Mencari dan memilih sumber yang halal adalah kewajipan bagi setiap Muslim.
Perbuatan itu sebahagian daripada ibadah yang mendapat ganjaran pahala yang
besar untuk kebahagiaan hidup di hari akhirat.
Firman Allah bermaksud: “Wahai orang-orang yang beriman! Makanlah
benda-benda yang baik (yang halal) yang telah Kami berikan kepada kamu, dan
bersyukurlah kepada Allah, jika betul kamu hanya beribadat kepada-Nya.” (Surah
al-Baqarah, ayat 172).
Peri pentingnya mendapatkan sumber makanan daripada sumber yang halal
ditegaskan dalam banyak ayat al-Quran dan hadis. Perintah itu dirangkaikan
bersama-sama dengan perintah membuat kebaikan lain.
Firman Allah bermaksud: “Makanlah olehmu makanan yang baik-baik (halal) dan
kerjakan amal soleh.” (Surah al-Muminun, ayat 51).
Segala jenis makanan yang membahayakan diri orang yang memakannya, baik
secara langsung atau tidak langsung adalah diharamkan dimakan oleh orang Islam.
Kepatuhan memberi kebaikan kepada fizikal manusia, dan menjadi lambang keimanan
dan ketakwaan.
Firman-Nya dalam surah al-Araf ayat 157 yang bermaksud: “Allah menghalalkan
mereka segala benda yang baik dan mengharamkan mereka segala benda yang kotor.”
Menjauhkan apa yang dilarang dengan niat mematuhi perintah Allah adalah
pahala. Ini satu bonus pahala. Sedangkan untuk mendapat pahala biasanya perlu
melakukan, seperti perlu mengerjakan sembahyang, zakat, sedekah dan puasa.
Dalam usaha melahirkan peribadi soleh, keturunan yang bertakwa serta
masyarakat yang mendapat rahmat dan keampunan Allah, kita perlu berhati-hati
dan berusaha memastikan setiap apa yang kita makan mestilah bersih dan halal.
Dengan kata lain, dalam aspek pematuhan soal halal dan haram amalan
pemakanan juga dianggap sebagai ibadat. Jadi, jangan persia-siakan amalan pahala
yang dijanjikan melalui ‘ibadat makan’.
Setelah dipastikan makanan halal, tidak pula bermakna boleh makan sesuka
hati. Kita perlu makan sekadar yang diperlukan oleh badan untuk sihat dan
melaksanakan tugas yang diamanahkan.
Rasulullah memberi garis panduan dalam soal makan, iaitu makan apabila
lapar dan berhenti sebelum kenyang. Aturan itu dapat mengelak keburukan akibat
mengisi perut dengan berlebih-lebihan.
Pemakanan sihat dan seimbang dari segi kualiti dan kuantitinya mampu
melahirkan masyarakat yang bukan saja cemerlang kesihatannya bahkan cemerlang
akhlak sahsiah, berperibadi mulia dan mengamalkan ajaran Islam secara lengkap
serta menyeluruh.
No comments:
Post a Comment