Wednesday, 13 February 2019

KALAU ORANG ISLAM BERSATU


Sikap umat Islam yang sentisa berpecah-pecah menjadi senjata musuh Islam untuk terus menindas umat Islam. 

Seorang tokoh bukan Islam pernah berkata: “Kalaulah orang Islam bersatu di dalam satu empayar Arab, mereka boleh menjadi satu bala dan bahaya kepada dunia. Kalaulah mereka masih bersengketa sesama sendiri, selagi itulah mereka tidak mempunyai sebarang kekuatan dan pengaruh.”

Perpecahan di peringkat mana sekalipun tidak wajar berlaku jika sekiranya setiap individu dan kumpulan memahami tuntutan agama. Jika ada masalah timbul melibatkan umat Islam, maka rundingan mencari jalan penyelesaian perlu dilakukan. 

Dalam setiap rundingan tiada pihak yang menang dan kalah. Sebaliknya, persefahaman yang mengelak berlakunya perpecahan itulah sebenarnya kemenangan untuk kedua-dua pihak. 

Kepentingan dan kesejahteraan seluruh umat Islam perlu diutamakan dalam setiap keputusan yang diambil. Kepentingan individu atau kumpulan tertentu perlu ditolak jika ia mendatangkan keburukan kepada masyarakat Islam keseluruhan. 

Di negara kita wujud pihak yang mendakwa memperjuangkan Islam, sebaliknya mencetuskan tindakan yang merugikan umat Islam di negara ini. Pihak yang berjuang menjadikan Malaysia negara Islam, sebenarnya belum memahami sepenuhnya konsep negara Islam.

Kedudukan Malaysia sebagai negara Islam telah termaktub dalam perlembagaan. Semua kaum menerima dan memperakui kedudukan Islam sebagai agama rasmi. 

Sebuah negara Islam membenarkan penganut agama lain mengamalkan kepercayaan masing-masing. Pada zaman pemerintahan Rasulullah di Madinah, kaum Yahudi dan Nasrani dibenarkan mengamalkan amalan kehidupan berasaskan kepercayaan dipegang. 

Pemimpin Islam di Malaysia mengamalkan dasar toleransi dan kesederhanaan dalam menangani isu-isu berkaitan Islam merupakan rahsia kejayaan negara dalam menghadapi segala kerenah yang ditimbulkan oleh pihak tidak bertanggungjawab.

Penerapan dasar-dasar Islam dan penubuhan institusi keagamaan membuktikan kesungguhan pemimpin negara dalam mengekakan syiar Islam di negara ini. Apa yang dilakukan oleh kerajaan sekarang berjaya meletakkan Malaysia sebagai negara Islam termaju dan kini menjadi contoh kepada negara Islam lain. 

Justeru, kepimpinan kerajaan sekarang perlu dipertahankan demi untuk meneruskan dasar-dasar pembangunan Islam dan tidak syak lagi Malaysia bakal muncul sebagai kuasa Islam terulung di dunia.

Jika umat Islam bersatu, kekuatan bertambah begitu ketara seperti batang lidi yang diikat dapat melaksanakan pelbagai tugas dan sukar dipatahkan. 

Rasulullah menyedari akan berlaku perpecahan di kalangan umatnya. Sebab itu Rasulullah berpesan agar umat Islam selepas kewafatannya menjadi dua perkara, iaitu al-Quran dan sunnah sebagai ikutan untuk mengelak daripada sebarang kesesatan dan perpecahan. 

No comments:

Post a Comment