Umat Islam pernah mencapai tamadun tertinggi
pada zaman pemerintahan Kerajaan Abbasiyah (750 - 1258) yang berpusat di
Baghdad.
Kecemerlangan tradisi keilmuan Islam telah
melahirkan ahli ilmuan yang menyumbangkan jasa kepada seluruh dunia Islam dan
terus dikagumi hingga sekarang.
Nama seperti al-Kindi, al-Farabi, Ibn Sina, al-Khawarizmi,
al-Razi, al-Fatah, Ibn Rusyd dan al-Biruni terkenal dengan pertemuan dan
penciptaan baru. Hasil usaha ilmuan Islam menjadi asas kepada
perkembangan ilmu di Barat yang terus cemerlang sehingga sekarang.
Ketika umat Islam telah mencapai kecemerlangan ilmu yang paling
hebat, masyarakat Barat masih diselimuti kejahilan dan jauh ketinggalan
berbanding orang Islam dalam bidang Ilmu.
Pelajar dari kawasan Eropah banyak tertumpu di bandar-bandar
ilmu seperti di Cadrova, Baghdad dan Damsyik.
Barat ketika itu berada dalam fasa era Zaman Pembaharuan yang
begitu aktif untuk meninggalkan sepenuhnya Zaman Kelam.
Sebab itu, pelajarnya sanggup menggembara mencari ilmu walaupun
di daerah yang cukup asing bagi mereka dari segi agama, bahasa dan budaya.
Ilmuan Eropah telah mengambil inisiatif besar menterjemah malah
mempelajari pelbagai jenis ilmu dari dunia Islam di Cardova, Baghdad dan
Damsyik. Ilmu-ilmu yang diterjemah itu merangkumi pelbagai bidang
seperti falsafah, perubatan, astronomi, matematik, algebra dan sebagainya.
Berbekalkan kepada kemahiran yang diperoleh dari dunia Islam,
membawanya ke negara masing-masing dan tertubuhnya banyak universiti di sana
seperti Universiti Paris dan Universiti Oxford yang cukup terkenal sehingga
sekarang.
Ilmuan Barat menambah baik penemuan dalam ilmu-ilmu yang mulanya
diterokai oleh sarjana Islam. Tambahan lagi, di dunia Islam sendiri
ilmu itu tidak lagi dapat dikembangkan apabila Baghdad jatuh kepada bangsa
Tartar.
Banyak sarjana Islam terbunuh dalam penaklukan ganas
itu. Manakala buku dan karya agung sarjana Islam di bakar dan
dibuang ke dalam sungai.
Sarjana Barat yang terlibat meneruskan kajian berdasarkan kepada
kajian atau penemuan awal sarjana Islam telah mengubah alam Barat kepada dunia
keilmuan dan masyarakat lebih bertamadun.
Hasilnya sarjana Barat lebih disanjung apabila mencapai tahap
dan penemuan baru yang dianggap hasil usaha asal mereka.
Umat Islam dapat kembali menguasai tamadun dunia jika seluruh
umat Islam kembali kepada ajaran agama yang menekankan kepada usaha pencarian
ilmu.
Ilmu sentiasa berkembang dan ditingkatkan kepentingannya.
Sesiapa dapat menceburi bidang baru, dia akan mendapat manfaat untuk
dikongsikan dengan orang lain.
Dengan kata lain, dunia ilmu semakin diterokai, maka lebih
banyak manfaatnya. Tidak akan ada sempadan ilmu yang menghadkan
peluang untuk orang mengkajinya.
Sebab itu, tidak ada istilah telah terlewat dalam pengkajian
ilmu. Seseorang pengkaji dianggap lebih berwibawa apabila dapat menemui
sesuatu yang baru.
Memulihkan tradisi keilmuan dan bersatu memperjuangkan
kepentingan seluruh umat Islam merupakan senjata paling ampuh menaikkan kembali
maruah Islam.
Kedudukan umat Islam jauh ketinggalan berbanding agama
lain. Hal ini berpunca kurang bilangan ilmuan Islam dan juga dari
segi kekuatan ekonomi.
Kita perlu merebut peluang dijanjkan Allah SWT dalam
meningkatkan kedudukan dengan menggunakan ilmu.
Firman Allah SWT dalam surah al-Mujadalah ayat 11 bermaksud:
“Allah meninggikan darjat orang-orang beriman di antara kamu dan orang-orang
yang diberi ilmu pengetahuan beberapa darjat.”
Kepentingan mencipta kecemerlangan pelbagai bidang merupakan
satu jihad atau dilakukan bersungguh-sungguh kerana Allah SWT. Tanpa
semangat jihad, umat Islam tidak dapat menandingi keupayaan pihak lain.
Amat malang sekarang ini umat Islam lebih banyak bergaduh sesama
sendiri berbanding cuba meningkat ilmu.
Manusia tanpa kekuatan ilmu lebih mengharapkan kepada kekuatan
'keras kepala' untuk menegakkan sesuatu perkara. Mereka terus
berpegang kepada sesuatu perkara walaupun telah lapuk dan tidak lagi releven
dengan keperluan semasa.
No comments:
Post a Comment