Memang, ibu bapa yang mengharapkan anak menjadi soleh,
rata-rata terdiri ibu bapa yang baik. Kerana itu mereka mengharapkan anak
menjadi soleh. Tetapi, ada juga ibu bapa yang beriya-iya inginkan anak
menjadi baik, malangnya tidak bersikap baik. Mereka layak dipanggil
seperti ketam mengajar anak berjalan betul.
Amat
penting ibu bapa sendiri melakukan transformasi diri untuk menjadi ibu bapa yang
lebih baik agar dapat menjadi ikutan kepada anak-anak. Anak-anak mudah
meniru dan mengikut apa yang dilakukan oleh ibu bapa.
Sikap
ibu bapa yang mudah menyalahkan pihak lain antara perbuatan yang tidak elok
diamalkan. Banyak ibu bapa atau orang dewasa hanya pandai komen, merungut,
marah, tidak puas hati terhadap perkara yang berlaku di sekeliling
mereka. Sikap itu diperhati oleh anak-anak dan akan turut terpengaruh
dengan perbuatan itu.
Perbuatan
itu nampak lumrah dan perkara biasa. Tetapi hakikatnya ia banyak
mempengaruhi sikap anak-anak. Sikap demikian akan melahirkan generasi yang
hanya tahu marah, merungut dan sifat negatif apabila berdepan sesuatu
situasi. Jika itu berlaku, kita tidak akan muhasabah diri. Yang kita
tahu ialah menyalahkan pihak lain.
Ibu
bapa sepatutnya menunjukkan contoh bahawa kita perlu lebih rasional berdepan
sesuatu perkara. Banyakkan muhasabah diri dan mencari jalan yang lebih
baik untuk berdepan sesuatu situasi. Anak yang berpandangan positif dan
berkeyakinan berdepan sesuatu keadaan akan lebih berjaya dan bersedia berdepan
dengan apa juga cabaran.
Kita
ingin mendidik anak menjadi soleh kerana ia merupakan salah satu daripada tiga
talian hayat kepada ibu bapa selepas mengadap Pencipta di alam barzakh.
Rasulullah
SAW bersabda yang bermaksud: “Apabila seorang anak Adam itu meninggal dunia,
maka terputuslah amalannya kecuali tiga perkara iaitu sedekah jariah, ilmu yang
bermanfaat dan doa anak soleh yang mendoakannya.” (Hadis riwayat Muslim).
Mungkin
terkesan dengan hadis berkenaan, pada masa ini seperti menjadi aliran baharu
kepada ibu bapa yang berlumba-lumba menghantar anak-anak mereka ke sekolah
tahfiz, sekolah agama dan pondok bagi melahirkan kumpulan anak soleh, sekali
gus mampu mendoakan mereka dan menjadi penampung kepada amalan yang dikhuatiri
masih belum mencukupi semasa di alam barzakh kelak.
Walau
bagaimanapun, jangan pula keadaan sebaliknya yang berlaku iaitu hanya
mengharapkan anak-anak sahaja menjadi soleh tetapi tidak pula ibu bapa mereka
berusaha untuk berjalan seiring dengan anak-anak mereka.
Amat
tidak adil, kita mengharapkan anak-anak mendoakan kita tetapi pada masa sama
tidak pula kita mendoakan kesejahteraan ibu bapa kita. Wajarkah sekiranya
perkara seperti ini dibiarkan terjadi?.
Sekiranya
amalan kita, iaitu ibu bapa tidak mencapai status yang sepatutnya maka masih
belum terlambat untuk belajar.
No comments:
Post a Comment