Thursday, 6 September 2018

BERUSAHA SEMPURNAKAN MATLAMAT HIDUP

Manusia diciptakan Allah bertujuan untuk menjadi hamba-Nya. Oleh itu segala matlamat hidup yang perlu dipatuhi oleh setiap Muslim ialah bagaimana untuk menjadi seorang hamba yang mentaati sepenuhnya segala perintah Allah SWT.

Firman Allah dalam surah adz-Dzariyat ayat 56 bermaksud: “Tidak Aku ciptakan jin dan manusia, melainkan untuk mereka menyembah dan beribadat kepada-Ku.”

Sesungguhnya kehidupan manusia tidak hanya setakat di dunia ini. Kehidupan yang sebenar dan kekal ialah di akhirat. Dunia ini hanya persinggahan sebentar untuk melaksanakan ‘ujian’ menentukan darjat setiap hamba-Nya.

Perumpamaan dunia ini hanyalah pelabuhan untuk pelayar mendapat sebanyak mungkin bekalan sebelum belayar di lautan luas. Ia juga seperti tempat rehat sementara yang bagi pengembara mengumpul semula kekuatan sebelum meneruskan perjalanan.

Rasulullah bersabda mengumpamakan dunia ini sekadar sepohon yang memberi tempat berteduh kepada pengembara. Maksud sabda Rasulullah: “Apakah erti dunia bagiku. Hubunganku dengan dunia ini laksana seorang pengembara yang sedang berjalan di bawah terik matahari. Apabila melihat sepohon pokok yang dapat dia berteduh, maka dia berada sejanak di situ.  Tetapi seketika kemudian dia meninggalkan tempat itu untuk meneruskan perjalanan.” - (Hadis riwayat Tarmizi).

Kehidupan manusia di dunia dizahirkan dengan adanya jasad atau anggota badan yang wujud dengan nyata membolehkan ia dilihat dan disentuh. Jasad merupakan ‘kenderaan’ bagi roh melaksanakan segala matlamat hidup.

Sedangkan kehidupan sebenar manusia tertumpu kepada roh. Roh merupakan unsur yang wujud tanpa bolah dilihat dan disentuh. Justeru kita mempercayai wujudnya roh berdasarkan penjelasan dalam al-Quran dan hadis.

Firman Allah bermaksud: “Katakanlah!  Bahawa roh itu daripada urusan Tuhanku. Dan kamu sekalian tidak diberikan pengetahuan kecuali hanya sedikit.” - (Surah al-Isra, ayat 85). Dalam firman lain dijelaskan tentang roh dimasukkan ke dalam jasad. Firman Allah bermaksud: “Setelah Aku bentuk dengan sempurna, lalu Aku tiupkan ke dalamnya roh.” - (Surah al-Hijr, ayat 29).

Akal manusia juga menerima hakikat kewujudan roh berdasarkan perlu adanya satu ‘kuasa’ yang membolehkan jasad hidup. Oleh itu kepercayaan tentang wujudnya roh turut dipercayai oleh semua fahaman agama dan kepercayaan.

Roh dipisahkan daripada jasad apabila tiba masa kematian manusia dan kemudian dipisahkan ke alam barzah. Pada saat kematian di mana roh akan dicabut dari jasad akan merasai keperitan mengikut amalannya.

Pedih dan ngerinya saat ketika roh dicabut daripada jasad diumpamakan seperti pohon berduri dimasukkan ke dalam badan, yang setiap satu durinya berkait dengan urat, lalu ia ditarik keluar dengan kuatnya sehingga memutuskan apa yang terputus dan meninggalkan apa yang masih tertinggal. 

Kesakitan ketika menghadapi malaikatulmaut dirasakan seperti tidak akan hilang. Diceritakan, Nabi Isa ketika ditanya kepada orang mati yang dihidupkan semula dengan katanya: “Berapa lama kamu telah mati? Lalu dijawab oleh yang mati itu: “Sejak empat ribu tahun lalu, tetapi belum hilang rasa pedihnya maut.”

No comments:

Post a Comment