Dalam istilah Kelantan ada frasa "gilo sakok". Perkataan "gilo" adalah gila dan "sakok" pula adalah sangkak. Sangkak adalah tempat ayam bertelur. Sangkak biasanya dibuat daripada batang buluh pada satu bahagian hujung dibelah-belah dan kemudian dianyam membentuk seperti bentuk kon.
Satu lagi frasa yang membawa maksud yang hampir sama ialah berebut sakok. Berebut sakok
merujuk kepada berebut tempat atau perkara yang sama.
Sakok yang direbut itu adalah sesuatu yang istimewa kepada
orang tertentu. Biasanya sakok yang dimaksudkan itu merujuk kepada jawatan.
Perebutan itu menjadi hangat jika melibatkan bekas penyandang. Perang berebut
sakok lebih hebat jika ada penyokong.
Gilo sakok pula merujuk kepada sikap orang yang gila atau
terlalu ingin kepada yang pernah dimilikinya. Jadi, gilo sakok kerap juga
dituju kepada orang yang masih ingin kepada jawatan yang tidak lagi dimilikinya
olehnya.
Dia akan berlagak seperti dia masih memiliki jawatan itu. Orang lain
tidak boleh mengambil alih jawatan dan tugas yang pernah disandang olehnya.
Ayam yang gilo sakok akan terus berada di dalam sakok
seperti masih mengeram telurnya walaupun telur telah tiada. Hal ini berlaku
biasanya disebabkan telur rosak atau temelar.
Ibu ayam masih mengeram kerana masih menganggap menjadi tugasnya menunggu
sehingga telur akan menetas. Itu menjadi tugas hakikinya.
Pemimpim gilo sakok akan berasa perlu terus menjalankan
tugas sehingga berjaya. Dia tidak sedar bahawa apa yang dilakukan itu sia-sia.
Telur telah menjadi busuk dan jika tidak bernasib baik akan pecah dalam sakok.
Namun, pemimpin jenis gilo sakok akan terus berada di sakok biarpun busuk dan
semua telur telah habis pecah.
Satu lagi maksud gilo sakok ialah lelaki yang menaruh harap
untuk kembali bersama dengan bekas isteri. Ia dinamakan gila talak. Maka itu
macam-macam cara dilakukan lelaki untuk kembali mendapatkan bekas
isterinya.
Paling ketara gila talak ialah dalam kes perceraian talak tiga. Mereka tidak
boleh rujuk kembali, melainkan bekas isteri berkahwin dengan lelaki lain dan
kemudian bercerai dengan suami baru itu. Maka wujudlah pula yang dinamakan cina
buta atau cino buto.

No comments:
Post a Comment