Islam
tidak menolak keduniaan semata-mata mengejar kehidupan akhirat. Sesungguhnya,
kekayaan dan kesenangan hidup di dunia adalah anugerah yang disediakan oleh
Allah untuk direbut setiap hamba-Nya.
Islam
tidak menghalang usaha mencari kekayaan dan kesenangan hidup di dunia. Bahkan,
tugas mencari rezeki adalah wajib untuk memenuhi keperluan hidup.
Sesiapa
berusaha mencari kekayaan dan kesenangan hidup mengikut seperti dianjurkan
Islam, maka dia memperoleh apa yang diingini di dunia ini dan balasan kebaikan
untuk kehidupan di akhirat.
Ada
pihak tidak memahami kehendak ajaran Islam berkaitan mencari kekayaan. Mereka
menahan diri daripada mencari kekayaan dan kesenangan hidup di dunia dengan
alasan tidak mahu lalai daripada melaksanakan ibadat.
Ini
bertentangan dengan perintah Allah.
Firman Allah bermaksud: “Dan tuntutlah dengan kurniaan yang telah
dilimpahkan Allah kepadamu itu kebahagiaan hari akhirat dan janganlan engkau
melupakan bahagianmu (keperluan dan bekalan) dari dunia.” (Surah al-Qashash,
ayat 77).
Golongan
yang tidak mencari kesenangan hidup di dunia sebenarnya bukan tidak inginkan
kesenangan. Mereka sebenarnya malas. Sekiranya berpeluang mendapat secara mudah
atau ‘percuma’, mereka tidak pula menolaknya.
Jelas
sekali adalah amat penting usaha mengubah sikap dan pemikiran bagi memacu orang
Islam menghargai setiap peluang yang terbuka luas. Perbuatan mengaitkan
kemiskinan sebagai takdir membuktikan sifat negatif menguasai diri.
Akibat
pemikiran sempit itulah, umat Islam berdepan dengan kualiti hidup yang rendah
berbanding penganut agama lain. Majoriti umat Islam di seluruh dunia sekarang
ini menjalani kehidupan penuh kedaifan dan kesengsaraan.
Umat
Islam menjadi mangsa kepada kekayaan dan kecerdikan pihak lain. Lebih separuh
daripada 58 buah negara Islam berada dalam kategori negara miskin. Jika
dicampurkan semua Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) seluruh negara Islam,
masih tidak dapat mengatasi KDNK negara Jepun.
Amat
malang sekali umat Islam tidak mampu menterjemah ajaran Islam dalam soal
suruhan mencari kekayaan dan kesenangan hidup di dunia. Sebaliknya, lebih ramai
yang melihat dari skop yang sempit apabila membaca ayat al-Quran atau
hadis.
Ada
golongan yang menjadikan kemiskinan sebagai cara mendapat kelebihan di sisi
Allah. Mereka mengaitkan kemiskinan sebagai lambang orang soleh berdasarkan
maksud beberapa hadis.
Sabda
Rasulullah bermaksud: “Hidupkanlah aku dalam keadaan miskin dan matikanlah aku
miskin dan kumpulkanlah aku di padang mashyar dalam golongan orang yang
miskin.” (Hadis riwayat Tirmizi).
Tirmizi
juga meriwayatkan hadis bermaksud: “Akan masuk syurga umatku yang fakir sebelum
yang kaya dengan 500 tahun.”
Sebenarnya,
maksud hadis itu bukan menyuruh umat Islam menjadi miskin. Sebaliknya, hadis
itu menjelaskan dari prespektif Islam bahawa kemiskinan bukan satu kehinaan di
sisi Allah dan bukan menentukan kedudukan di akhirat nanti.
Allah
menilai seseorang berdasarkan kepada ketakwaan dan bukannya kekayaan yang
dimiliki. Tetapi, Islam menggalakkan agar umatnya kaya di dunia.
Hadis
itu antara lain bertujuan memberi semangat di kalangan para sahabat yang miskin
bahawa di akhirat nanti mereka tetap mendapat tempat yang baik. Biarpun hidup
di dunia ini dilingkari kemiskinan, mereka tetap mendapat balasan kebaikan di
akhirat atas apa yang diusahakan di dunia.
Banyak
sahabat Rasulullah yang miskin merasa rungsing disebabkan tidak dapat bersedekah dan mengeluarkan zakat. Sedangkan
mereka mengharapkan ganjaran yang sama seperti diperoleh di kalangan sahabat
yang kaya.
Sebenarnya
banyak ayat al-Quran dan hadis yang menyebut mengenai kelebihan orang
membelanjakan hartanya ke jalan Allah. Lanjutan itulah menyebabkan para sahabat
yang miskin merasa satu kerugian pada diri mereka.
Namun,
ada golongan yang menjadikan hadis dan ayat al-Quran berkaitan kelebihan
kehidupan miskin dan amaran kecelakaan bagi orang kaya dijadikan alasan untuk
hidup miskin.
Golongan
ini lupa tentang janji-janji Allah bagi sesiapa berusaha mencari kekayaan dan
membelanjakan ke jalan Allah. Sesungguhnya kekayaan di dunia ini amat besar
manfaatnya bagi orang Islam yang bertakwa.
Hakikat
sebenarnya, kekayaan dan kesenangan hidup di dunia adalah ujian menentukan
darjat seseorang di sisi Allah. Sesiapa mendapat kekayaan dan membelanjakan
harta itu untuk jalan kebaikan, maka dia mendapat kejayaan di dunia dan
akhirat.
Fahaman
yang memisahkan umat Islam dengan kejayaan dan kekayaan di dunia diasaskan
golongan menolak fitrah kejadian manusia dan mengkufuri nikmat disediakan
Allah. Alam ini telah dipermudahkan bagi manfaat manusia mendapatkan apa
diingini mengikut aturan yang ditetapkan.
Allah
berfirman bermaksud: “Dialah yang menjadikan bumi itu mudah bagi kamu, maka
berjalanlah di segenap penjurunya dan makanlah sebahagian dari rezeki-Nya.”
(Surah al-Mulk, ayat 15).
Bagaimanapun
rezeki dan kesenangan hidup tidak datang secara bergolek jika tidak diusahakan
mendapatkannya. Sesiapa bijak dan gigih menggunakan ketajaman fikiran serta
kekuatan khudrat, maka baginya dilimpahkan rezeki yang banyak di atas apa yang
diusahakan.
Kemiskinan
dan kelemahan hidup menjadikan umat Islam tidak mampu untuk melakukan
perkara-perkara kebaikan. Orang Islam yang miskin tidak berpeluang mendapat
pahala bersedekah, zakat, membelanjakan ke jalan jihad dan membantu sesama
Muslim.
Oleh
itu sesiapa yang ingin menyempurnakan Rukun Islam iaitu mengeluarkan zakat dan
menunaikan haji, maka perlulah dia terdiri golongan kaya. Orang miskin tidak
mampu melaksanakan kedua-dua ibadat itu untuk melengkapkan Rukun Islam.
Malah
dalam keadaan miskin dan melarat sukar untuk menumpukan perhatian untuk
melakukan ibadat lain. Contohnya dalam keadaan lapar dan tidak mempunyai tempat
tinggal yang selesa, sudah pasti sukar untuk menunaikan ibadat sembahyang,
berzikir dan sebagainya.
Jadi,
tidak benar jika dikatakan harta tidak diperlukan untuk melakukan ibadat. Sebab
itu, sesiapa yang ingin melengkapkan Rukun Islam perlu berkerja gigih untuk
mencukupkan harta sehingga mampu menunaikan kedua-dua ibadat yang berkaitan
dengan harta itu.
Sesiapa
berada dalam keadaan miskin dan melarat, fikirannya menjadi celaru dan keliru
sehingga mungkin terdorong melakukan perbuatan yang ditegah oleh agama untuk
mendapatkan sesuap nasi.
Sebab
itu Rasulullah menjelaskan kemiskinan menghampirkan seseorang kepada kufur dan
munafik. Lantaran itu Rasulullah sering berdoa agar dijauhkan daripada
kemiskinan.
No comments:
Post a Comment