Kita berasa marah dan
jijik kepada pencuri kerana perbuatan itu adalah salah di sisi agama, akhlak
dan kemasyarakatan. Sikap negatif kita terhadap pencuri disebabkan pendidikan agama
diterima selama ini.
Pencuri yang ditakuti biasanya adalah pencuri harta, karya dan
benda yang dapat dilihat atau dirasa. Sebaliknya kita tidak sedar berlaku
pencurian masa atau lebih difahami dengan istilah 'curi tulang' dalam tugas
harian.
Curi tulang boleh berlaku dengan mengabaikan tugas dan
tanggungjawab, melengahkan kerja atau meninggalkannya sama sekali dengan
pelbagai helah atau alasan tidak munasabah. Ada kalanya tanggungjawab itu dilakukan
tetapi sekadar melepaskan batuk di tangga.
Perbuatan keji ini jika diteruskan amat merugikan diri sendiri
terutama apabila kita memahami kerja adalah ibadat terhadap Allah jika
dikerjakan dengan tulus ikhlas dan penuh tanggungjawab.
Selain ganjaran pahala yang diterima, kita juga akan mendapat
upahnya. Jadi, jika pengabaian terus berlaku, kita tidak akan menerima pahala
yang boleh memberkati wang gaji. Tegasnya, wang upah yang kita terima jadi
tidak bersih.
Selain itu, kita juga berdosa terhadap rakan sejawatan kerana
menggendalakan kerja mereka dan meletakkan mereka dalam keadaan serba salah.
Ditegur bimbang tidak diterima dan mengakibatkan permusuhan. Jika tidak
ditegur, akan merugikan banyak pihak.
Sifat mensyukuri dan mencukupi amat penting supaya kita tidak
menjadi orang yang tidak pernah rasa cukup, keluh-kesah dan jangan biarkan
dikejar tak dapat, dikendong berciciran.
Itqan (tekun) dalam
beramal atau bekerja bermaksud menyempurnakan atau melaksanakan satu tuntutan
daripada sesorang sebagaimana yang dikehendaki oleh orang tersebut tanpa kurang
sedikitpun dengan sesempurna mungkin disertai dengan usaha yang kuat agar tidak
terlewat daripada waktu yang telah ditetapkan.
Islam menggalakkan umatnya untuk bersungguh-sungguh dalam setiap
pekerjaan yang dilakukan. Ini kerana, bekerja merupakan salah satu wasilah atau
cara untuk mendapatkan rezeki.
Di dalam al-Quran Allah SWT telah berfirman dalam surah al-Taubah ayat 105 bermaksud: “Dan katakanlah (wahai Muhammad): Beramallah kamu (akan segala yang
diperintahkan), maka Allah dan Rasul-Nya serta orang-orang yang beriman akan
melihat apa yang kamu kerjakan.”
Kita dituntut untuk itqan atau tekun dalam setiap
perkara yang kita lakukan. Ini kerana, sifat tekun ini merupakan salah satu
lambang atau tanda keislaman. Tambahan pula, kita sebagai seorang yang beragama
Islam dituntut untuk ikhlas dan bersungguh-sungguh dalam setiap amal ibadah,
sikap dan kehidupan kita.
No comments:
Post a Comment