Amalan terlalu kerap memakan makanan segera perlu dibatasi. Biarpun makanan
segera dihasil dengan kawalan mutu dan zat pemakanan yang baik, namun tidak
pula menjamin sebagai satu sumber makanan seimbang.
Makanan segera kebanyakannya mengandungi kandungan lemak dan garam yang
tinggi. Kedua-dua kategori tersebut mendatangkan masalah kepada kesihatan jika
diambil secara berlebihan. Kandungan lemak yang tinggi memang diperlukan bagi
penduduk di negara Barat yang mempunyai musim sejuk, tempat asal menu makanan
segera dicipta.
Makanan segera juga kurang mengandungi serat dan agen anti oksida yang amat
diperlukan oleh badan. Keadaan ini menimbulkan masalah penghadaman dan
penyingkiran toksin dalam badan.
Makanan segera biasanya diproses turut menggunakan berbagai-bagai aditif
makanan. Aditif makanan bermaksud apa-apa bahan tambahan yang dimasukkan atau
dicampurkan ke dalam makanan dalam kuantiti sedikit bagi mempengaruhi kualiti
penyimpanan, tekstur, rupa, bau atau rasa makanan, tetapi tidak menambah zat
dan khasiat pada makanan tersebut.
Lebih buruk lagi, aditif makanan memberi kesan sampingan jika diambil
terlalu kerap. Pihak berkuasa membenarkan penggunaan aditif makanan berdasarkan
tidak membahayakan kesihatan untuk ‘satu’ menu yang diambil.
Dengan kata lain, makanan segera ada pro dan kontranya. Pengguna perlulah
bijak menentukan apa yang terbaik baginya. Sebenarnya tidak ada istilah
‘makanan kurang baik’, melainkan kita tidak menepati peraturan pengambilannya.
Dengan kata lain, tidak salah makan makanan segera. Buruknya hanya jika
kita terlalu kerap memakannya. Ingatlah, makanan menentukan kualiti hidup
seharian kita. Kehidupan yang baik bermula dengan pemilihan makanan yang baik.
Makan lebih banyak sayur dan buah adalah ubat kepada banyak penyakit yang
menyerang masyarakat moden hari ini.
Kita tidak menjadi Barat dengan cara memakan makanan Barat. Masih banyak
lagi hidangan lazat dan berzat yang mampu disediakan oleh pakar masakan di
negara kita. Biarpun tidak sepenuhnya asli daripada menu tempatan, rasa
kemalaysiaan masih terserlah, menepati citarasa penduduk berbagai bangsa di
negara kita.
Tidak ada apa ruginya kalau kita mengurangkan pengambilan makanan segera
dan beralih semula selera kepada makanan tempatan. Ini menjimatkan, menyihatkan
dan menyelerakan. Kita perlu pertahankan jati diri bangsa yang antara lain
dapat ditonjolkan melalui cara memilih makanan yang lebih bercirikan tempatan.
No comments:
Post a Comment