Sunday 15 January 2017

Bulan Safar bawa bala sial

Bulan Safar dikaitkan bala, nasib tidak baik, perkara buruk dan derita. Safar bulan kedua dalam kalendar Islam. Safar bermaksud kosong. Ia juga memberi erti, meninggalkan sesuatu tempat apabila merujuk kepada perkataan `safir'.  

Banyak orang percaya, bulan Safar membawa bala dan kejadian tidak baik. Sesungguhnya bulan Safar sama juga dengan bulan-bulan lain yang tidak ada sial dan bala di dalamnya.  

Sekiranya ada kejadian bala pada bulan Safar, maka itu tidak ada kaitan dengan bulan Safar. Anggaplah ia hanya satu kebetulan. Semua kejadian ditentukan Allah SWT. 

Perkara ini ditegaskan oleh Allah SWT dalam firman yang bermaksud: "(Tuhan berfirman) ketahuilah, sesungguhnya nahas dan malang mereka itu hanya ditetapkan di sisi Allah, akan tetapi kebanyakan mereka tidak mengetahui." (Surah al-Araf, ayat 131)

Mengapakah ada orang mempercayai pada bulan Safar Allah SWT akan menurunkan puluhan ribu bala yang akan menimpa umat manusia, sedangkan bala sentiasa berada di mana-mana dan pada bila-bila masa saja yang dikehendaki Allah SWT.  

Bala tetap berlaku pada bulan-bulan lain. Maka adakah kita ingin katakan bahawa semua bulan adalah bulan bala?

Kita amat sedih apabila masih ada yang mempercayai bulan Safar bulan bala dan sial. Untuk mengelak kesialan itu, maka ada umat Islam yang telah menulis ayat wifiq pada kertas dan pinggan mangkuk yang kemudiannya diletakkan di dalam tempayan, kolam, perigi atau seumpamanya untuk diminum serta bermandi manda untuk mengelak bala.

Perlu ditegaskan bahawa kepercayaan karut seumpama itu berpunca daripada amalan atau kepercayaan jahiliah yang dilarang Islam. Masyarakat Arab Jahiliyah amat percaya kepada perkara mistik dan kurafat, sesuai dengan pengangan atau kepercayaan mereka pada ketika itu. 

Namun, kepercayaan itu masih diamalkan di kalangan orang Arab Jahiliyah biarpun telah memeluk Islam. Perkara ini terjadi mungkin kerana perkara itu sudah sebati atau mereka tidak mendapat maklumat bahawa perbuatan itu ditegah agama.

Perbuatan mempercayai bulan Safar mendatangkan bala dan sial adalah perbuatan mencampakkan diri dalam kebinasaan. 

Allah SWT berfirman yang bermaksud: “Belanjakanlah (apa yang ada padamu) kerana (menegakkan) agama Allah dan janganlah kamu sengaja mencampakkan diri kamu ke dalam bahaya kebinasaan dan perelokkanlah perbuatan kamu kerana sesungguhnya Allah mengasihi orang yang berusaha memperbaiki amalannya.” (Surah al-Baqarah, ayat 195) 

Ada sesetengah orang tua yang tidak mahu mengadakan majlis perkahwinan atau keramaian pada bulan Safar kerana dikhuatiri pengantin tidak akan mendapat zuriat atau tidak bahagia. Kepercayaan itu jelas bercanggah dengan syariat Islam serta boleh menyebabkan rosaknya akidah.   

Dalam keadaan tertentu, ia boleh menyebabkan seseorang menjadi syirik kerana percaya kepada bulan, bukannya pada kuasa Allah SWT. Berhati-hatilah agar kita tidak terikut-ikut dengan kepercayaan kurafat ini. Yakinlah bahawa setiap apa terjadi ketentuan Allah SWT tanpa bersandarkan kepada perkara lain.

Rasulullah SAW menyatakan melalui sabda bermaksud: "Tidak ada penularan penyakit (tanpa izin Allah), tidak ada penentuan nasib dengan burung, tiada kemudaratan burung hantu, dan tiada bala bencana bulan Safar. (Riwayat Bukhari dan Muslim).  

No comments:

Post a Comment