Tuesday, 12 February 2019

CONTOH TEMU BUAL BIOGRAFI

Usaha Kementerian Pelajaran memperkenalkan mata pelajaran Kajian Tempatan yang mengkehendaki pelajar menyediakan satu laporan atau tulisan mengenai tokoh tempatan adalah satu usaha menghidupkan budaya menulis sejarah hidup tokoh. 

Sejarah hidup tokoh, tidak kira dalam apa bidang sekalipun sudah tentu ada pengajaran yang boleh diikuti. Sejarah hidup mereka menjadi khazanah bangsa dan negara. Ia perlu dipelihara dan disimpan dalam bentuk sejarah lengkap.

Berikut adalah traskrip temu ramah:

Soalan: Nama penuh puan, umur dan asal.
Fatimah: Nama penuh, Fatimah Yusuf, berumur 69 tahun (2019) dan berasal Kampung Tanjung, Bachok, Kelantan.

Soalan: Puan pernah menerima anugerahTokoh Ibu Solehah 2005. Boleh jelaskan mengenai anugerah itu dan sebab puan terpilih menerimanya?

Fatimah: Anugerah itu dikurniakan oleh Raja Perempuan Kelantan, Tengku Anis Tengku Abdul Hamid dalam satu majlis berlangsung di Balai Islam. Pihak mengendalikan majlis itu adalah Jawatankuasa Hal Ehwal Wanita Negeri Kelantan sempena sambutan Hari Ibu.

Saya tidak pasti fakto dianugerahkan gelaran itu. Tetapi apa yang saya difahamkan adalah berdasarkan sumbangan saya kepada masyarakat, khususnya dalam mendidik anak-anak. Saya sebenarnya ibu tunggal kepada 16 orang anak. Suami saya, Ismail Abdullah meninggal dunia kira-kira 10 tahun lalu, selepas mengindap penyakit lumpuh kira-kira 10 tahun.

Soalan: Boleh jelaskan apakah maksud kejayaan mendidik anak?

Fatimah:  Anak-anak saya berjaya dalam pelajaran masing-masing. Ketika itu (2005), lapan orang anak saya telah tamat pengajian tinggi peringkat ijazah dan diploma. Dua orang bertugas sebagai guru siswazah, masing-masing seorang pegawai undang-undang, pensyarah, pengurus agensi insurans, penolong pegawai belia dan usahawan. Manakala yang lain pula ketika itu masing belajar.

Soalan: Adakah anak-anak lain juga mengikut jejak abang-abang mereka?

Fatimah:  Alhamdulillah, kini 16 orang sudah berjaya tamat belajar peringkat tinggi. 

Soalan: Bolehkah ceritakan pengalaman bergelar ibu kepada 16 orang anak?

Fatimah: Hanya mereka yang bergelar ibu tahu erti perit gentir melahirkan dan membesarkan seorang anak. Bayangkan pula pengalaman melahirkan dan membesarkan 16 orang anak. Terlalu banyak rintangan yang terpaksa dihadapi. Tambahan pula kami (keluarga) bukan dari keluarga berada. Rezeki yang diperoleh sekadar cukup untuk makan dan pakai ala kadar saja. 

Soalan: Apa pekerjaan suami atau puan sendiri?

Fatimah: Suami saya (Ismail Abdullah - sudah meninggal pada 20 November 2000) hanya petani selain menjadi imam mukim. Pendapatannya tidak menentu. Elaun imam pada ketika itu amat kecil. Sedangkan saya hanya menjadi suri rumah sepenuh masa. Memang ada niat hendak bekerja membantu suami, tetapi tahu sajalah, siapa pula hendak menguruskan anak-anak yang ramai. 

Soalan: Tidak pernahkah dulu puan terfikir untuk merancang keluarga atau menjarakkan penghamilan?

Fatimah: Berpegang kepada falsafah bahawa anak-anak adalah anugerah Allah dan harta yang tidak ternilai, kami tidak pernah terfikir untuk menghadkah bilangan anak yang bakal dilahirkan. Justeru, jauh sama sekali mengambil langkah merancang keluarga.

Bahkan, saya rasa bertuah mempunyai anak yang ramai dan tidak serik untuk mengandung lagi (dulu). Peluang dan pengalaman seperti ini jarang dialami ibu-ibu lain. Mungkin seorang dalam seribu pun sukar nak berjumpa.

Saya bertemu jodoh seawal usia 16 tahun. Ketika usia baru menginjak 17 tahun, saya telah bergelar ibu kepada seorang anak lelaki. 

Belumpun anak pertama boleh berjalan, saya telah disahkan mengandungkan anak kedua. Perbezaan umur anak sulung dengan anak kedua hanya 18 bulan. Manakala jarak umur anak kedua dengan akan ketiga hanya kira-kira 11 bulan, iaitu jarak kelahiran paling rapat antara 16 anak yang dilahirkan. 

Biarpun dihimpit kemiskinan dan kepayahan mendidik anak, setiap kali mengetahui diri hamil lagi, saya tetap rasa bersyukur dan tidak serik-serik berdepan keperitan ketika melahirkan anak. Itulah kekuatan yang membolehkan saya melahirkan 16 orang anak.   

Soalan: Berapa lelaki dan perempuan?

Fatimah: Anak pertama hingga ke 11 adalah lelaki dan anak ke 12 hingga ke 16 adalah perempuan.

Soalan: Apakah pendekatan yang digunakan untuk memastikan anak-anak berjaya?

Fatimah:  Suami amat mementingkan pendidikan anak-anak. Itulah harta paling bernilai untuk setiap anak.  Saya masih ingat nasihat suami kepada anak-anak: “Ayah tidak mampu meninggalkan harta pusaka kepada anak-anak. Apa yang ada sekarang sekadar cukup untuk keperluan asas dan urusan pelajaran kamu semua. Tetapi, kamu sendiri boleh mencari harta dan kebahagiaan hidup jika mempunyai ilmu.”   

Setiap anak dipastikan mendapat pendidikan agama yang sempurna. Sebagai imam mukim, suami saya tidak berkompromi mengenai didikan agama dan adab pekerti yang baik di dalam diri setiap anak.  

Soalan: Adakah puan menggunakan kekerasan untuk memaksa anak-anak belajar?

Fatimah: Kami lebih menggunakan kaedah asuhan dan kesedaran peri pentingnya pendidikan. Mereka diingatkan nasib apabila dewasa jika tidak berpelajaran.

Soalan: Bagaimana puan menanggung perbelanjaan anak yang ramai, terutama kos pendidikan di pusat pengajian tinggi yang pastinya memerlukan kos yang mahal?

Fatimah:  Seperti saya katakan sebelum ini, rezeki Allah itu maha luas. Tentu ada jalan penyelesaian jika kita berusaha dan pada masa yang sama bertawakal. Sebenarnya, kos perbelanjaan pendidikan anak-anak banyak diusahakan oleh mereka sendiri melalui kerja sambilan, sumbangan penderma (bukan mengemis) dan bantuan biasiswa dari kerajaan. Saya tidak pernah berhutang atau bergolak gadai (memang pun harta tidak ada) untuk menampung pelajaran anak-anak.

Ketika ibu bapa lain (yang miskin dan sederhana) pening kepala apabila ada anak mendapat tawaran melanjutkan pelajaran ke institut pengajian tinggi, saya tidak begitu risau mengenainya. Mereka sendiri dari awal lagi telah membuat persiapan kewangan. Anak-anak diajar berdikari sejak kecil lagi. 

Soalan: Anak-anak semua sudah berjaya dalam pelajaran masing-masing (kecuali seorang masih bersekolah), apa rancangan puan selepas ini?

Fatimah:  Tidak ada perancangan khusus. Cukuplah melihat anak-anak berjaya. Itulah impuan dan harapan semua ibu bapa. Saya sedang melalui detik ini. Syukur. Hanya saya sedikit terkilan kerana tidak dapat berkongsinya bersama suami. Sebenarnya, biarpun suami kembali ke rahmatullah pada tahun 2000 akibat penyakit lumpuh, dia sudah tidak dapat bekerja sejak 10 tahun sebelum itu. Itulah cabaran yang besar terpaksa saya dan anak-anak hadapi. Biarpun ada ayah, mereka terpaksa berdikari kerana ayah tidak mampu bekerja. Alhamdulillah, keadaan itu tidak mematahkan semangat mereka untuk terus belajar dan mencapai cita-cita masing-masing.  

Soalan: Apa nasihat puan kepada ibu bapa dalam mendidik anak?

Fatimah: Perkara yang paling penting ialah didikan akhlak dan agama. Itu adalah asas dan perkara utama yang akan menentukan 'mutu' kehidupan anak pada masa depan. Anak yang baik (taat kepada Allah) sudah pasti tidak akan melakukan perkara yang mendukacitakan ibu bapa. Mereka akan sentiasa menghormati ibu bapa. Mereka akan belajar bersungguh-sungguh kerana tahu ajaran Islam menyuruh umatnya agar menuntut ilmu. 

Jika anak tidak mempunyai akhlak yang baik, inilah masalahnya berlaku anak tidak menghormati ibu bapa. Biarpun mereka berjaya dalam pelajaran dan kerjaya yang diceburi, hakikatnya mereka gagal dalam menjadi anak yang baik. Sebab itu, ada anak yang berjaya dalam hidup, tetapi membiarkan ibu bapa hidup dalam melarat dan terpaksa mengharap bantuan daripada orang lain. 

Soalan: Berapa ramaikah bilangan cucu sekarang (2019)?

Fatimah: 62 orang. 

Soalan: Terima kasih.

Fatimah: Sama-sama.

No comments:

Post a Comment