Setiap perbuatan bergantung kepada
niatnya. Semua amalan dilakukan mesti dimulai dengan niat atau keyakinan diri
apa yang dilakukan untuk melaksanakan perintah Allah. Taraf sesuatu perbuatan
bergantung kepada niat ketika mula dan semasa melakukan perbuatan itu.
Rasulullah bersabda bermaksud:
“Sesungguhnya setiap amalan itu bermula dengan niat dan perhitungan ke atas
amalan seseorang itu berdasarkan kepada niatnya.” (Hadis riwayat Bukhari dan
Muslim).
Para ulama menjelaskan bahawa niat
di dalam hati adalah roh bagi segala amalan yang ingin dilakukan manusia. Tidak
mungkin badan dapat bergerak tanpa roh. Begitu juga tidak wujud keikhlasan
tanpa niat yang ikhlas.
Tanpa niat, bermakna perbutan itu
berlaku secara spontan. Apa yang dilakukan tidak dikira satu kebaikan jikapun
apa yang dilakukan itu satu kebaikan. Dalam konsep undang-undang tidak mensabit
kesalahan jika dilakukan tanpa niat.
Dalam kaedah fikah, amalan tanpa
niat adalah batal atau tidak sah. Sebab itu, semua ibadat meletakkan niat
sebagai rukun.
Dalam ibadat khusus seperti
sembahyang, puasa, zakat dan haji, niat mestilah dilakukan pada permulaan
ibadat dan diteruskan sehingga selesai. Jika terlupa niat pada permulaan, maka
ibadat itu tidak sah dan perlu diulangi pada permulaan semula dengan niat yang
betul.
Tetapi, dalam melakukan kebaikan
lain, niat untuk kebaikan boleh dilakukan pada bila-bila masa, yakni selepas
menyedari apa yang dilakukan itu pada mulanya sekadar satu tindakan spontan. Soal
balasan kebaikan hanya Allah yang menilainya. Allah mengetahui apa yang
tersimpan di dalam hati kita sama ada ikhlas atau sebaliknya.
Hendaklah diniatkan apa yang
dilakukan adalah semata-mata kerana Allah. Apa yang dilakukan adalah sebagai
tanda beribadat dan mengabdikan diri kepada-Nya. Apa yang dilakukan diharapkan
agar dapat menempatkan diri sebagai hamba yang bertakwa.
Firman Allah bermaksud: “Tidak akan
ciptakan jin dan manusia, melainkan hanya untuk beribadat kepada-Ku.” (Surah
adz-Dzariyat, ayat 56).
Niat dalam hati mestilah sama dengan
apa yang ingin dilakukan. Jangan niat lain tetapi yang lain pula dilakukan. Lainlah
jika apa yang diniatkan itu tidak mampu dilakukan setelah mencubanya. Manusia
tidak mampu menipu Allah apa yang tersimpan di dalam hati.
Firman Allah yang bermaksud:
“Sesungguhnya Kami ciptakan manusia dan Kami mengetahui apa yang dibisikkan
oleh hatinya. Kami lebih hampir kepadanya daripada urat lehernya.” (Surah Qaaf,
ayat 16).
Sesuatu dianggap sebagai satu niat
jika dilakukan dengan kerelaan diri sendiri. Sesiapa melakukan dengan sebab
terpaksa tidak dianggap melakukan apa yang diniatkan. Jadi, tidak ada balasan
kebaikan atas apa yang dilakukan secara terpaksa.
Orang yang melakukan kebaikan kerana
terpaksa tidak memperoleh balasan kebaikan. Dia hanya mendapat 'balasan'
daripada orang yang menyebabkan dia terpaksa melakukan amalan itu.
Kerja yang dilakukan dengan terpaksa
bukan sahaja tidak mendapat balasan kebaikan, bahkan sukar untuk menghasilkan
kejayaan. Apa yang dilakukan tidak secara bersungguh-sungguh. Pelakunya
merasakan sudah memadai sekadar siap atau melepasi tahap minimun yang
ditetapkan.
No comments:
Post a Comment