Tuesday 10 January 2017

Sejarah bendera Jalur Gemilang

Sejarah bendera Malaysia yang kini dikenali Jalur Gemilang bermula apabila akhbar The Malay Mail menjalankan pendapat umum terhadap tiga reka bentuk yang terpilih di peringkat akhir pertandingan mereka bentuk bendera Persekutuan Tanah Melayu yang dianjurkan oleh Majlis Perundangan Persekutuan pada tahun 1949.

Persekutuan Tanah Melayu perlu memiliki bendera sendiri kerana negara dalam proses mencapai kemerdekaan. Ketika itu bendera rasmi di negara kita adalah Union Jack iaitu bendera negara British yang menjajah negara kita.

Pada 28 November 1949, majoriti rakyat memilih reka bentuk ketiga ciptaan seorang pekerja Jabatan Kerja Raya, Johor bernama Mohamad Hamzah. Reka bentuk itu telah dibuat beberapa pindaan dan telah mendapat pekenan Mesyuarat Majlis Raja-rajya pada 23 Febuari 1950.

Antara perubahan dibuat ialah menukar warna putih pada bulan dan bintang kepada warna kuning untuk melambangkan warna diraja bagi Raja-Raja Melayu dan juga menambah bucu bintang kepada 11 untuk mengambil kira jumlah negeri yang ada dalam Persekutuan Tanah Melayu.

Selanjutnya, pada 19 Mei 1950, kerajaan British telah meluluskan reka bentuk berdera itu, sama seperti Jalur Gemilang sekarang, cuma bezanya pada masa itu hanya terdapat 11 jalur merah putih yang melambangkan terdapat 11 negeri dalam Persekutuan Tanah Melayu.  

Dengan penubuhan Malaysia pada 1963, bendera itu diubah suai sewajarnya menjadi bendera Malaysia.

Bendera Persekutuan Tanah Melayu dikibarkan secara rasminya pada 26 Mei 1950 di pekarangan Istana Sultan Selangor yang dihadiri oleh semua raja-raja Melayu, pembesar Melayu dan wakil kerajaan British. 

Namun, Jalur Gemilang belum lagi dianggap bendera kepada sebuah negara berdaulat pada ketika itu kerana Persekutuan Tanah Melayu masih dijajah oleh Brisith.  

Jalur Gemilang menjadi saksi kedaulatan negara apabila kali pertama dikibarkan di Dataran Merdeka pada jam 12.00 malam 31 Ogos 1957 dan serentak dengan itu bendera Union Jack diturunkan sebagai tanda tamatnya pemerintahan British di negara kita.

Sayangi bendera kita kerana ia lambang kebanggaan negara. Maruah sesebuah negara bergantung kepada kedudukan benderanya.

No comments:

Post a Comment