Sunday, 15 January 2017

CARA TUTUP AIB ELAK TAMBAH DOSA

Kebiasannya, orang melakukan kesalahan, dosa atau maksiat akan bermati-matian menafikan perbuatan itu.  

Mereka akan berasa aib jika perbuatan itu diketahui orang.  Mereka melakukan kesalahan juga akan dihukum atau dikenakan tindakan yang merugikan dirinya, keluarga dan yang berkaitan.

Tetapi dunia hari ini sudah terbalik.  Orang yang melakukan kejahatan dan dosa memuaturun gambar perlakuan sumbang mereka untuk tontonan dan makluman kepada orang lain.  

Sebab itu, ada yang memuaturunkan gambar sukan bogel.  Peliknya, apabila didakwa di mahkamah, mereka berasa malu dan berusaha untuk mengelak gambar dirakam oleh wartawan. 

Sikap berbangga melakukan dosa adalah perbuatan tidak bertamadum.  Sudahlah melakukan dosa, tidak pula ada perasaan malu.  Orang lain berusaha menutup perbuatan buruk sendiri, tetapi hari ini ada orang berbangga mendedahkan keaiban diri sendiri.

Pun begitu, kita yang waras hendaklah mengikut nasihat dan panduan diajarkan oleh Rasulullah SAW dalam soal menutup aib dan mengumpat. Islam bukan saja menyuruh menutup aib sendiri, bahkan aib orang lain. 

Sabda Rasulullah SAW bermaksud: “Sesiapa yang menutup keaiban orang Islam, maka Allah menutup keaibannya pada hari kiamat.” (Hadis riwayat Muslim, Abu Daud dan Tirmizi). 

Cara menutup keaiban orang lain ialah dengan tidak mendedahkan kepada orang lain.  Perkara itu didiamkan seperti ia tidak berlaku atau kita tidak mengetahui mengenainya.  Sebenarnya, perbuatan mendedahkan aib orang lain termasuk dalam perbuatan mengumpat.

Islam amat menegah daripada melakukan perbuatan mengumpat.  Dosa perbuatan mengumpat tidak akan diampun biarpun seseorang itu bertaubat, melainkan diampunkan oleh orang yang diumpat itu.  

Justeru, orang melakukan mengumpat akan mendapat kerugian amat besar di akhirat.  Pada rekod amalan mereka akan dicatatkan sebagai perbuatan menghapuskan pahala.  Sudahlah kita kurang melakukan kebaikan, pahala yang sedikit dimiliki terpadam pula disebabkan mengumpat. 

Sabda Rasulullah bermaksud: “Perbuatan mengumpat itu samalah seperti api memakan ranting kayu kering.” (Hadis riwayat Ibnu Majah dan Abu Daud). 

Maka itu beringat-ingatlah agar diri terhindar daripada perbuatan mengumpat.  Sesungguhnya, diam itu lebih selamat dan terhindar daripada melakukan dosa.

No comments:

Post a Comment