Saturday, 1 June 2019

KERETA API HANTU KUALA GERIS


'Kereta api hantu' atau 'ghost train'. Itulah panggilan baru untuk 'shuttle train' atau 'Kelantan Shuttle'. Gelaran kereta api hantu timbul dari pengalaman dan pengamatan jurugambar terkenal Wazari Wazir ketika merakamkan gambar perjalanan ulang alik pelajar ke sekolah dengan menggunakan kereta api. 

Di jajahan (daerah) Kuala Krai, Kelantan, masih terdapat pelajar yang berulang alik setiap hari menggunakan perkhidmatan kereta api. Perkhidmatan kereta api itu telah beroperasi sejak berpuluh tahun lalu. 

Sebelum ini kereta api yang digunakan adalah dari jenis coach lama yang tiada aircond.  Tetapi sejak tahun 2009, ianya telah diganti dengan yang agak baharu dan diberi nama “Shuttle Train” atau “Kelantan Shuttle”.

Stesen bermula perkhidmtan ini di Stesen Keretapi Tumpat dan kereta api yang paling awal berlepas pada jam 4:20 pagi. Sebelum ini, sebelum diganti dengan coach yang baharu kereta api ini bergerak dari Setsen Tumpat sekitar jam 3.00 pagi.

Mengapa Wazari Wazir memanggilnya “Ghost Train”? Sebabnya kereta api itu seolah-olah tiba-tiba muncul sahaja membelah kabus pagi yang tebal ketika beliau bersiap untuk merakamkan ketibaan shuttle itu di Kuala Gris.

Kesemua pelajar yang menaiki kereta api ini adalah pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan Dabong. Di Kuala Geris hanya ada sekolah rendah sahaja. Selain itu, kereta api ini juga membawa pelajar-pelajar dari Stesen Ulu Temiang, Slow Pak Long dan juga Bukit Abu.

Kebanyakan penduduk tempatan terutamanya pelajar-pelajar sekolah di kawasan ini sangat bergantung kepada perkhidmatan kereta api ini untuk ke sekolah.

Sebenarnya ada jalan menghubungkan Kuala Geris dengan Dabong. Jaraknya sekitar 15 kilometer. Namun adalah lebih mudah dan selesa menggunakan kereta api kerana jarak rumah mereka dengan stesen hanya kurang 300 meter. Begitu juga jarak stesen dengan sekolah.

Shuttle digunakan untuk pulang adalah sekitar jam 2.30 petang.

No comments:

Post a Comment