Nasib menimpa umat Islam di seluruh dunia
sekarang banyak berpunca akibat perpecahan. Kuasa umat Islam di beberapa negara
menjadi tidak kuat disebabkan apa pihak yang menentang dan membuat onar.
Keadaan tersebut membuka peluang pihak asing campur tangan. Akibatnya,
kuasa umat Islam berada di tangan musuh.
Sesungguhnya, umat Islam perlu membina
kekuatan sendiri. Allah tidak akan mengubah nasib sesuatu kaum jika kaum itu
sendiri tidak mahu berusaha mengubahnya.
Firman Allah bermaksud: “Sesungguhnya Allah
tidak akan mengubah nasib sesuatu kaum, melainkan kaum itu sendiri berusaha
mengubahnya.” - (Surah ar-Rad, ayat 11)
Perpecahan dalam umat Islam banyak didorong
oleh perebutan kuasa. Ia bukan perkara baru, sebaliknya telah berlaku sejak
kewafatan Rasulullah.
Terdapat kumpulan menentang pemimpin
disebabkan sifat tamak dan gila kuasa. Peperangan dan pembunuhan sesama Islam
merupakan satu malapetaka paling malang terpaksa ditempuh oleh umat
Islam.
Sesiapa sengaja menentang pemimpin adil dan
amanah terhadap tugasnya, bererti dia menetang Allah dan Rasulullah. Islam
mementingkan ketaatan kepada pemimpin kerana ia asas kepada kejayaan membentuk
masyarakat harmoni, adil dan maju.
Sabda Rasulullah bermaksud: “Sesiapa yang
taat kepadaku, bererti dia taat kepada Allah, sesiapa yang durhaka kepadaku
bermakna dia durhaka kepada Allah, sesiapa taat kepada pemerintah bererti dia
taat kepadaku, dan sesiapa yang durhaka kepada pemerintah bermakna dia durhaka
kepadaku.” - (Riwayat Bukhari, Muslim, Abu Daud, Nasai dan Ibnu Majah).
Menjadi tanggungjawab setiap orang beriman
agar mewujudkan keadaan persaudaraan tanpa sebarang perasaan curiga. Sekiranya
ada pertelingkahan berlaku, ia perlu didamaikan segera sebelum menjadi lebih
renggang.
Sesungguhnya hubungan baik dianjurkan Islam
tidak setakat sesama Islam semata-mata. Menjalin hubungan baik dan saling
menghormati juga menjadi hak bagi orang bukan Islam daripada orang Islam.
Justeru itu, haram bagi orang Islam memerangi
orang bukan Islam. Orang bukan Islam mempunyai hak yang sama untuk menikmatik
kehidupan aman bersama-sama orang Islam dalam sebuah negara Islam. Ia merupakan
sebahagian daripada kaedah dakwah agar lebih ramai tertarik kepada Islam.
Firman Allah dalam surah al-Mumtahanah ayat 8
yang bermaksud: “Allah tidak melarang kamu daripada berbuat baik dan berlaku
adil kepada orang yang tidak memerangi kamu kerana agama (kamu) dan tidak
mengeluarkan kamu dari kampung halaman kamu. Sesungguhnya Allah mengasihi orang
yang berlaku adil.”
Secara jelasnya membuktikan Islam agama
perdamainan. Sebarang perbuatan yang boleh mencetuskan sengkata tidak kira di
antara sesama Islam dan bukan Islam, wajib ditentang. Islam tidak mengajar
umatnya melakukan tindakan melampau memperjuangan agama kerana ia mudah
mencetuskan perbalahan.
Islam mengajar toleransi dan lemah lembut
dalam menghadapi kancah hidup. Kekerasan dan peperangan hanya digunakan
apabila keselamatan terancam.
No comments:
Post a Comment