Zakat fitrah menjadi pelengkap
kepada kesempurnaan ibadat puasa. Ibadat puasa tanpa sempurna zakat fitrah
adalah ibadat yang cacat, tidak layak diangkat sebagai ibadat orang bertakwa.
Zakat fitrah juga berbeza
berbanding zakat harta, zakat ternakan, zakat perniagaan, zakat galian, zakat
simpanan dan zakat pertanian yang mana hanya diwajibkan kepada yang memiliki
sejumlah hasil agak banyak.
Zakat fitrah diwajibkan kepada
semua individu Muslim, tidak kira kecil, miskin maupun hamba. Zakat fitrah
bukan hanya diwajibkan kepada golongan kaya seperti difahami kebanyakan orang.
Ini jelas membuktikan
kepentingan zakat fitrah kepada setiap Muslim dan seluruh masyarakat yang
mendapat manfaatnya. Sesungguhnya kefarduan zakat fitrah menguji ketakwaan dan
keikhlasan yang tiada tandingannya.
Tanpa menunaikan zakat fitrah,
diri seseorang masih dalam keadaan tidak bersih sepenuhnya. Sebab itu fitrah
bererti suci bersih.
Zakat fitrah wajib ditunaikan
bagi setiap orang yang dikira masih mempunyai makanan mencukupi untuk diri dan
tanggungannya pada hari Aidilfitri.
Kefarduan zakat fitrah turut
menyenaraikan golongan miskin wajib menunaikan bagi dirinya dan juga
tanggungannya. Hanya golongan fakir, yakni golongan paling miskin yang tidak
mempunyai bekalan makanan untuk dimakan pada keesokannya tidak diwajibkan
membayar zakat fitrah.
Amat jelas sekali kefarduan
zakat fitrah memerlukan pengorbanan yang amat tinggi, terutama di kalangan
orang miskin. Pada kebiasannya, golongan miskin menjadi kelompok utama menerima
zakat, sedekah dan bantuan, tetapi bagi zakat fitrah mereka turut menjadi
golongan memberi.
Di sebalik kefarduan zakat
fitrah memperlihatkan betapa Islam amat mementingkan kepada pembinaan ummah
yang sejahtera, tidak mementingkan diri, serta kepatuhan kepada hukum biarpun
dalam keadaan kurang mampu.
Ketika kita merasa kurang
mampu, mungkin ada orang lain yang lebih memerlukan daripada kita. Sikap
sanggup berkorban untuk membantu orang yang lebih daif daripada kita amat
mulia.
Untuk melahirkan ummah yang
kuat dan berpadu hendaklah menjauhkan sikap mementingkan diri. Melalui
kefarduan berzakat fitrah diharapkan perpaduan umat Islam berada dalam keadaan
lebih kukuh dan padu, lebih-lebih lagi ketika menyambut Aidilfitri yang menjadi
lambang kejayaan melawan hawa nafsu.
Ingatlah, kegembiraan menyambut
Aidilfitri tidak lengkap selagi tidak melaksanakan zakat fitrah untuk diri
sendiri dan orang di bawah tanggangan. Berzakat fitrahlah untuk menyempurnakan
Ramadan dan ibadat puasa.
No comments:
Post a Comment