciptaan umat lain.
Jadi, sudah tentu apa yang digunakan itu bukan yang terbaik untuk umat Islam.
Proses mencari ilmu paling mudah dan berkesan
ialah melalui pembacaan kerana ia dapat dilakukan bila-bila masa dan di mana
saja.
Memiliki buku bermakna sentiasa bersama
sahabat yang bersedia mencurah ilmu bila-bila masa. Mereka yang menolak buku
daripada menjadi kawan sebenarnya menolak 'kekayaan' yang terdapat di dalam
setiap buku.
Malaikat Jibril ketika menyampaikan wahyu pertama menyuruh
Rasulullah SAW 'membaca'
biarpun baginda sebenarnya tidak boleh membaca.
Perintah itu adalah simbolik untuk menyatakan betapa pentingnya
membaca untuk mendapatkan ilmu. Melalui pembacaan membolehkan manusia
mengetahui apa yang tidak diketahui sebelumnya.
Firman Allah SWT bermaksud: “Bacalah atas nama Tuhanmu yang
menjadikan manusia dari segumpal darah. Bacalah, Tuhanmu itu Maha Pemurah
yang telah mengajarkan dengan pena pengetahuan yang manusia belum ketahui.”
(Surah al-Alaq ayat 1 hingga 5).
No comments:
Post a Comment