Friday, 20 January 2017

Buah kiat isi dua ulas berdakap

Buah kiat juga dikenali buah khiyat, buah sekiat, buah keriat, buah chekiat dan buah ghiat mengikut loghat berbeza. 

Buat kiat terkenal di Kelantan pada dekad lalu. Begitu juga di Kedah dan Terengganu. Di Kelantan terdapat tempat menggunakan nama kiat. 

Tempat paling terkenal dengan nama kiat di Kelantan ialah Kampung Kubang Kiat yang juga sebuah mukim (kampung) di daerah (mukim) Kadok, Jajahan (daerah) Kota Bharu, Kelantan. 

Selain itu nama kiat juga terdapat Kampung Kiat di Pasir Mas dan Pengkalan Kiat, Pulai Chondong. Di Terengganu terdapat nama Kampung Gong Kiat. Di Sik, Kedah pula ada Kampung Banggul Kiat.

Dengan kata lain, nama buah kiat terkenal pada masa dulu. Tetapi, jika kita sebut nama atau buah kiat, tidak ramai generasi sekarang yang kenal dan pernah makan buahnya. 

Ini kerana buah yang popular pada masa dulu, kini telah dikategorikan sebagai buah nadir atau buah yang jarang-jarang ditemui. Buah kita kini sukar untuk dicari di kampung yang dulunya mudah diperoleh.  

Ini kerana pokok itu sudah banyak yang ditebang kerana pembangunan, sedangkan yang baru pula tidak ditanam. 

Tidak ada orang berasa sayang untuk menebang pokok kiat dan tidak ada pula yang ingin menanam baru. Ini kerana tidak ramai orang yang masih menggemari buah kiat. 

Buah kiat bukannya tidak sedap. Ia menjadi pilihan generasi terdahulu. Pokoknya jenis batang keras. Ketinggiannya sekitar 5 hingga 10 meter.  

Jadi tidak sukar untuk memanjatnya atau mengait menggunakan galah. Pokok ini tidak merimbun. Jadi, ia tidak dijadikan pokok teduhan di kawasan rumah. Bahkan, jika terdapat pokok besar di atas menaunginya, pokok kiat akan meninggi kurus.

Kerana batangnya keras dan melurus, pokok kiat biasa dijadikan ‘turus’ pagar atau batang pagar semulajadi. 

Buah kiat pada masa muda atau belum masak berwarna hijau. Besarnya lebih kurang sebesar buah tanjung atau buah keranji.  

Semasa masak, warna kulitnya bertukar kuning kemerahan. Untuk memakannya boleh secara mentah atau segar. 

Untuk mengopek atau mengupasnya hanya perlu picit atau tekan di bahagian hujung buah sama ada di bawah atau bahagian tangkai.

Kulitnya mudah terbelah dua dan menampakan isinya dua ulas yang ‘berdakap’. Isinya licin nampak seperti berair tetapi agak pejal, menampak samar-samar bijinya.  

Rasanya masam-masam manis. Bagi mereka yang biasa memakannya, akan menggigit sedikit bahagian isi untuk menikmati rasa masam-masam manis itu dan kemudian terus ditelam dengan biji-bijinya. 

Tindakan menelan bersama-sama biji tidak mengganggu sistem penghadaman mereka yang telah biasa memakannya. Bahkan dikatakan akan membantu proses pembuangan najis.

Disebabkan itu, di kampung-kampung, biasanya pokok itu ditanam oleh ‘datuk temenggong’ atau dari najis yang mana sistem membuang najis dulu dibuat merata-rata di kawasan berhampiran rumah di kawasan berhampiran semak.

Buah ini sesuai dimakan segar atau dicampur dengan pencicih seperti gula, garam, kicap atau cuka.  

Biarpun semakin disukar ditemui, mungkin ada bernasib baik dapat membelinya di pasar tani, atau turut dijual bersama dengan buah-buahan lain atau di pasar sayur.  

Untuk mengembalikan nama buah kiat dan kembali mendapat sambutan, generasi muda perlu diperkenalkan dengan buah nadir ini. Tidak sukar untuk menanamnya menggunakan biji. Ia satu warisan bangsa yang perlu terus dikenali dan diminati.  

No comments:

Post a Comment