Monday 12 December 2016

Mangsa skim cepat kaya

Skim pelaburan janji pulangan lumayan. Untung berganda dalam tempoh masa singkat dan dijamin tidak rugi. Peluang jadi kaya berstatus jutawan dengan cepat. Itulah ciri menarik dan menyebabkan orang mudah tergoda menyertainya dan akhirnya menjadi mangsa perangkap skim cepat kaya.

Skim menarik minat mereka ingin cepat kaya sekadar indah khabar dari lupa. Niat hendak kaya bertukar kepada kerugian jutaan ringgit kepada yang menyertainya. Mereka terperangkap dan jadi mangsa.

Anehnya, rakyat di Malaysia masih tidak serik ditipu skim cepat kaya dan skim piramid atau skim lain yang seumpamanya.

Mangsanya melibatkan semua peringkat umur, taraf pendidikan dan kedudukan. Ada dalam kalangan mereka golongan profesional dan berkedudukan tinggi yang pada lojiknya tidak sepatutnya menjadi mangsa.

Skim cepat kaya merupakan satu skim di mana sejumlah wang akan didepositkan atau dilaburkan kepada penganjur skim cepat kaya dangan janji dan syarat bahawa wang deposit tersebut akan dipulangkan kembali dengan faedah atau keuntungan.

Keuntungan yang dijanjikan bagi wang yang didepositkan selalunya lebih tinggi daripada apa yang ditawarkan oleh institusi-institusi kewangan berlesen.

Terdapat pelbagai jenis skim cepat kaya terkenal di negara kita. Antaranya adalah skim piramid dan skim ponzi. Di Malaysia skim cepat kaya yang paling terkenal adalah skim Pak Man Telo.

Pada permulaan skim tersebut, penganjur menggunakan wang deposit yang diterima daripada pendeposit baru untuk membayar pulangan atau wang pokok pendeposit yang sebelumnya.

Pada amnya, para penganjur skim cepat kaya tidak melaburkan deposit yang diterima ke dalam pelaburan atau perusahaan yang mendatangkan keuntungan yang sama atau lebih tinggi.

Oleh yang demikian, mereka tidak dapat terus menanggung pembayaran pulangan yang tinggi kepada pelabur yang sedia ada. Jika tiada deposit baru diterima oleh penganjur atau skim ini dibatalkan, ia akan gagal dan para pelabur atau pendeposit akan kehilangan wang mereka.

Terdapat penganjur cuba mengelirukan pelabur dengan membuat pelaburan yang sebenar dalam perlbagai sektor seperti penternakan, peladangan, saham luar negara, emas, komoditi, forex dan sebagainya.

Namun hakikatnya, cara pembayaran tetap menggunakan deposit pelabur baru. Mungkin ada sedikit keuntungan dari pelaburan yang dibuat, tetapi tidak memadai untuk membayar keuntungan tinggi yang dijanjikan kepada pelabur.

Antara ciri skim cepat kaya adalah:

- Dijamin tiada risiko dan wang akan dipulangkan kembali.
- Keuntungan berganda dalam tempoh singkat. 
- Dijanji dibayar semula deposit berserta keuntungan besar apabila memenuhi syarat ditetapkan. 
- Boleh tuntut semula deposit bila-bila masa dan masih berpeluang mendapat keuntungan.
- Elemen keuntungan atau dividen yang dijanjikan tidak 'logik' mengikut kadar yang biasa diterima melalui skim sah lain.
- Dicadang melaburkan semula keuntungan untuk dapat keuntungan berganda. 

No comments:

Post a Comment