Friday, 22 February 2019

CARA MEMBALAS BALIK KEJAHATAN

Orang yang dizalimi berhak membalas balik perbuatan ditanggung olehnya. Namun, yang lebih baik ialah memberi kemaafan yang mendatangkan kebaikan. Dengan yang demikian, maka insan pemaaf akan diberi pahala berlipat ganda oleh Allah. 

Firman Allah yang bermaksud: "Dan bagi orang yang dizalimi mereka akan membela diri. Dan balasan sesuatu kejahatan adalah kejahatan yang sama. Maka sesiapa yang memaafkan dan berbuat baik, maka pahalanya adalah tanggungan Allah. Sesungguhnya Dia tidak menyukai orang zalim." (Surah asy-Syura, ayat 39-40).     

Biarpun Islam membenarkan membalaskan kejahatan dengan kejahatan yang sama, adalah lebih baik lagi jika diselesaikan secara memberi kemaafan. 

Ini bagi mengelak perkara buruk menjadi berterusan. Disebabkan membalas itu mungkin berlaku ketidakadilan apabila balasan lebih teruk. Ini tentu pula menimbulkan perasaan tidak puas hati pihak yang dibalas.

Sabda Rasulullah yang bermaksud: “Barang sesiapa yang ingin dimuliakan tempat tinggalnya dan ditinggikan darjatnya, maka hendaklah ia memberi maaf kepada orang yang telah menzaliminya, memberi kepada orang yang tidak mahu memberi kepadanya dan menyambung silaturahim kepada orang yang memutuskannya.” (Hadis riwayat al-Hakim)

Sebenarnya tidak rugi kita memaafkan orang lain. Apa yang telah berlaku telah menjadi sejarah. Kita tidak mendapat apa-apapun daripada kemarahan yang ditunjukkan, bahkan menyebabkan kesan buruk kepada diri sendiri.

Mereka yang dalam keadaan marah tidak baik untuk kesihatan. Ada pesakit jantung menunggal dunia disebabkan perasaan marah yang tidak terkawal. Mereka sentiasa dalam keadaan marah juga mudah mendapat penyakit darah tinggi.   

Syaitan pernah memberitahu Nabi Musa bagaimana dia mendekati manusia supaya melakukan perbuatan dilarang agama dengan katanya: "Tiga perempat daripada masa yang paling baik untuk aku menggoda manusia ialah sewaktu mereka di dalam keadaan marah, kerana pada masa itu aku boleh memain-mainkan hati mereka seperti sebiji bola."

Islam menganjurkan agar saling memaafkan demi mewujudkan kesejahteraan dalam kehidupan. Kita perlu melihat keuntungan di akhirat berdasarkan janji yang diberikan oleh Allah melalui ayat di atas. 

No comments:

Post a Comment