Sunday, 15 January 2017

Ibu bapa punca pelajar ponteng sekolah

Antara punca kes pelajar ponteng sekolah disebabkan sikap ibu bapa. Ketika di sekolah rendah ibu bapa lebih memberi perhatian kepada anak mereka. ibu bapa sanggup hantar anak ke sekolah sama ada dengan menaiki kenderaan atau berjalan kaki. Alasannya, anak masih kecil dan berbahaya jika dibiarkan berseorangan berjalan kaki ke sekolah.

Bagaimanapun, sikap ibu bapa berubah apabila anak masing-masing belajar di Tingkatan Satu. Anak diberi banyak kebebasan. Alasannya anak sudah besar dan perlu berdikari.

Di sinilah dilema ponteng sekolah bermula kerana dalam usia semuda itu tentu mereka masih belum dapat menilai sesuatu perkara itu buruk atau baik. Kemudian tanpa disedari mereka terbabit dalam kegiatan tidak sihat seperti merokok dan sebagainya.

Anak yang diberi kebebasan terus mengambil kesempatan daripada kecuaian ibu bapa mereka. Masalah itu menjadi lebih serius apabila ada segelintir ibu bapa kurang mengambil tahu gerak-geri anak masing-masing.

Ibu bapa juga kurang mengetahui perkembangan anak mereka kerana tidak pernah membabitkan diri dengan aktiviti di sekolah walaupun dipanggil pihak sekolah.

Yang menyedihkan, ada ibu bapa masih tidak sedar ‘kecurangan’ yang dilakukan anak mereka kerana langsung tidak memberi ‘respon’ kepada surat amaran yang dikeluarkan pengurusan sekolah terhadap anak mereka yang didapati melakukan kesalahan ponteng terlalu kerap.

Keadaan ini secara tidak langsung menunjukkan bahawa ibu bapa pelajar berkenaan langsung tidak mengambil berat akan hal ehwal anak mereka. Keadaan ini juga memberikan rangsangan kepada pelajar berkenaan untuk terus ponteng sehingga akhirnya terpaksa diberhentikan persekolahannya. 

Sekiranya masalah ini tidak diatasi dengan segera, peratus pelajar ponteng pasti akan meningkat dan akan menggugat cita-cita kerajaan untuk mewujudkan rakyat yang berpendidikan tinggi, cerdas dan pintar, sekali gus masalah ini akan membantutkan kemajuan negara.

No comments:

Post a Comment