Tuesday, 12 February 2019

AKIBAT BURUK KEADAAN TERLALU KENYANG


Rasulullah memberi aturan makan yang terbaik ialah perut ‘dibahagi’ tiga. Satu pertiga untuk makanan, satu pertiga untuk minuman dan satu pertiga untuk pernafasan. 

Makan berlebihan menyebabkan badan menjadi semakin lemah. Proses penghadaman makanan terpaksa berjalan berterusan tanpa rehat jika makan banyak dan kerap. 

Proses penghadaman yang tidak lancar akan menyebabkan terganggu sistem badan, termasuklah kecerdasan otak terganggu.   

Ketika kekenyangan, rasa malas dan mengantuk akan menguasai diri. Fikiran menjadi buntu dan ingin berehat berterusan. Sebab itu, orang makan banyak menghabiskan masa dengan tidur dan berehat.

Diceritkan oleh al-Rabi bahawa Iman Syafie pernah berkata: “Aku tidak pernah makan kenyang sejak berusia 16 tahun kerana kekenyangan akan menambah berat badan, mengeraskan hati, menumpulkan otak, menyebabkan mengantuk dan malas beribadat.”

Bagi golongan kaya, makan bukan lagi sekadar untuk kenyang semata-mata, tetapi juga lambang kemewahan dan status. Berbelanja makan di tempat mewah bernilai sehingga ribu ringgit untuk sekali makan menjadi perkara lumrah. 

Sikap makan kerana ingin bermegah dan bongkak amat ditegah. Rezeki yang Allah kurniakan boleh jadi akan ditarik balik bila-bila masa. Ramai orang kaya tidak dapat makan apa yang digemari disebabkan masalah penyakit.

Sesungguhnya, berbelanja berlebih-lebihan merupakan satu perbaziran. Perbuatan membazir merupakan sifat syaitan dan yang perlu dijauhi. Umat Islam diajar agar bersederhana dalam perbelanjaan dan mengelak sikap bakhil. 

Firman Allah bermaksud: “Dan juga mereka yang apabila membelanjakan hartanya tiadalah melampaui batas dan tiada pula bakhil kedekut (sebaliknya) perbelanjaan mereka adalah sederhana antara kedua-dua (boros dan bakhil) itu.” - (Surah al-Furqan, ayat 67).

Membelanjakan harta membantu golongan miskin memenuhi keperluan  makanan lebih mulia daripada memberi kepada rakan atau saudara yang sudah mencukupi keperluan makannnya. 

Membelanja rakan makan sekadar dikira hadiah, sedangkan membantu golongan miskin merupakan satu sedekah. Pahala sedekah lebih besar daripada pahala memberi hadiah.

Allah menjanjikan balasan berlipat ganda kepada mereka yang membelanjakan harta  ke jalan-Nya.

Firman-Nya dalam surah al-Baqarah ayat 261 bermaksud: “Perumpamaan orang yang menggunakan hartanya kepada jalan Allah, bagaikan biji yang tumbuh menjadi tujuh tangkai. Pada setiap tangkai itu berbuah seratus biji dan Allah melipat gandakan (pahala) bagi sesiapa yang dikehendaki-Nya dan Allah Maha Mengetahui.”

No comments:

Post a Comment