Tuesday, 12 February 2019

HISAP ROKOK HUKUMNYA HARAM DI SISI ISLAM


Majlis Fatwa Kebangsaan telah memutuskan bahawa merokok merupakan perbuatan haram di sisi agama. Keputusan itu telah dibuat pada tahun 1995. Sekarang ini di kalangan masyarakat Islam di Malaysia lebih berpegang kepada hukum merokok hanya makruh.

Oleh sebab itu amat ramai di kalangan orang alim sendiri merokok. Mereka merokok disebabkan menganggap perbuatan itu bukannya haram.

Sebenarnya hukum merokok makruh disepakati oleh ulama dulu memandangkan ketika itu tidak ada bukti nyata mengenai keburukan merokok. Merokok dihukum makruh kerana ia tidak memabukkan dan tidak pula mendatangkan keburukan nyata.

Namun kajian terkini mengenai bahaya merokok amat jelas. Banyak penyakit bahaya dikaitkan dengan perbuatan merokok. Penyakit-penyakit itu sukar diubati dan biasanya berakhir dengan kematian.

Sesungguhnya, Islam mengharamkan segala perbuatan yang mendatangkan keburukan.  Firman Allah bermaksud: “Dan janganlah kamu mencampakkan diri kamu ke dalam kebinasaan.” - (Surah al-Baqarah, ayat 195).

Dengan adanya fatwa haram merokok diharapkan dapat menyedarkan perokok bahawa perbuatan merokok bukan saja mendatangkan bahaya kepada kesihatan, tetapi juga satu perbuatan dosa.

Soal dosa bukan perkara kecil. Bagi mereka yang benar ingin mendapat keredaan dari Allah akan sentiasa menjauhkan daripada perkara-perkara yang nyata diharamkan.

Ini dapat dijadikan bahaya untuk kempen menghentikan merokok. Ia menjadi peringatan penting kepada mereka yang ingin meletakkan dirinya dalam kelompok orang-orang beriman.

Jika fatwa haram merokok sudah diwartakan dan diketahui oleh semua orang, tentulah orang yang alim akan segera berhenti merokok. Paling tidak mereka tidak akan merokok di hadapan orang ramai kerana ia akan menjadi satu perbuatan aib.

Dengan kata lain, pewartaan haram merokok bukan semestinya untuk tujuan penguatkuasaan. Sudah memadai jika pewartaan itu menjadi satu titik tolak kepada kesedaran orang ramai bahawa sebenarnya merokok itu haram dan bukannya makruh seperti yang disangkakan selama ini.

Sama ada hukum ini disenangi atau tidak oleh perokok, ia bukan satu perkara diambil kira. Sesungguhnya Allah telah menjelaskan bahawa apa yang manusia tidak senangi itu mungkin lebih baik untuk manusia. 

Tanggungjawab pihak berkuasa agama di setiap negeri perlu memandang perkara ini penting untuk diwartakan segera. Jangan kerana di kalangan pegawai agama sendiri mengamalkan tabiat merokok, maka ia tidak diwartakan.

Selepas semua pihak agama negeri mewartakan haram merokok, eloklah jika di setiap kotak rokok pula ditulis “Haram merokok bagi orang Islam’ selain perkataan “Merokok Membahayakan Kesihatan” yang sudah tertera sekarang.

Jika setelah fatwa merokok diwartakan dan orang Islam masih merokok, itu terserahlah kepada individu itu. Tanggungjawab pihak berkuasa agama negeri telah terlaksana dan soal mematuhinya atau tidak terserahlah kepada individu.

Tentang hukuman yang boleh dikenakan kepada sesiapa yang tidak mematuhi fatwa itu, terserahlah kepada kemampuan pihak berkuasa agama negeri melaksanakannya. Memang tidak semua undang-undang dapat dikuatkuasakan sepenuhnya.

Sesungguhnya Allah Maha Pembalas. Allah menjanjikan balasan yang setimpal kepada setiap perbuatan manusia sama ada baik dan buruk, biarpun sebesar zarah.

No comments:

Post a Comment