Kini
harga barangan semakin meningkat dan kenaikannya sungguh ketara. Sebagai
pengguna ,kita perlu bijak berbelanja supaya dapat menguruskan kewangan dengan
baik. Sekiranya tidak bijak berbelanja, individu tersebut mungkin mengalami
masalah kewangan. Ada pelbagai cara untuk menjadi pengguna yang bijak.
Kita
mestilah menyenaraikan barangan yang hendak dibeli sebelum pergi ke kedai atau
pasar raya. Kita juga perlu mengikut senarai tersebut semasa memilih barangan
yang hendak dibeli. Dengan adanya senarai itu, kita tidak akan membeli barangan
dengan sesuka hati. Hal ini secara tidak langsung dapat mengelakkan diri kita
daripada membeli barangan yang tidak diperlukan, malah dapat menjimatkan masa.
Oleh itu, penyediaan senarai barangan yang hendak dibeli amat penting.
Selain
itu, kita harus membuat anggaran jumlah wang perlu digunakan dan jangan membawa
wang tunai yang terlalu banyak. Penggunaan kad kredit juga haruslah dielakkan.
Membawa wang yang secukupnya semasa keluar berbelanja sudah tentunya membawa
faedah. Jumlah wang yang terhad akan menghadkan diri kita daripada berbelanja
secara boros. Oleh sebab itu, penggunaan kad kredit dan amalan membawa wang
yang terlalu banyak hendaklah dielakkan.
Di
samping itu, kita wajar membuat perbandingan harga sesuatu barangan sebelum
membelinya. Kadang kala sesebuah kedai itu akan menjual sesuatu barangan dengan
harga yang lebih mahal banding kedai lain. Penjual yang tidak jujur selalunya
akan menaikkan harga barangan supaya dapat mengaut keuntungan yang lebih
tinggi.
Walau
bagaimanapun, kita juga harus membandingkan kualiti barangan tersebut pasa masa
yang sama. Janganlah membeli barangan yang rendah kualitinya semata-mata kerana
harganya yang murah. Kita hendaklah bijak membuat perbandingan yang bukan
sahaja dari segi harga, tetapi dari segi kualiti.
Elakkan
membeli barangan yang berjenama kerana barangan tersebut tidak semestinya
berkualiti tinggi. Yang pastinya, barangan tersebut mahal. Kebanyakan orang,
wanita terutamanya, gemar membeli barangan yang berjenama dan yang diimport
dari luar Negara. Antaranya adalah pakaian, kasut dan beg tangan. Mereka
sanggup menggunakan jumlah wang yang begitu banyak semata-mata untuk membeli
barangan yang berjenama untuk mengejar fesyen.
Terdapat
pelbagai cara untuk menjadi pengguna yang bijak. Kita perlu bijak menguruskan
kewangan supaya tidak akan menyesal pada masa hadapan. Hal ini dikatakan
demikian kerana ada peribahasa yang mengatakan bahawa sesal dahulu pendapatan,
sesal kemudian tiada gunanya.
Ketika
negara kita melangkah ke arah pembangunan fizikal yang pesat, ilmu
kepenggunaan dalam kalangan rakyat Malaysia masih berada di takuk yang lama dan
tidak mengalami anjakan paradigma.
Walhasilnya,
pengguna kita sering menjadi mangsa kepada peniaga yang tidak bertanggungjawab
lagi licik. Lebih-lebih lagi, segelintir peniaga kita sanggup menangguk di air keruh terhadap
pengguna kita ketika negara kita dilanda tsunami kewangan.
Apabila
peniaga kita meraih keuntungan yang bagai
tikus jatuh ke gudang beras, pengguna yang tidak berdosa turut menjadi
mangsa dalam gelombang inflasi. Sesungguhnya, rakyat Malaysia perlu
dilengkapi dengan ilmu kepenggunaan supaya menjadi pengguna yang bijak.
Untuk
melahirkan pengguna yang bijak, media massa memainkan peranan yang
signifikan. Sama ada pihak media elektronik seperti televisyen atau pihak
media cetak terutama akhbar perlu menerapkan pengetahuan atau hak-hak
pengguna kepada khalayak ramai.
Hal
ini demikian kerana media massa mempunyai pengaruh yang besar kepada masyarakat
kita. Dengan bantuan media, pengguna akan mengetahui cara-cara yang
berkesan untuk menuntut hak mereka daripada dimanipulasikan oleh peniaga.
Sehubungan dengan itu, pihak media harus menyiarkan iklan, rencana, wawancara, forum
dan ceramah tentang hak pengguna.
Lantaran,
suri ramah tangga yang merupakan golongan pengguna yang terbesar turut mendapat
pengetahuan tentang ilmu kepenggunaan dan tidak seperti katak di bawah tempurung.
Walaupun
hak pengguna telah dimaktubkan dalam perundangan negara kita, tetapi pengguna
yang kedangkalan pengetahuan sering menjadi mangsa dalam dunia perniagaan yang
hanya mengutamakan riba dan terus mengabaikan etika mereka.
Rentetan
daripada itu, pengguna kita harus bijak berbelanja tanpa diheret oleh pemiutang
akibat hutang keliling pinggang. Pengguna harus sentiasa membanding harga di premis yang berbeza
sebelum membeli belah. Pengguna harus membeli barangan dengan keperluan dan
bukan berdasarkan nafsu.
Ketika
berbelanja, pengguna dinasihati supaya menyediakan belanjawan dan senarai
barangan yang perlu dibeli. Pendekatan ini sungguh mustahak agar kita tidak
berbelanja secara berlebihan terutamanya menghadapi jualan megah, jualan murah
dan promosi yang istimewa.
Ingatlah
peribahasa, “mulut disuap pisang,
buntut dikaitkan onak.” Jangan kita mudah terpengaruh oleh
pujukan jurujual yang berbahasa manis. Eloklah kita meminimumkan penggunaan kad
kredit supaya tidak membeli barangan mewah yang tidak berguna. Natijahnya
pengguna yang bijak perlu sentiasa mengukur
baju pada badan sendiri tanpa berbelanja secara berlebihan sehingga
berhutang kepada ceti haram atau ceti halal, iaitu syarikat kad kredit.
Bak
kata peribahasa, “alah membeli menang
memakai” harus dihayati oleh umat sejagat. Setiap pengguna
harus mementingkan kualiti barangan yang dibeli. Misalnya, ketika membeli
sesuatu benda, kita perlu memperoleh maklumat tentang produk itu dan mengkaji
kandungannya , tarikh lupuk serta fungsi penggunaan.
Tamsilnya
kita tidak akan membeli sesuatu produk yang boleh menjejaskan kualiti alam
sekitar seperti pakaian kulit binatang liar, alat penghawa dingin yang
mengeluarkan CFC dan sebagainya kerana kita juga pengguna alam sekitar.
Dengan kata lain pengguna yang bijak perlu menitikberatkan kualiti barangan
yang tahan lama, selamat dan tidak mencemarkan alam sekitar.
Secara
tuntasnya, pengguna yang bijak perlu mengetahui hak asasi pengguna dan
ilmu kepenggunaan. Pengguna bertanggungjawab untuk membela nasib sendiri.
Pengguna harus berani bersuara dan bertindak ketika dianiayai oleh peniaga yang
berniat jahat.
No comments:
Post a Comment