Terdapat individu tidak malu melakukan perbuatan jahat
disebabkan tidak memahami bahawa perbuatan itu menyalahi syariat. Individu
berkenaan dipanggil jahil dalam agama dan perlu dibimbing agar tidak mengulangi
kesalahan yang telah dilakukan itu.
Biasanya golongan muda mudah terpengaruh dengan perbuatan
dosa atas alasan hidup alam muda untuk bersuka-ria dan menikmatinya sebelum
usia tua. Mereka mendakwa akan bertaubat dan melakukan kebaikan apabila usia
tua.
Rasulullah SAW bersabda bermaksud: “Apabila seseorang
menyertakan keghairahan atau tarikan berahi kepada setiap perkara yang
dilakukan, ia akan menjadi keburukan, dan apabila malu disertakan dalam setiap
perbuatan ia akan menjadi indah.” (Hadis riwayat Tirmizi).
Dewasa ini terlalu banyak orang semakin ‘tidak malu’
melakukan perkara bertentangan dengan tuntutan agama. Perbuatan yang
dilakukan tidak melambangkan kematangan fikiran dan kedudukan yang sepatutnya
dijaga.
Amat malang apabila pemimpin politik, pegawai tinggi
kerajaan dan orang ternama terjebak melakukan perbuatan tidak bermoral seperti
berzina, rasuah dan salah guna kuasa.
Setelah perbuatan buruk mereka didedahkan kepada umum,
baru timbul perasaan malu. Kita dapat lihat bagaimana orang yang dihadapkan ke
mahkamah akan cuba mengelak wajah mereka dirakamkan pihak media agar perbuatan
salah itu diketahui umum.
Malah ada si dituduh memohon perintah mahkamah agar media
tidak membuat liputan perbicaraan yang melibatkan dirinya. Petugas media
dihalang oleh ahli keluarga atau rakan si dituduh daripada menjalankan tugas
membuat liputan. Kerapkali perbuatan ini menimbulkan keadaan kecoh dan tegang
sehingga memaksa pihak keselamatan campur tangan.
Alangkah eloknya, jika perasaan malu itu lahir sebelum
si dituduh melakukan perbuatan buruk itu. Perasaan mulu dari awal akan
mendatangkan kesedaran dan keinsafan agar menghindarkannya daripada perbuatan
buruk itu. Tindakan bijak itu dapat menyelamatkan maruah diri daripada
tercalar.
No comments:
Post a Comment