Firman
Allah bermaksud: “Dan tuntutlah dengan kurniaan yang telah dilimpahkan Allah
kepadamu itu kebahagiaan hari akhirat dan janganlan engkau melupakan bahagianmu
(keperluan dan bekalan) dari dunia.” (Surah al-Qashash, ayat 77).
Islam
memandang kekayaan sebagai alat untuk menjaga kepentingan agama, keturunan,
akal, maruah dan harga diri agar bersesuaian dengan nilai-nilai manusiawi yang
perlu diamalkan dalam batasan agama. Sebaliknya kemiskinan perlu dijauhi kerana
ia umpama bom jangka yang boleh merosakkan ummah.
Dalam
al-Quran dan hadis jelas banyak membincangkan soal tuntutan mencari rezeki,
urusan perniagaan, penggunaan sumber tenaga, pengagihan kekayaan,
pembendaharaan negara, tolong menolong dalam pembangunan ekonomi dan sebagainya.
Allah
SWT berfirman bermaksud: “Dialah yang menjadikan bumi itu mudah bagi kamu, maka
berjalanlah di segenap penjurunya dan makanlah sebahagian dari rezeki-Nya.”
(Surah al-Mulk, ayat 15).
Sesungguhnya,
setiap muslim perlu gigih berusaha mendapatkan apa yang dibentangkan oleh Allah
SWT di muka bumi ini dengan sepenuh penumpuan tenaga dan fikiran. Sesiapa
melakukan kerja dengan tekun dan bersungguh-sungguh pasti akan mendapat
kejayaan. Allah SWT amat menyukai mereka yang melakukan sesuatu kerja dengan bersungguh-sungguh.
Sabda
Rasulullah SAW yang bermaksud: "Sesungguhnya Allah amat mengasihi
seseorang yang apabila melakukan sesuatu kerja, dilakukannya dengan penuh tekun
dan sebaik mungkin. (Hadis riwayat Baihaqi).
Jelas
sekali, Islam tidak hanya agama dalam bentuk sistem kepercayaan semata-mata,
bahkan turut menyediakan landasan yang kukuh berkaitan memenuhi keperluan hidup
manusia di dunia ini. Islam mengajar dan mengarahkan agar setiap umatnya berusaha
mendapatkan kekayaan.
Mereka
yang mencari rezeki berpeluang mendapat dua kali pahala jihad. Pertamanya
pahala jihad bekerja mencari rezeki dan keduanya peluang membelanjakan rezeki
itu untuk jalan Allah SWT.
Firman
Allah SWT yang bermaksud: "Berjihadlah di jalan Allah dengan harta benda
dan jiwa mereka" (Surah at-Taubah, ayat 20)
Ironinya,
umat Islam masih ketinggalan jauh berbanding kaum lain dalam jumlah pemilikan
kekayaan. Perkara ini memerlukan anjakan paradigma untuk mencapai kejayaan yang
hanya mampu dicapai jika melakukan usaha yang dicetuskan oleh pemikiran kritis,
penghayatan ilmu dan ketakwaan yang tinggi.
Punca
kurang mendapat rezeki disebabkan tidak tekun dalam urusan mencari rezeki. Mereka
tidak merebut peluang untuk mendapat rezeki yang lebih untuk keperluan diri
sendiri dan ahli keluarga. Perhatikan di kampung-kampung dan bandar di mana
golongan yang banyak lepak di kedai kopi dan melakukan kerja sia-sia adalah
orang miskin.
Golongan
ini sepatutnya melakukan kerja yang boleh mendatangkan rezeki, bukannya berlagak
seperti orang kaya dengan berbual-bual kosong. Mereka mempersiakan keupayaan akal,
potensi diri dan tenaga yang dimiliki tanpa melakukan usaha yang mendatangkan
kebaikan. Mereka juga menolak janji Allah SWT kepada orang mencari rezeki.
Sabda
Rasulullah bermaksud: “Sesiapa mencari rezeki halal untuk menjaga dirinya
supaya tidak meminta-minta dan berusaha memenuhi keperluan hidup keluarganya,
serta dapat pula membantu tetangganya, maka di akhirat kelak dia akan menemui
Allah dengan wajah berseri-seri bagaikan bulan purnama.” (Hadis riwayat
Thabrani).
Seluruh
umat Islam perlu berusaha mengelakkan diri daripada berada pada paras kemiskinan.
Jangan berserah kepada takdir semata-mata tanpa berusaha kerana Allah SWT tidak
akan mengubah nasib sesuatu kaum atau seseorang jika tidak berusaha sendiri
mengubahnya.
Firman
Allah dalam surah ar-Rad, ayat 11 bermaksud: “Sesungguhnya Allah tidak mengubah
nasib sesuatu kaum sehingga mereka sendiri berusaha mengubahnya.”
Umat Islam sewajarnya melakukan pencerahan dan
penjernihan pemikiran agar selari dengan tasawwaur Islam dan tidak lagi berada
dalam kekeliruan berkaitan tuntutan mencari rezeki.
No comments:
Post a Comment