Perasaan
malu perlu disuburkan bukan setakat sesama manusia. Malah lebih penting
perasaan malu itu ditujukan kepada Allah SWT. Muslim sejati tidak akan
melakukan sebarang perbuatan yang ditegah, sama ada secara terang atau
sembunyi. Malu melakukan perkara ditegah sebagai tanda keimanan.
Diriwayatkan
oleh Baihaqi bahawa Rasulullah bersabda bermaksud: “Malu dan amanah adalah
perkara yang mula-mula sekali hilang dari dunia ini, sebab itu mintalah dengan
Allah untuk kedua-duanya.”
Orang yang beriman yakin setiap apa yang dilakukan
olehnya adalah dalam pengetahuan Allah SWT dan tidak dapat disembunyikan
daripada-Nya. Sebab itu sama secara terang maupun sembunyi, dia tidak akan
melakukan apa-apa perbuatan yang memalukan.
Sabda Rasulullah SAW bermaksud: “Malu itu datangnya
daripada keimanan, dan iman itu membawa ke syurga. Dan sebaliknya adalah
membawa kepada neraka.” (Hadis riwayat Bukhari).
Perasaan malu mempunyai kaitan secara langsung dengan
ketakwaan. Muslim yang patuh kepada larangan Allah SWT memperlihatkan tahap
ketakwaan yang tinggi. Dia malu melakukan perbuatan dosa sebagai mematuhi
larangan Allah SWT.
Marilah kita semua menghiasi diri dengan perasaan malu
sebagai lambang kepada keimanan dan ketakwaan kepada Allah SWT. Manfaat
daripada sifat malu diperoleh ketika hidup di dunia dan akhirat.
Di dunia ini orang yang bersifat malu tidak akan ditimpa
kehinaan disebabkan dirinya sentiasa menjauhi daripada pebuatan yang
menyebabkan dipandang hina. Sedangkan di akhirat nanti pula dirinya mendapat
pembalasan sebaik-baiknya daripada Allah Yang Maha Pembalas dan Maha Adil.
Firman Allah SWT dalam surah an-Najm ayat 39 - 41
bermaksud: “Dan bahawa sesungguhnya tidak ada (balasan) bagi seseorang
melainkan (balasan) apa yang diusahakan. Dan bahawa sesungguhnya usahanya
itu akan diperlihatkan (kepadanya pada hari kiamat kelak). Kemudian usahanya
itu akan dibalas dengan balasan yang amat sempurna.”
No comments:
Post a Comment