Sunday 15 January 2017

Guna tangkal pelaris perniagaan

Hukum guna tangkal pelaris. Jika kita masuk ke kedai, kadangkala akan terpandang tulisan ditampal atau digantung di muka pintu, diletakkan di dalam tempat simpan wang dan sebagainya. Amalan itu sebagai pelaris dan pendinding mengelak berlaku hasad dengki peniaga lain.

Persoalannya, mengapa perkara itu diamalkan? Apakah kita lebih yakin kepada tangkal pelaris berbanding dengan janji-janji Allah SWT? Rezeki bukan berada di tangkal pelaris. Begitu juga sesuatu bala bukan boleh dihalang dengan menggunakan pendinding.

Ada peniaga mendakwa ayat atau tangkal itu diberikan oleh guru agama. Jadi, mana mungkin guru agama itu melakukan perkara syirik. 

Perlu ditergaskan di sini, dalam soal guna pelaris yang dibuat oleh guru agama, ia sebenarnya satu perbuatan diwarisi kepercayaan dulu. Guru agama itu mungkin menganggap perkara biasa disebabkan sudah lama diamalkan dalam masyarakat. Sedangkan hakikatnya, amalan itu sebenarnya bertentangan dengan agama Islam.

Kita memang boleh menggunakan ayat al-Quran dan doa-doa khusus. Tetapi ayat dan doa itu bukannya digantung atau ditampal di tempat tertentu, sebaliknya ia hendak dibaca dan diamalkan. 

Sebagai seorang peniaga Islam pergantungan mesti kepada Allah SWT yang mentakdirkan kejayaan dan keuntungan dalam perniagaan hanya Allah SWT. Keyakinan yang mutlak dengan rezeki yang ditentukan Allah SWT sewajarnya menjadi dasar dalam perniagaan.

Selain itu, kejayaan seorang peniaga adalah bergantung kepada usaha dilakukan. Bertawakal yang disertakan dengan keazaman yang tinggi serta memelihara akhlak sebagai seorang peniaga

Pelaris yang digunakan untuk melariskan dan mencari pelanggan adalah bertentangan dengan ajaran Islam. Islam menegahnya dengan tegas perbuatan demikian.

Ini kerana pergantungan manusia akan beralih kepada pelaris bukannya kepada Allah SWT. Hal ini juga akan membawa seseorang kepada mensyirikkan dan menyekutukan Allah SWT dengan pelaris.

‘Pelarisnya’ ialah buka kedai awal, tutup lambat, kerja kuat, utamakan kepuasan pelanggan, selalu senyum dan bertanya khabar kepada pelanggan walaupun tidak kenal, jangan ambil untung yang tidak sepatutnya dan jujur dalam berniaga. Minta pertolongan Allah dengan solat dan berdoa dan bersabar.

Tidak payah menggunakan ‘pelaris’ apa-apa pun. Berdoa kepada Allah SWT dan kerja keras itu pun sudah cukup untuk dijadikan pelaris.  

Orang bukan Islam tiada pelaris pun boleh maju sebab kerja keras. Tengok bagaimana kejayaan orang Cina dalam bidang perniagaan. Usaha gigih dan strategi perniagaan menyebabkan mereka berjaya.

Memelihara solat dan menunaikan zakat menjadi ciri seorang peniaga yang berjaya dunia dan akhirat. Ramuan yang lain bagi melariskan perniagaan ialah dengan memelihara solat sunat Dhuha.

Peniaga tidak mendapat kemuliaan jika dia tidak mentuluskan perniagaannya hanya kerana Allah SWT serta mentaqdiskan Allah SWT dan bergantung kepada daya usaha dan kesungguhannya tanpa bergantung kepada pelaris atau tangkal.

No comments:

Post a Comment