Sunday 15 January 2017

Tanam sayur di laman rumah

Edible Landskap taman hiasan sayuran di laman rumah. Pelbagai cara boleh dilakukan untuk menghias kawasan rumah dan memanfaatkan setiap ruang yang ada. Kebanyakan orang menyangka, kawasan rumah menjadi cantik hanya jika ditanam dengan pokok bunga pelbagai jenis. 

Pendapat itu memang tidak dinafikan. Namun, masih ada cara lain lebih sesuai dan menguntungkan cara untuk menghiasi laman rumah, selain mengekalkan pokok hiasan.

Cara yang dicadangkan ialah menggunakan konsep Edible Landskap atau Edible Garden dengan menghiaskan persekitaran kediaman dengan tanaman sayur-sayuran dan buah-buahan.  

Amalan ini telah dilakukan di kebanyakan negara maju. Maka, perkara sama perlu dijadikan amalan di negara kita. Ia bukan saja mencantikkan, bahkan menguntungkan. 

Edible boleh diterjemahkan sebagai ’Sayuran’. Maka Edible Landskap boleh diterjemahkan sebagai Landskap Sayuran. Taman Sayuran pula terjemahan bagi Edible Garden.    

Seperti pokok hiasan lain, tanaman sayuran juga boleh dijadikan sebahagian elemen penanaman dalam hiasan laman rumah. Ia bukan saja berfungsi untuk kecantikan malah kita berpeluang mendapat hasilnya.

Berbudi kepada tanah pasti tidak mengecewakan. Ruang kosong di kawasan rumah perlu dimanfaatkan.

Hasilnya boleh digunakan untuk keperluan harian keluarga. Ini tentu menjimatkan perbelanjaan dapur. Selain jimat, ia juga menyediakan sayuran segar dan selamat. Kita boleh menggunakan baja organik yang lebih selamat dan menyihatkan.

Selebihnya boleh pula disedekahkan kepada jiran tetangga, saudara mara, rakan sekerja. Sedekah satu amalan mulia yang amat dituntut dalam Islam. Jika hasil tanaman dimakan oleh burung, ulat dan haiwan juga dikira sebagai sedekah.

Jika jumlahnya banyak, elok juga hasil titik peuh itu dijual untuk menampung sebahagian kos yang berkaitan seperti kos biji benih dan baja. Malah, sesuai juga ia dijadikan sebagai satu cara untuk menambah pendapatan. 

Ia tentu memberi kepuasan. Kalau selama ini kita membeli sayur di pasar, tetapi kini kita boleh menikmati hasil usaha kita sendiri. Hasil yang segar dan bebas pencemaran. 

Penghasilannya tidak terhad pada kawasan rumah yang mempunyai laman yang luas, apartment atau rumah flat pun boleh. Sama ada kita ada halaman kecil macam balkoni sekalipun, kita masih boleh menghasilkan taman sayuran ini.

Cuma perlu memilih sayuran atau buah-buahan yang bersesuaian dengan ruang persekitaran, serta menggunakan medium tanaman yang bersesuaian. Sayuran yang sesuai ditanam ialah sawi, tomato, bayam, kangkung, salad, kobis, terung, cili api, bandi dan sebagainya.

Anda boleh membantu kerajaan mengurangkan kadar import bekalan makanan dari luar negara yang kini berjumlah puluhan bilion ringgit setahun. Banyak wang negara mengalir keluar negara yang memberi kesan tidak baik kepada ekonomi.

Untuk mendapatkan benih, boleh dibeli di pasar tani, kedai pertanian, supermarket dan agensi yang berkaitan dengan pertanian.

Selain menggunakan pasu atau bekas khas, kita boleh menggunakan bahan terbuang seperti botol minuman, tin biskut, bekas minyak masak dan sebagainya. Apa yang perlu dilakukan ialah kreativiti. Keadaan menjadi lebih menarik dan sesuatu yang boleh dibanggakan.

Menggunakan bahan terbuang dapat membantu mengurangkan pencemaran alam. Bahan kitar semula murah dan mudah diperoleh.

Soal untuk menguruskan tanaman ini tidak mengambil masa panjang, bergantung kepada berapa banyak yang kita tanam. Yang penting ia mudah untuk dijaga dan masanya fleksible. Sebabnya, ia ditanam di kawasan rumah.  

Pada waktu malam pun boleh dilakukan perkara yang berkaitan dengannya. Apa yang penting kita memanfaatkan setiap ruang masa yang ada.

Melakukan aktiviti menanam sayur boleh dijadi satu riadah. Ia tidak memerlukan tenaga yang banyak. Cukuplah untuk mengaktifkan badan secara santai dan memberi kepuasan. Ia dapat mengurangkan tekanan perasaan dan hambatan hidup yang memenatkan.

Mula dan lakukan sekarang. Anda pasti berpuas hati dengan hasilnya.

No comments:

Post a Comment