Bersikap
benar dalam percakapan dan perbuatan ialah prinsip utama yang perlu dipelihara
oleh orang beriman. Firman Allah SWT bermaksud: “Wahai orang beriman,
bertakwalah dan jadilah kamu bersama orang yang bersifat benar.” (Surah
At-Taubah ayat 119)
Sabda
Baginda SAW bermaksud: “Jadilah kamu orang yang benar dan jujur kerana ia
mendorong kepada kebaikan seterusnya membawa ke syurga. Ketika itu mereka
ditulis di sisi Allah SWT daripada kalangan orang yang benar. Dan janganlah
kamu menjadi pendusta kerana ia mendorong kepada kejahatan seterusnya membawa
ke neraka. Ketika itu mereka akan dicatat sebagai pendusta.”
Oleh
itu sifat ini menjadikan Saidina Abu Bakar sebagai sahabat terbaik dalam
kalangan yang terbaik dengan gelaran As-Siddiq.
Bersikap
benar dalam percakapan dan janji amat penting diamalkan terutama di kalangan
pemimpin. Janji mereka membabitkan rakyat yang ramai. Jadi, jika tidak
ditunaikan, maka akan menimbulkan rasa kecewa melibatkan ramai orang.
Maka,
hendaklah setiap orang mengutamakan bersikap jujur dalam semua perkara. Lawan
kepada sikap jujur ialah sikap dusta dan tidak menunaikan janji. Sesungguhnya, dusta
ialah sifat keji dilaknat Allah SWT kerana ia adalah pakaian dihias syaitan
berteraskan nafsu membinasakan.
Firman
Allah SWT: “Celakalah orang yang curang iaitu apabila mereka menerima timbangan
orang lain, mereka minta dicukupkan dan apabila mereka menimbang untuk orang
lain mereka menipu.” (Surah Al-Mutaffifin ayat 1-2).
Jumhur
ulama berpendapat mereka yang menipu dalam apa juga bidang diceburi termasuk
daripada golongan dimaksudkan Allah pada ayat di atas. Mereka akan menerima
azab daripada Allah SWT. Ia juga antara punca kerosakan masyarakat.
Urusan
sesama manusia amat diberi perhatian oleh Allah SWT, khususnya dalam bidang
perniagaan yang penuh penipuan demi keuntungan dunia yang sedikit.
Baginda
SAW pernah berdiri dipasar pada satu hari seraya bersabda bermaksud: “Wahai
peniaga sekalian, sesungguhnya peniaga dibangkitkan pada hari kiamat dalam
keadaan amat menyedihkan melainkan mereka yang jujur dan benar.” (Hadis Riwayat
Tirmizi).
Seterusnya
Islam mengajar bagaimana peniaga yang baik menguruskan perniagaan mereka dalam
sabdanya bermaksud : “Kaum Muslimin bersaudara, tidak halal bagi seorang Muslim
menjual barang tidak elok melainkan diberitahu kelemahan barangan itu kepada
pengguna.” (Hadis Riwayat Ibnu Majah).
Umat
terdahulu juga banyak terbabit dalam bidang perniagaan sehingga cerita mereka
diabadikan Allah SWT dalam al-Quran. Baginda SAW juga peniaga cemerlang tanpa
membabitkan unsur penipuan dan orang paling jujur dalam masyarakat
Quraisy.
Firman
Allah SWT kepada penduduk Madyan: Syuaib AS berkata: “Dan janganlah kamu
kurangi timbangan kerana kamu sekarang dalam keadaan baik dan makmur. Aku
khuatir kamu akan ditimpa azab pada hari yang membinasakan kamu. Wahai kaumku,
penuhilah takaran dan timbangan dengan adil, dan janganlah kamu merugikan
manusia terhadap hak mereka kerana ia adalah kejahatan yang akan merosakkan.”
(Surah Hud ayat 85-86).
Sabda
Baginda SAW bermaksud: “Sesiapa yang menipu, mereka bukanlah daripada golongan
kami.” (Hadis Riwayat Muslim).
Ayat
ini menunjukkan penipuan antara punca kerosakan dalam masyarakat. Ini termasuk
menaikkan harga sesuka hati dan dianggap kesalahan dan haram dalam Islam kerana
ia memudaratkan pengguna.
Dalam
sesetengah kes, ada juga berlaku kesepakatan antara penjual dengan pihak ketiga
dengan meninggikan harga barangan itu bagi menjerat pengguna lain untuk
membelinya.
Sabda
Nabi SAW: “Janganlah kamu meninggikan harga barangan dengan cara “tanajush”
(tidak bermaksud untuk membelinya, tetapi untuk manfaat penjual).” (Hadis Riwayt
Bukhari & Muslim).
Merampas
hak orang lain juga termasuk dalam kalangan orang yang menipu kerana ia
membabitkan urusan sesama manusia dan dianggap kezaliman. Apatah lagi jika ia
membabitkan urusan kepemimpinan yang terdedah kepada pelbagai bentuk penipuan
dan penyelewengan.
No comments:
Post a Comment