Menolak perpaduan dibawa oleh Islam
samalah seperti menolak rahmat Allah. Allah menjanjikan kebahagiaan di dunia
dan akhirat kepada mereka yang mementingkan ikatan persaudaraan dan menjauhkan persengketaan.
Islam yang dibawa oleh Rasulullah
SAW mengambil pendekatan menyatukan seluruh puak dan keturunan dengan satu
piagam seluruh umat Islam adalah bersaudara. Firman Allah bermaksud:
“Sesungguhnya orang Islam bersaudara.” (Surah al-Hujurat, ayat 10)
Manakala hubungan dengan bukan Islam
yang tidak memusuhi Islam dihormati sebagai jiran, rakan dan rakyat yang tetap
mendapat hak-hak mereka.
Jelaslah, kedatangan Islam adalah
rahmat yang menyatukan seluruh umat manusia. Sebelum kedatangan Islam,
masyarakat Arab berada dalam berpecah belah mengikut puak dan keturunan.
Ketika Islam mula disebarkan di
Mekah, Rasulullah SAW terpaksa menghadapi rintangan yang besar untuk
menyakinkan masyarakat Arab tentang kebenaran agama Islam.
Halangan utama ketika itu kerana
masing-masing puak mempunyai kepercayaan dan mempertahankan hak yang diwarisi
sejak dari nenek moyang. Setiap puak merasakan apa yang mereka pertahankan
adalah yang terbaik. Sikap berpuak-puak dan taksub kepada puak amat menebal di
kalangan Arab Jahiliah.
Bagi orang Arab Jahiliah, menerima
satu ajaran baru yang dianggap asing dan menolak sepenuhnya amalan yang
dipegang kuat oleh mereka samalah seperti membunuh maruah dan kemegahan selama
ini.
Hakikat sebenarnya, masyarakat Arab
Jahiliah bukan mempercayai kebenaran agama anutan mereka ketika itu, tetapi
lebih bersifat mempertahankan ‘kemegahan’ amalan nenek moyang yang mana mereka
sanggup berpecah dan berperang sesama sendiri.
Ketika menolak ajaran dibawa oleh
Rasulullah SAW, orang Arab Jahiliah lebih banyak menuduh ajaran itu sengaja
direka-reka oleh Rasulullah SAW. Mereka menolak Islam bukan kerana keyakinan
kepada agama asal, tetapi sifat Islam meletakkan seluruh penganutnya sama rata
tanpa membezakan keturunan, puak dan darjat.
Dengan
kedudukan tersebut, masyarakat Arab Jahiliah tidak berpeluang untuk terus
berpecah dan berperang yang menjadi lambang kemegahan dan kekuatan setiap
puak.
Sebenarnya,
perpaduanlah lambang kekuatan. Apabila Islam semakin kuat dan bersatunya
seluruh puak di Semenanjung Arab, kehebatan bangsa Arab mula melepasi sehingga
ke benua Afrika dan Eropah. Malah, syiar Islam terus
berkembang sehingga ke hampir satu pertiga dunia dalam tempoh yang
singkat.
Kejayaan negara Islam di Madinah
mengatasi kuasa paling kuat pada ketika itu iaitu kerajaan Rom membuktikan
betapa perpaduan dan keikhlasan memperjuangkan agama Allah menjadi asas
kekuatan yang sukar diatasi oleh mana-mana kuasa sekalipun.
Jika
bangsa Arab terus bermegah dengan puak dan mengamalkan berpecah belah, sudah
pasti tiada satupun puak Arab yang berjaya mengatasi kekuatan kerajaan Rom.
Sebelum bersatu dalam Islam, bangsa Arab menganggap satu perkara tidak mungkin
berlaku untuk mereka mengalahkan kerajaan Rom.
No comments:
Post a Comment