Islam adalah agama yang sangat
menyeluruh, sehinggakan bab memberi salam ketika hendak masuk ke dalam rumah
juga disebutkan di dalam al-Quran.
Firman Allah SWT yang
bermaksud: "Wahai orang-orang
yang beriman, janganlah kamu masuk ke dalam mana-mana rumah yang bukan rumah
kamu, sehingga kamu lebih dahulu meminta izin serta memberi salam kepada
penduduknya; yang demikian adalah lebih baik bagi kamu, supaya kamu beringat
(mematuhi cara dan peraturan yang sopan itu)" (Surah al-Nur, ayat 27)
Memberi salam juga adalah suatu Sunnah
yang melambangkan identiti seorang Muslim. Salam yang mengandungi ucapan
beserta doa itu melambangkan betapa eratnya hubungan di antara seorang Muslim
dengan Muslim yang lain itu, serta betapa prihatinnya dia terhadap saudaranya.
Begitulah besarnya hikmah di sebalik
seruan Nabi SAW terhadap umatnya melalui hadis yang diriwayatkan al-Bara,
bahawa Nabi SAW bersabda: "Sebarkan
(jadikan kebiasaan) salam, (maka) kamu akan sejahtera." (Hadis riwayat Bukhari)
Bagaimana pula ketika masuk ke rumah kosong?
Adakah perlu diberikan salam?
Sabda Rasulullah SAW bermaksud: "Sekiranya seseorang itu masuk ke dalam rumah
yang tidak berpenghuni, maka ucapkanlah: “Assalamu ‘alaina wa ‘ala ‘ibadillah
al-Solihin (salam sejahtera ke atas kami dan ke atas hamba-hamba Allah yang
soleh)” (Hadis riwayat Bukhari)
Syeikh Zakaria al-Kandahlawi dalam
mensyarahkan hadith ini telah menukilkan beberapa pandangan ulama yang
berkaitan hadith ini.
Dinukilkan daripada Ibn ‘Abbas
mengatakan bahawa rumah yang
tidak berpenghuni adalah termasuk rumah yang berpenghuni namun
tidak ada orang di dalamnya. (Lihat Awjaz al-Masalik ila al-Muwatta’ Malik, 17/206)
Imam al-Suyuthi pula menukilkan bahawa
sekiranya masuk ke dalam sesebuah rumah yang di dalamnya terdapat orang Islam,
maka ucapkanlah salam, sekiranya masuk ke dalam rumah yang didiami oleh orang
bukan Islam atau tiada orang di dalamnya, maka ucapkanlah: “Assalamu ‘alaina wa ‘ala ‘ibadillah
al-Solihin. Lihat al-Dur al-Mansur (6/208).
Imam al-Nawawi dalam mensyarahkan hal
ini membawakan firman Allah SWT yang bermaksud: "Maka apabila kamu masuk ke mana-mana rumah, hendaklah kamu memberi
salam kepada (sesiapa yang seperti) kamu dengan memohon kepada Allah cara hidup
yang berkat lagi baik. (Surah al-Nur, ayat 61).
Beliau mengatakan berdasarkan ayat di
atas, sekiranya masuk ke dalam rumah yang didiami oleh manusia atau tidak, maka
disunatkan untuk menuturkan, bismillah,
memperbanyakkan zikir kepada Allah SWT dan memberi salam. (Lihat kitab al-Azkar, hlm.
49)
Maka itu, jika
masuk ke
dalam rumah yang kosong maka ucapkanlah:"Assalamu ‘alaina wa ‘ala ‘ibadillah al-Solihin"
Ini menghormati makhluk-makhluk Allah
SWT selain daripada manusia yang berkemungkinan tinggal di tempat tersebut.
No comments:
Post a Comment