Wednesday, 24 October 2018

MENCARI NIKMAT SERONOK KERJA

Keseronakan bekerja ialah gambaran menunjukkan kegembiraan, keceriaan, keinginan tinggi atau sekurang-kurangnya keselesaan melaksanakan tugasan seharian. Ia adalah perasaan hebat serta mampu menyumbang pencapaian yang tinggi.

Daripada perasaan ini terhimpun nilai murni seperti kesungguhan, kerajinan, kreatif, proaktif, inovatif, disiplin dan komited. Ia ibarat pintu yang membuka pelbagai kebaikan masuk ke dalamnya.  

Justeru, keseronokan bekerja perlu difahami sebagai akhlak mulia kerana ia menganjur kebaikan. Jika keseronokan bekerja berjaya dicapai, sesebuah organisasi akan cemerlang.

Namun, seseorang pekerja tidaklah selama-lamanya berada dalam keadaan seronok kerana menjadi tabiat manusia tidak lekang mengalami pelbagai perasaan berlawanan seperti bosan, malas dan sebagainya. Perasaan ini dialami ekoran pelbagai faktor dalaman dan luaran atau persekitaran organisasi.

Ada yang tidak seronok bekerja kerana faktor kesesakan, jarak antara rumah dan tempat kerja, beban tugas berat, arahan kerja tidak jelas dan di luar kemampuan, keputusan tidak disepakati, masalah kesihatan, masalah dengan rakan sejawat dan majikan, tiada jaminan kerja, kebajikan, keselamatan, imbuhan dan penghargaan yang tidak setimpal dan macam-macam lagi.

Hakikatnya, ia tidak semudah ungkapan. Kerana itu rungutan, aduan dan perselisihan menjadi asam garam di tempat kerja. Namun, menurut Syeikh al-Buti perasaan berubah-ubah dan pelbagai itu mempunyai hikmah besar dalam mendekatkan diri hamba kepada Penciptanya serta saling melengkapi.

Ertinya, keseronokan tidak akan benar-benar dirasai kecuali mengalami kejemuan, kesusahan, kepenatan dengan tabah serta berjaya diatasi dengan baik. Sifat itu pula menyebabkan seseorang dekat kepada Allah SWT. Justeru, bagi yang beriman, kedua-dua sifat seronok dan lawannya itu memberi faedah tersirat mahupun tersurat jika dikemudi dengan baik.

Walau bagaimanapun keseronokan bekerja perlu diusahakan demi kejayaan. Pelbagai cara perlu dilakukan oleh kedua-dua pihak, pekerja dan majikan. Antaranya pertama, membugarkan perasaan syukur terhadap nikmat pekerjaan yang dimiliki.

Mengingatkan sentiasa mengenai betapa beruntungnya kita dengan nikmat ini mampu menyuburkan rasa syukur dan bertanggungjawab dalam diri pekerja.

Perasaan ini walau bagaimanapun selalu dirasai apabila ia hilang daripada genggaman seperti tidak berupaya bekerja, tiada peluang bekerja disebabkan kemiskinan dan huru-hara dalam negara, dibuang kerja atau diturunkan pangkat.

Pada ketika itu seseorang akan merasai besarnya nikmat bekerja. Syair Arab bermaksud: “Syukur itu mengikat nikmat yang ada dan memburu apa yang hilang”.

Keseronokan bekerja boleh dicapai apabila kita membayangkan hasil diperoleh daripada titik peluh halal, kesusahan membanting tulang, memerah otak dan keringat serta kesenangan diterima daripada peluang dibuka majikan.

Malah, dalam Islam, sistem dianugerahkan daripada keseronokan bekerja tidak sekadar di dunia dengan ganjaran pahala tetapi terus dibayar di akhirat kelak.

Bagi mengelakkan sebarang bentuk kemudaratan dalam bekerja kepada diri dan orang lain seperti menekan diri dengan bebanan kerja secara berterusan sehingga menjejaskan emosi, kesihatan, masa untuk diri, keluarga dan masyarakat. Bahkan menjejaskan kekhusyukan beribadat atau memudaratkan diri dengan menipu dan menyeleweng. menjaga keseronokan bekerja.

Keseronokan bekerja boleh dicapai dengan berusaha menggembirakan orang lain. Justeru, adanya sistem ganjaran, imbuhan, penghargaan kepada pekerja perlu diberi majikan. Menggembirakan pelanggan dengan perkhidmatan mesra dan kata-kata sopan, saling menghormati rakan dan majikan serta berkongsi rezeki hasil bekerja dengan ahli keluarga dan masyarakat akan menimbulkan kepuasan dalam diri sendiri.

Membanyakkan berdoa agar diberikan keseronokan dalam mencari rezeki yang halal setiap hari terutama ketika senang, ceria dan seronok bekerja.

Sabda Rasulullah SAW bermaksud: “Sesiapa yang ingin doanya ditunaikan Allah ketika dalam kesulitan, hendaklah dia banyak berdoa ketika dalam kesenangan atau kelapangan”. (Riwayat al-Tirmizi)
Keseronakan berkerja dapat dicapai apabila kita tekun bekerja.

Islam menggalakkan umatnya untuk bersungguh-sungguh dalam setiap pekerjaan yang dilakukan. Ini kerana, bekerja merupakan salah satu wasilah atau cara untuk mendapatkan rezeki.

Di dalam al-Quran Allah SWT telah berfirman dalam surah al-Taubah ayat 105 bermaksud: “Dan katakanlah (wahai Muhammad): Beramallah kamu (akan segala yang diperintahkan), maka Allah dan Rasul-Nya serta orang-orang yang beriman akan melihat apa yang kamu kerjakan.”

Kita dituntut untuk itqan atau tekun dalam setiap perkara yang kita lakukan. Ini kerana, sifat tekun ini merupakan salah satu lambang atau tanda keislaman. Tambahan pula, kita sebagai seorang yang beragama Islam dituntut untuk ikhlas dan bersungguh-sungguh dalam setiap amal ibadah, sikap dan kehidupan kita.

No comments:

Post a Comment