Sunday, 8 January 2017

Putu halba kuih musim banjir


Putu halba kuih musim banjir. Resipi putu halba menggunakan bahan ubi kayu, gula melaka dan halba, serta kelapa muda parut sebagai pencicah. Putu halba dijual secara bermusim pada musim hujan.   

Masuk saja musim banjir atau tengkujuh, penjual putu halba tumbuh macam cendawan selepas hujan. Di mana-mana saja, terutama di tepi jalan wujud kedai putu halba segera. Ada yang sekadar bernaung di bawah sebuah payung untuk menjalankan perniagaan putu halba.

Putu halba adalah kuih yang dibuat menggunakan bahan asas ubi kayu. Namun nama ubi kayu itu sendiri tenggelam. 

Sebaliknya nama halba, sejenis rempah pula mengambil nama walaupun penggunaan halba sebenarnya amat sedikit, sekadar untuk mendapat aroma baunya.

Mungkin pemilihan nama itu untuk ‘lari’ dari nama ubi kayu. Kalau sebut nama putu ubi kayu mungkin tidak ramai yang tertarik kepadanya. 

Putu halba bukan ‘mesti’ dibuat pada musim tengkujuh sahaja. Sebaliknya pada bila-bila masa pun putu halba sedap dimakan. Namun, seperti satu budaya, ia biasanya hanya ditemui pada musim banjir. 

Keadaan ini sebenar berpunca pada sejarah awal atau ketika ia mula diperkenalkan. Ubi kayu banyak ditanam penduduk kampung sama ada untuk dijual mahupun keperluan keluarga. Ia muda ditanam dan tidak perlukan kepada penjagaan. 

Namun, satu perkara yang pokok ubi kayu "kalah" ialah tapak tanah tidak boleh ditenggelami air. Jika berlaku banjir, dalam tempoh sehari atau dua hari mesti dicabut isinya. Jika tidak, isi ubi kayu akan rosak atau dipanggil ‘carok’.

Jadi, untuk mengelak kerugian, maka sebanyak manapun ubi kayu yang ada perlu dicabut biarpun melebihi kepeluan atau kegunaan semasa. 

Memandangkan banyak ubi kayu, maka timbul idea kreatif penduduk Kelantan mempelbagaikan kegunaan ubi kayu. Biasanya kita dengar menu ubi kayu rebus, ubi kayu bakar, tapai ubi kayu, ubi kayu goreng, sira ubi kayu dan macam-macam lagi. Semuanya menggunakan nama ubi kayu. 

Satu-satu menu berasaskan ubi kayu yang tidak menggunakan nama ubi kayu bersama-sama ialah putu halba.  

No comments:

Post a Comment