Sunday 15 January 2017

Maksud jenayah akidah

Apabila kita berbincang mengenai jenayah maka sudah tentu perkara yang berlegar dalam fikiran kita ialah sesuatu perbuatan kejahatan yang salah di sisi undang-undang telah dilakukan. Apabila kita bercakap mengenai jenayah aqidah, maka ia berkaitan kepercayaan, keyakinan, dan keimanan.

Ungkapan perkataan aqidah akan merujuk kepada perihal keimanan, kepercayaan serta keyakinan. Ini juga bermakna, bahawa perkataan aqidah adalah sinonim dengan perkataan keimanan atau iman yang mana di dalam konteks ini selaras dengan penggunaan al-Quran.

Firman Allah SWT bermaksud: “Sesungguhnya orang-orang yang beriman dan mengerjakan amal-amal saleh, mereka diberi petunjuk oleh Tuhan mereka karena keimanannya di bawah mereka mengalir sungai-sungai di dalam syurga yang penuh kenikmatan. (Surah Yunus, ayat  9).

Aqidah dan keimanan itu merupakan dua istilah yang mempunyai konotasi makna yang sama dan dengan itu kedua-duanya boleh ditukar gantikan penggunaannya.

Dalam Kamus Dewan, Edisi Ketiga, jenayah bermaksud perbuatan kejahatan (seperti mencuri, merompak, membunuh dan lain-lain lagi) yang salah di sisi undang-undang, perbuatan salah di sisi undang-undang, perbuatan criminal.

Aqidah pula bermaksud  kepercayaan, keyakinan.

Jika kita lihat pengertian aqidah menurut pandangan Islam, dari segi bahasa merupakan satu perkataan yang berasal dari bahasa Arab. Makna literalnya merujuk kepada “ikatan kemas” atau ‘simpulan mati” yang melambangkan adanya unsur-unsur makna macam kekuatan dan keyakinan.

Firman Allah SWT bermaksud: “Allah tidak menghukum kamu disebabkan sumpah-sumpahmu yang tidak dimaksud (untuk bersumpah), tetapi Dia menghukum kamu disebabkan sumpah-sumpah yang kamu sengaja, Maka kaffarat (melanggar) sumpah itu, ialah memberi Makan sepuluh orang miskin, iaitu dari makanan yang biasa kamu berikan kepada keluargamu, atau memberi pakaian kepada mereka atau memerdekakan seorang budak. barang siapa tidak sanggup melakukan yang demikian, Maka kaffaratnya puasa selama tiga hari. yang demikian itu adalah kaffarat sumpah-sumpahmu bila kamu bersumpah (dan kamu langgar). dan jagalah sumpahmu. Demikianlah Allah menerangkan kepadamu hukum-hukum-Nya agar kamu bersyukur (kepada-Nya)” (Surah al-Maidah, ayat 89).

Dari segi istilah, apabila aqidah diangkat menjadi istilah khusus atau teknikal, maka secara umumnya merujuk kepada kepercayaan dan keyakinan yang cukup pasti terhadap sesuatu tanpa ada sebarang rasa syak serta keraguan.

Oleh itu, dalam perspektif Islam, istilah aqidah atau iman dalam konteks teknikal ini tidak cukup untuk menjadi boleh diterima sekiranya ianya hanya terungkap dalam pengisytiharan luaran semata-mata, kerana dalam kehidupan pada hari ini cukup ramai sekali golongan yang hanya mengisytiharkan secara zahir bahawa mereka beriman sedangkan di hati mereka sedikit pun tidak wujud walau sekelumit iman tersebut.

Firman Allah SWT:  “Di antara manusia ada yang mengatakan: "Kami beriman kepada Allah dan hari kemudian," pada hal mereka itu Sesungguhnya bukan orang-orang yang beriman. Mereka hendak menipu Allah dan orang-orang yang beriman. Padahal mereka hanya menipu dirinya sendiri sedang mereka tidak sedar. (Surah al-Baqarah, ayat 8-9).

Istilah aqidah atau iman yang tulen itu, dalam pandangan Islam tidak juga hanya merujuk kepada penunaian serta pelaksanaan tugas-tugas atau syiar tertentu seperti selayaknya dilaksanakan oleh kalangan orang yang memiliki aqidah. Kerana terdapat ramai kalangan dajal yang hanya bermuka-muka dan menunjuk-nunjuk melakukan perkara kebaikan, sedangkan hatinya penuh dengan kedurjanaan dan tidak ada keikhlasan terhadap Allah SWT

Firman Allah SWT: “Sesungguhnya orang-orang munafik itu menipu Allah, dan Allah akan membalas tipuan mereka. dan apabila mereka berdiri untuk shalat mereka berdiri dengan malas. mereka bermaksud riya (dengan shalat) di hadapan manusia. dan tidaklah mereka menyebut Allah kecuali sedikit sekali. (Surah an-Nisa, ayat 142).

Allah SWT telah mengangkat martabat manusia lebih tinggi berbanding dengan makhluk ciptaan Allah yang lain melalui pengurniaan akal fikiran. Keberadaan akal membolehkan manusia berfikir mencari kebenaran hidup.

Malangya, masih  ramai manusia tidak menggunakan akal fikiran kurniaan Allah SWT yang menyebabkan pegangan aqidah terpesong.

Oleh sebab itu, umat Islam di Malaysia sering dikejutkan dengan berita-berita yang menjurus kepada kerapuhan dan keruntuhan aqidah seperti isu ajaran sesat dan keprcayaan kurafat.  

Situasi ini tidak wajar dipandang mudah, sebaliknya satu masalah yang cukup serius dan amat membimbangkan umat Islam seandainya tidak dibendung dan diatasi dengan segera oleh pihak yang bertanggungjawab. 

No comments:

Post a Comment