Monday, 17 September 2018

SIFAT IKHLAS HIAS PERIBADI MUSLIM


Sifat ikhlas perlu ditekankan agar menjadi hiasan peribadi muslim dalam kehidupan setiap hari. Keikhlasan menjadi penentu nilai kehidupan seseorang dalam melaksanakan tugas sebagai khalifah.

Keikhlasan bukan sekadar cakap-cakap di mulut. Apa yang dilakukan hendaklah mengikut garis panduan yang ditetapkan. Usah menipu diri sendiri dengan mengatakan apa yang dilakukan adalah ikhlas, sedangkan tidak menepati ciri-ciri ikhlas.

Tanda seseorang ikhlas dalam apa yang dilakukan dapat dinilai berdasarkan beberapa perkara:

Niat. Setiap perbuatan bergantung kepada niatnya. Semua amalan dilakukan mesti dimulai dengan niat atau keyakinan diri apa yang dilakukan untuk melaksanakan perintah Allah.

Rasulullah bersabda bermaksud: “Sesungguhnya setiap amalan itu bermula dengan niat dan perhitungan ke atas amalan seseorang itu berdasarkan kepada niatnya.” (Hadis riwayat Bukhari dan Muslim).

Para ulama menjelaskan bahawa niat di dalam hati adalah roh bagi segala amalan yang ingin dilakukan manusia. Tidak mungkin badan dapat bergerak tanpa roh. Begitu juga tidak wujud keikhlasan tanpa niat yang ikhlas.

Tanpa niat, bermakna perbutan itu berlaku secara spontan. Apa yang dilakukan tidak dikira satu kebaikan jikapun apa yang dilakukan itu satu kebaikan. Dalam konsep undang-undang tidak mensabit kesalahan jika dilakukan tanpa niat.

Dalam kaedah fikah, amalan tanpa niat adalah batal atau tidak sah. Sebab itu, semua ibadat meletakkan niat sebagai rukun.

Hanya kerana Allah. Setiap apa yang dilakukan mesti diniatkan hanya kerana Allah. Apa yang dilakukan adalah sebagai tanda beribadat dan mengabdikan diri kepada Allah. 

Firman Allah bermaksud: “Tidak akan ciptakan jin dan manusia, melainkan hanya untuk beribadat kepada-Ku.” (Surah adz-Dzariyat, ayat 56).

Niat dalam hati mesti sama dengan apa yang ingin dilakukan. Manusia tidak mampu menipu Allah apa yang tersimpan di dalam hati. 

Firman Allah yang bermaksud: “Sesungguhnya Kami ciptakan manusia dan Kami mengetahui apa yang dibisikkan oleh hatinya. Kami lebih hampir kepadanya daripada urat lehernya.” (Surah Qaaf, ayat 16).

Jika ada niat lain tersimpan di dalam hati, maka tidak adalah keikhlasan yang sebenar. Hanya orang yang melakukan dengan ikhlas diterima ibadatnya. Amalan tanpa disertakan keikhlasan tidak menjadi sebahagian daripada ibadat. 

Mengharapkan rahmat dan belas kasihan Allah. Sungguhnya setiap apa yang berlaku sepenuhnya di bawah kekuasaan Allah. Gantungkan harapan agar apa yang dilakukan mendapat rahmat dan belas kasihan Allah agar tercapai seperti apa yang diingini.

Sesiapa mengharapkan rahmat Allah tidak akan mempersia peluang melakukan ibadat. Setiap apa yang dilakukan dikira ibadat jika ikhlas mengharapkan rahmat Allah.   

Dengan kerelaan sendiri. Keikhlasan hanya wujud jika amalan dilakukan dengan kerelaan diri sendiri. Sesiapa melakukan dengan sebab terpaksa hanya mendapat 'balasan' daripada orang yang menyebabkan dia terpaksa melakukan amalan itu. Seharusnya setiap urusan hidup dan ibadah adalah kerelaan diri mencari keredaan-Nya.   

Kerja yang dilakukan dengan terpaksa tidak akan menghasilkan kejayaan. Apa yang dilakukan sekadar siap atau melepasi tahap minimun yang ditetapkan. 

Perkara ini banyak berlaku dalam pekerjaan yang bergaji tetap. Banyak atau sedikit produktiviti yang dihasilkan, mereka tetap mendapat gaji yang sama. Bahkan, mereka lebih suka jika tidak perlu melakukan kerja, tetapi masih dibayar gaji.  

Untuk kebaikan. Tidak termasuk perbuatan ikhlas jika tidak untuk tujuan kebaikan. Islam menegah sebarang perbuatan mendatangkan keburukan. Tidak ada perbuatan yang bertujuan mendatangkan keburukan yang boleh dinilai sebagai ikhlas. 

Seseorang yang melakukan perbuatan buruk disebabkan terpaksa atau darurat hendaklah dengan niat untuk kebaikan. Perbuatan itu dilakukan bukan kerelaaan atau sekadar suka-suka. Perbuatan buruk itu dilakukan pada tahap paling minimun.

Keikhlasan mendorong seseorang sentiasa mempunyai semangat untuk melakukan kebaikan. Setiap apa yang dilakukan pada hari ini diharapkan lebih baik daripada hari sebelumnya. Manakala hari esoknya akan lebih baik dari hari ini. 

Dilakukan dengan bersungguh-sungguh. Semua amalan, sama ada berkaitan urusan duniawi atau urusan ukhrawi, dilakukan bersungguh-sungguh untuk mendapat kebaikan yang maksimun.

Allah mencintai hamba-Nya yang melakukan sesuatu pekerjaan dengan bersungguh-sungguh. Kejayaan dan kesempurnaan bergantung kepada kesungguhan dan mengikut aturannya.

Ketekunan melakukan kerja dilakukan pada setiap masa biarpun tanpa pemerhatian atau pengawasan pegawai atasan. Dia melakukan seperti sentiasa ada orang memerhati dan menilai kerja itu.

Rasa tanggungjawab. Keikhlasan bukan boleh dipaksa-paksa. Keikhlasan turut diikuti dengan rasa bertanggungjawab atas setiap apa yang dilakukan. Keikhlasan tidak lahir jika tiada perasaan tanggungjawab terhadap sesuatu perkara yang dilakukan.

Ramai orang bersikap lepas tangan atau tidak mahu bertanggungjawab atas amanah yang perlu dilakukan. Mereka hanya mengaku itu kerja atau tanggungjawabnya jika perkara baik berlaku. Sebaliknya, pihak lain dipersalahkan jika berdepan dengan kegagalan.

Untuk kepentingan bersama. Biarpun apa yang dilakukan adalah bersifat individu, tetapi hakikatnya kebaikan daripada apa yang dilakukan adalah untuk dikongsikan dengan keluarga, jiran dan masyarakat seluruhnya.  

Hidup manusia menuju kehancuran jika tidak mahu berkongsi kebaikan dengan orang lain. Sikap bongkak dan merasakan apa yang diperoleh itu hasil usahanya sendiri akan menukar keikhlasan kepada berpura-pura.

Apa yang dilakukan hanya mengharapkan keuntungan untuk diri sendiri. Mereka sanggup menipu dan melakukan perbuatan yang ditegah. Nafsu yang menguasai diri menjadi raja menentukan apa yang perlu dilakukan.  

Muslim sejati sentiasa menyimpan hasrat untuk menghulurkan sumbangan yang besar kepada kejayaan ummah. Apa yang dilakukan semata-mata ikhlas, bukan mencari nama, pengiktirafan atau kepentingan peribadi. 

Setiap usaha yang dilakukan atas dasar ikhlas menimbulkan kekuatan rohani dan jasmani. Keikhlasan dan semangat juang yang kental membawa kepada kejayaan dalam semua usaha yang dilakukan. Orang yang ikhlas hanya mengharapkan pembalasan daripada Allah dan sentiasa melakukan yang terbaik.

No comments:

Post a Comment