Wednesday, 5 September 2018

ALASAN TIDAK MEROKOK


Kempen anti merokok yang diadakan tidak banyak mengubah tabiat atau ketagih merokok di kalangan perokok. Biarpun harga rokok dinaikkan setiap tahun, bilangan perokok tetap meningkat. Perokok tidak membantah kenaikan harga rokok, tidak seperti bantahan apabila harga barangana atau perkhidmatan mengalami kenaikan harga.

Terdapat alasan boleh dijadikan motivasi untuk tidak merokok. 

Merokok haram di sisi agama Islam. Hukum merokok bukan lagi makruh seperti difahami kebanyakan perokok. Muzakarah Majlis Fatwa Kebangsaan ke 37 pada 23 Mac 1995 telah memutuskan bahawa merokok adalah perbuatan haram di sisi agama Islam. Perbuatan itu wajib dijauhi setiap orang Islam.  Sesiapa merokok bermakna melakukan dosa dan siapa tidak merokok (disebabkan tahu ia berdosa) akan mendapat pahala.  

Merokok adalah satu jenayah terhadap diri sendiri. Perokok menjermuskan diri dalam jurang kebinasaan. Islam mengharamkan umatnya melakukan perbuatan yang mendatangkan mudarat. Tindakan menjauhkan diri sendiri dan keluarga dari kemudaratan adalah wajib dilakukan.

Mudaratkan diri sendiri. Umum diketahui perbuatan merokok mendatangkan mudarat kepada perokok dari segi kesihatan. Hakikatnya, tidak ada pihak menyangkalnya kerana di setiap kotak rokok tertulis: “Amaran Oleh Kerajaan Malaysia: Merokok Membahayakan Kesihatan”. 

Berdasarkan statistik dikeluarkan Kementerian Kesihatan Malaysia, setiap tahun 10,000 rakyat Malaysia mati akibat penyakit berkaitan dengan tabiat merokok. Jumlah itu besar berbanding kematian disebabkan penyakit lain. 

Kajian perubatan mendapati 90 peratus pengidap barah berpunca perbuatan merokok. Barah paru-paru adalah kanser paling tinggi berlaku di kalangan perokok. Barah paru-paru  pembunuh nombor satu di dunia. 

Individu mengidap barah paru-paru tidak mempunyai peluang panjang untuk terus hidup lama. Kira-kira 95 peratus pesakit barah paru-paru meninggal dunia dalam tempoh lima tahun selepas disahkan mengidapnya.  

Selain barah paru-paru, perokok juga terdedah kepada barah mulut, barah tekak, barah esofagus, barah rahim dan barah pankreas. Selain berkaitan barah, perokok juga mudah mendapat penyakit arteri jantung, tersekat saluran darah, kurang daya kecerdasan otak dan lemah tenaga batin.

Mudaratkan pihak lain. Individu yang berada di samping perokok juga mendapat kesan buruk perbuatan perokok. Mereka dipanggil perokok pasif, yang mana menyedup asap yang dibebaskan oleh perokok. 

Asap rokok yang dibebaskan oleh perokok dipanggil asap tembakau persekitaran (ETS).  Kajian Pertubuhan Kesihatan Sedunia mendapati ETS mengandungi 4,000 bahan beracun, di mana termasuk 22 bahan kimia, 12 agen penyebab barah dan 10 logam berat.

ETS memberi kesan rokok kepada perokok pasif lebih tinggi berbanding perokok sendiri. Perokok pasif mengalami tiga kali ganda kesan tar, sekali ganda jumlah karbon manoksida, tiga kali ganda nikotin dan 50 kali ganda bahan menyebabkan kanser.

Jadi, tidak tepat dikatakan tindakan perokok adalah urusan diri sendiri dan tidak melibatkan masalah kepada pihak lain. 

Mengganggu hubungan dengan bukan perokok. Biasanya individu bukan perokok sudah tentu tidak suka akan perokok yang merokok berhampiran mereka. Perasaan tidak puas hati akan mengganggu hubungan baik yang sedia terjalin. 

Dalam keadaan ini, bukan perokok yang tidak tahan dengan asap rokok terpaksa mengalah meninggalkan perokok. Sepatutnya, perokok perlu menjaga perasaan bukan perokok dan tidak merokok di situ. Jika ingin merokok, carilah tempat yang jauh daripada orang ramai. Sebab itu, kerajaan menguatkuasakan larangan merokok di tempat awam bertujuan menjaga hak orang ramai.   

Menjejaskan ekonomi perokok. Wang yang dibelanjakan untuk merokok terbakar tanpa memberi sebarang faedah. Bagi perokok berpendapatan rendah, wang yang digunakan untuk membeli rokok sekitar 50 peratus daripada pendapatan harian. Islam menegah perbuatan membazir dan membelanjakan wang kepada perkara sia-sia.

Ketika keadaan ekonomi semakin gawat sekarang, perokok akan lebih rasa tertekan sama ada memberi keutamaan memberi keperluan lain atau tetap setia dengan rokok. Dalam hal ini, kebanyakan perokok akan tetap setia dengan rokok walaupun terpaksa mengorbankan kepentingan lain.

Gangguan emosi. Perokok mengalami gangguan emosi setiap kali tidak dapat merokok dalam tempoh masa yang agak panjang. Mereka berada dalam keadaan gelisah dan tidak dapat menumpukan perhatian kepada tugas selagi tidak dapat merokok. 

Islam menganjurkan agar kita menjaga kesihatan minda. Merosakkan emosi samalah menolak nikmat akal yang dikurniakan Allah.

Mewariskan sikap buruk kepada ahli keluarga. Keluarga yang terdapat ahli keluarganya merokok mudah mewariskan tabiat buruk itu kepada ahli keluarga lain.

Permulaan didikan anak adalah contoh daripada ibu bapa. Sekiranya bapa atau ibu merokok, kemungkinan besar anak juga akan turut merokok. Perbuatan itu samalah mengajar agar anak turut melakukannya. Sebaliknya, bapa atau ibu yang tidak merokok akan melahirkan keluarga yang tidak merokok.   

Sikap pentingkan diri. Didapati perokok adalah golongan yang mementingkan diri sendiri. Perokok tidak kisah pendangan orang terhadap perbuatan itu. Apa yang penting mereka dapat terus merokok.

Perokok lebih pentingkan membeli rokok daripada membeli keperluan keluarga.  Banyak keluarga miskin tidak mendapat apa yang sepatutnya disebabkan lebih pentingkan membeli rokok.

Permulaan menghampiri dadah. Majoriti mereka yang terjebak dadah pada peringkat awalnya terlebih dahulu adalah penagih rokok. Perokok yang telah mati hatinya mudah melakukan perbuatan yang dianggap lebih mencabar.

Lambang keruntuhan akhlak. Perokok sentiasa dipandang negatif. Perokok di kalangan remaja menjadi lambang kerutuhan akhlak. 

Masyarakat Barat yang memperkenalkan industri rokok kini telah menolak amalan yang dahulu menjadi kegilaan ramai. Di Barat, perbuatan merokok kini dianggap perbuatan hina dan keji. Kempen anti merokok diadakan secara besar-besaran di negara Barat untuk memastikan rakyat mereka bebas dari rokok.

No comments:

Post a Comment