Pengguna diingatkan agar menjadi
pengguna yang bijak bagi mengelak diri tertipu atau mudah terpengaruh. Pengguna
yang bijak sepatutnya mampu berfikir dengan tenang selain dapat membuat
keputusan segera ketika hendak membeli-belah bagi mengelak daripada menjadi
mangsa penipuan.
Kes pengguna ditindas oleh peniaga
berlaku bukan kerana rakyat Malaysia buta undang-undang atau tidak mengetahui
hak mereka sebagai pengguna. Sebaiknya kes itu berlaku disebabkan mereka mudah
tertipu dan terpengaruh dengan tawaran, pujukan dan manipulasi yang dilakukan
oleh peniaga.
Pengguna biasanya menyalahkan
peniaga yang mengambil kesempatan atau kurangnya penguatkuasaan daripada
kementerian. Hakikat sebenarnya, perkara itu tidak berlaku jika pengguna
sendiri bijak menilai apa yang ditawarkan.
Peniaga sememangnya boleh membuat
pelbagai tawaran tetapi sebagai pengguna perlu menyedari mempunyai kuasa yang
paling besar. Setiap tawaran yang dibuat oleh peniaga tidak semestinya diterima
oleh pengguna.
Kalau menyedari dalam proses jual
beli wujud unsur penipun, gunakan hak pengguna dengan berlalu pergi dan
melaporkan kepada pihak berkuasa untuk diambil tindakan sewajarnya mengikut
lunas undang-undang.
Berita atau laporan media mengenai taktik
kotor yang dilakukan oleh peniaga diharap dijadikan panduan kepada pengguna
agar tidak menjadi mangsa. Pengguna mempunyai pilihan untuk membeli barang
keperluan harian atau menggunakan perkhidmatan pada harga berpatutan.
Kempen yang diadakan bertujuan bagi
membolehkan orang ramai mengetahui hak dan pilihan serta memperkasakan diri
mereka sebagai pengguna bijak. Sebaliknya, pengguna masih tidak serik
disebabkan tertarik dengan cara licik dilakukan peniaga menarik pelanggan.
Rakyat Malaysia sebenarnya tidak
ambil peduli tentang kenaikan harga, melainkan jika perkara itu dihebohkan di
media. Mungkin ketika itu ada sedikit bantahan dibuat. Namun, itu sekadar
bantahan suara, tetapi tidak diikuti dengan tindakan.
Pengguna masih memilih untuk membeli
biarpun mengetahui harga telah dinaikkan sesuka hati oleh peniaga. Sedangkan,
mereka mempunyai kuasa atau pilihan untuk tidak membeli. Keadaan ini
menyebabkan peniaga tidak takut dengan rungutan pengguna kerana apa yang mereka
jual tetap laku dan mendapat keuntungan berlipat ganda.
Fenomena ini biasanya dapat dilihat
ketika musim perayaan, tidak kiralah harga barangan atau perkhidmatan. Peniaga
tidak bertanggungjawab mengambil kesempatan kerana sedar masa itulah untuk
mengaut keuntungan.
Pengguna yang bijak tidak sanggup
ditindas dan memilih membatalkan hasrat membeli jika disedari harga barang
dinaikkan atau mutu tidak memuaskan. Sekiranya semua atau majoriti pembeli
membuat tindakan yang sama, peniaga pasti akan menurunkan harga.
Peniaga sedar bahawa pembeli adalah
raja. Tetapi, raja yang tidak bijak mudah diperdaya dan meletakkan kedudukan
menjadi sebaliknya, iaitu peniaga adalah raja. Tanpa kesedaran untuk
mempersoalkan tindakan para peniaga yang tidak bertanggungjawab, pengguna di
negara ini akan terus tertindas.
Para peniaga sentiasa mencari
peluang untuk menaikkan harga barang seperti kalau ada kenaikan minyak, tol dan
sebagainya, selain ketika musim perayaan. Mereka akan berlumba-lumba untuk
menaikkan harga dengan menyatakan pelbagai kos meningkat sedangkan pada
hakikatnya peratus kenaikan kos adalah rendah. Tetapi, ketika kos turun, harga
tidak pula turun.
Sebab itulah amat penting para
penguna menjadi pengguna bijak bukan saja untuk melindungi diri sendiri daripada
para peniaga yang tidak bertanggungjawab tetapi untuk memberi tekanan kepada
peniaga bahawa pengguna mempunyai kuasa yang besar.
Aktiviti
membeli-belah memang menyeronokkan. Apatah lagi apabila kita mempunyai
wang yang banyak yang membolehkan kita membeli apa-apa sahaja barangan
dan perkhidmatan yang disukai. Malah ada orang yang menjadikan aktiviti
membeli-belah sebagai aktiviti wajib yang mesti dilakukan sebaik sahaja
menerima upah atau gaji pada setiap bulan.
Pengeluar
barangan dan perkhidmatan sentiasa berlumba-lumba menghasilkan pelbagai produk
dan barangan dengan tawaran yang cukup mengasyikkan pengguna. Tambah
mengujakan pengguna, tentulah lambakan tawaran daripada pelbagai barangan
berjenama di pasaran. Siapa yang tidak tergoda apabila melihat tawaran harga
barangan berjenama yang menjunam sehingga 70 peratus?
Syarikat
kewangan pula menawarkan pelbagai bentuk perkhidmatan kad kredit untuk
memudahkan pengguna berbelanja. Namun, yang membimbangkan ialah apabila
keseronokan membeli-belah menyebabkan pengguna akhirnya tidak dapat mengawal
perbelanjaan bulanan, yang kemudiannya terjerumus ke dalam beban hutang yang
tidak disangka-sangka.
Walaupun
aspek ekonomi merupakan komponen penting dalam kehidupan yang memberi peluang
kepada setiap individu meningkatkan kualiti hidup masing-masing supaya lebih
selesa, pengguna perlu mengawal diri ketika berbelanja.
Pengguna
perlu bijak mengawal kewangan supaya tidak terperangkap dalam beban hutang yang
dicipta sendiri dengan cara mendisiplinkan diri ketika berbelanja. Hal ini
penting supaya pengguna dapat menjalani kehidupan yang benar-benar
berkualiti. Pengguna yang terjerat dengan masalah hutang sehingga jatuh
bangkrap atau muflis sebenarnya dikatakan telah menjejaskan kualiti kehidupan mereka
sendiri.
Kenaikan
harga barang keperluan menyebabkan kos yang terpaksa ditanggung oleh pengguna
semakin meningkat. Hal ini menyebabkan nilai ringgit yang diterima daripada
pendapatan bulanan semakin mengecil sedangkan kos yang terpaksa ditanggung
semakin banyak dan terus meningkat.
Bagi
mengatasi masalah ini dan seterusnya mengurangkan beban yang harus ditanggung,
pengguna perlu menjadi pengguna yang bijak dalam mengurus kewangan.
Pengguna yang bijak ialah pengguna yang tahu mengurus kewangan dengan berkesan
dan seterusnya tahu mengawal perbelanjaan mereka.
Untuk
itu, pengguna perlu melengkapkan diri dengan ilmu kewangan yang dapat membantu
pengguna menguruskan kewangan peribadi mereka dengan baik dan berkesan.
Antara
yang perlu dilakukan termasuklah merubah corak perbelanjaan harian pengguna dan
merancang perbelanjaan demi masa depan yang baik. Perancangan kewangan yang
baik dan pengurusan kewangan yang sistematik akan membantu pengguna berbelanja
mengikut keperluan dan tidak membebankan.
Sehubungan
dengan hal itu, pengguna perlu menetapkan sasaran dalam menentukan belanjawan
bagi mengelakkan perbelanjaan yang tidak diperlukan. Pengguna perlu sentiasa
menyediakan senarai barangan keperluan sebelum keluar untuk berbelanja bagi
mengelakkan pengguna membeli barangan yang tidak diperlukan. Untuk itu,
pengguna perlu mendisiplinkan diri dengan mematuhi setiap perancangan yang
telah ditetapkan.
Pengguna
juga boleh merangka sistem pendapatan dengan mencampurkan pendapatan
suami dan isteri, dan pendapatan lain yang diterima dan kemudiannya
memasukkan pendapatan tersebut dalam satu akaun khas setelah ditolak
perbelanjaan lain yang perlu diselesaikan.
Misalnya
bayaran untuk pinjaman rumah, kereta, bil air dan elektrik, yuran persekolahan
anak, perbelanjaan keperluan rumah atau minyak kenderaan supaya dapat mengawal
perbelanjaan. Kemudian catatkanlah jumlah perbelanjaan yang telah dikeluarkan
supaya pengguna dapat mengetahui ke manakah wang tersebut telah dibelanjakan.
Pengguna juga perlu menetapkan sasaran kewangan, seperti penetapan sasaran jangka
pendek dan sasaran jangka panjang.
Penetapan
sasaran kewangan ini penting kerana dapat membantu pengguna menentukan
belanjawan diri atau keluarga dengan lebih baik dan berkesan. Belilah barangan
atau perkhidmatan yang menawarkan harga jualan yang lebih murah. Misalnya
ketika musim perayaan yang menawarkan pelbagai potongan harga yang menarik bagi
mendapatkan lebih penjimatan.
Selain
itu, pengguna juga perlu sentiasa membuat pemantauan harga dan membandingkan
harga barangan dan perkhidmatan yang ditawarkan oleh pengeluar atau
penjual yang berbeza. Dengan cara ini pengguna dapat membeli barangan yang sama
dengan harga yang lebih murah.
Selain
itu, elakkan membeli-belah dalam keadaan yang terburu-buru atau ketika
pengguna berada dalam keadaan yang tidak tenteram. Hal ini dikatakan demikian
kerana berbelanja dalam suasana begini akan mendorong pengguna untuk membeli
barangan yang tidak diperlukan dan seterusnya akan merugikan pengguna.
Pemantauan
terhadap setiap perbelanjaan perlu dilakukan supaya dapat mengawal pengguna
daripada berbelanja barangan yang tidak perlu. Oleh itu, pengguna perlulah menjadi pengguna yang bijak bagi mengurus kewangan dengan lebih baik
dan berkesan.
No comments:
Post a Comment