Allah
telah menjanjikan limpah kurnia-Nya berkaitan rezeki kepada sesiapa yang
berusaha mendapatkannya. Sesungguhnya semua kejadian alam ini telah dipermudahkan
oleh Allah bagi manfaat manusia. Sesiapa yang berusaha mendapatkan apa yang
diingini dengan cara mengikut aturan alam, maka dia akan memperoleh apa yang
dihajati itu.
Allah
berfirman yang bermaksud: “Dialah yang menjadikan bumi itu mudah bagi kamu,
maka berjalanlah di segenap penjurunya dan makanlah sebahagian dari
rezeki-Nya.” -(Surah al-Mulk, ayat 15).
Sunggupan
Allah tidak memandang kekayaan sebagai ukuran kemuliaan seseorang, tetapi jika
ada dua orang yang sama-sama beriman, maka Allah lebih menyukai orang beriman
yang kaya berbanding orang beriman yang miskin.
Dengan
kata lain, mencari kekayaan dan kemewahan hidup adalah satu tuntutan dalam
Islam. Sesiapa yang memiliki kekayaan dapat digunakan untuk menyempurnakan
keperluan hidupnya dan membantu sesama Islam.
Setiap
orang wajib berusaha sendiri untuk memenuhi keperluan hidupnya sendiri dan ahli
keluarga di bawah tanggungannya. Mencari rezeki yang halal adalah satu jihad
berjuang di jalan Allah.
Kisahnya,
sedang Rasulullah berbual-bual dengan para sahabat, seorang lelaki berbadan
tegap dan kuat lalu di hadapan mereka. Maka para sahabat pun berkata: “Ya
Rasulullah, alangkah baiknya jika orang itu berjuang untuk membela agama
Allah.” Lalu Baginda pun menjawab dengan
sabdanya bermaksud:
“Jika
lelaki itu keluar dari rumahnya untuk mencari nafkah untuk anak-anaknya yang
masih kecil, itu juga fisabilillah (berjuang membela agama Allah) namanya. Mencari
rezeki untuk kedua orang tuanya yang sudah tua, juga dinamakan fisabilillah. Mencari
rezeki untuk dirinya sendiri supaya tidak meminta-minta juga dikira
fisabilillah. Tetapi, jika dilakukan kerana niat bongkak dan menunjuk-nunju, ia
dikira sebagai fisabilissyaitan (mengikut jalan syaitan).” -(Hadis riwayat
Tabrani).
Amalan
meminta sedekah atau meminta pertolongan orang lain untuk memenuhi keperluan
hidup seharian ditegah dilakukan, melainkan dalam keadaan terdesak atau
terpaksa.
Sabda
Rasulullah bermaksud: “Jangan kamu meminta-minta daripada orang lain.” -(Hadis
riwayat Ibn Hanbal).
Dalam
satu riwayat, seorang Ansar datang meminta sedekah daripada Rasulullah bagi
memenuhi keperluan hidup. Baginda tidak terus memberi sedekah seperti mana
diminta oleh orang Ansar itu, sebaliknya
bertanya apakah yang dimiliki orang itu.
Orang
Ansar itu memberitahu dia memiliki beberapa barang keperluan harian termasuk
kain dan mangkuk kayu.
Lalu,
Baginda menyuruh orang Ansar itu agar dibawakan semua apa yang dimiliki itu. Setelah
itu, Rasulullah menyuruh barang-barang itu dijual dan wang hasil jualan itu
digunakan untuk membeli makanan keperluan harian dan dibelikan sebilah mata
kapak.
No comments:
Post a Comment