Sunday 15 January 2017

Syarat lelaki boleh pakai emas

Lelaki dilarang atau haram pakai perhiasan emas dan pakaian daripada sutera. Larangan dipakai emas sebagai perhiasan termasuk bahan dibuat menggunakan campuran emas atau pancalogam seperti suasa yang terbentuk hasil campuran emas dan tembaga. Ini kerana pencampuran itu tidak menghilangkan struktur asal emas yang boleh diasingkan kembali untuk membentuk emas asal.

Al-Bara meriwayatkan, katanya yang bermaksud: “Rasulullah SAW menyuruh kami tujuh perkara dan melarang kami daripada tujuh perkara. Baginda menyuruh kami mengikuti jenazah, melawat orang sakit, menghadiri jemputan, menolong orang yang teraniaya, membenarkan sumpah, menjawab salam, menjawab dan berdoa kepada orang yang bersin. Dan Rasulullah SAW melarang tujuh perkara; baginda melarang kami dari (makan/minum) dalam bekas perak, cicin emas, sutera, dibaj (sutera bergambar), qissi (sutera campur kapas) dan sutera tebal.” (Riwayat Bukhari).

Sabda Rasulullah SAW bermaksud: “Emas dan sutra dihalalkan bagi umatku yang wanita, namun haram bagi lelakinya”(Hadis riwayat Ahmad dan Nasai)

Rasulullah SAW pernah bertemu seorang lelaki yang memakai cincin emas di tangannya. Beliau mencabut cincin tersebut lalu melemparnya, kemudian bersabda: “Seseorang dari kalian telah sengaja mengambil bara api neraka dengan meletakkan di tangannya” (Hadis riwayat Muslim)

Lelaki boleh memilih bahan lain untuk dijadikan perhiasan. Contohnya bahan yang popular dijadikan perhiasan lelaki untuk dijadikan cincin ialah perak. Diriwayatkan bahawa Rasulullah SAW sendiri memakai cincin perak. 

Namun ditegah lelaki memakai perhiasan menyerupai perempuan biarpun bukan dari jenis emas. Umumnya perhiasan bagi lelaki hanyalah cincin. Perhiasaan lain seperti subang, rantai leher, gelang tangan dan rantai kaki adalah dikhususkan sebagai perhiasan wanita. 

Atas maksud untuk mengelak menyerupai wanita, maka lelaki ditegah memakai perhiasan-perhiasan itu. Namun, sekarang ini terdapat logam tertentu yang dijadikan sebagai satu cara perubatan altenatif yang mana dibentuk sebagai gelang tangan atau rantai leher, maka untuk tujuan perubatan dan bukan untuk sebagai perhiasan, pemakaiannya adalah dibolehkan.

Mengenai logam lain seperti besi, tembaga dan seumpamanya, tidak ada nas yang mengharamkan pemakaiannya sama ada untuk lelaki maupun perempuan. Pun begitu, 'peraturan' bahawa perempuan tidak boleh menyerupai lelaki dan lelaki tidak boleh menyerupai perempuan perlu dipatuhi dalam syarat berhias.

Namun begitu, emas digunakan oleh lelaki untuk membuat gigi emas jika atas alasan tidak ada pengganti lain yang sesuai untuk menggantikan gigi yang telah rosak. Ia dikira bukan alasan untuk berhias.

Sebuah hadis bermaksud: (Arjafah bin Asad) hidungnya terpotong di hari peperangan Al-Kullab, maka dia membuat hidung dari daun namun daun itu berbau dan mengganggu dirinya, maka Nabi memerintahkannya untuk mengganti dengan yang terbuat dari emas. (Hadis riwayat  Abu Daud. Al-Albani mengatakan hadisnya hasan)

Imam An-Nawawi berkata: Adapun perkataan penulis, jika terpaksa menggunakan emas maka boleh digunakan, maka (pendapat ini) disepakati (oleh ulama). Para ulama mazhab kami (Syafiiyyah) berkata,  diperbolehkan baginya hidung dan gigi dari emas dan perak. Demikian juga  mengikat (menambal) gigi yang sakit dengan emas dan perak, hukumnya boleh (Majmu syarah Al-Muhazzab 1/312.)

Syaikh Abdullah bin Jibrin rahimahullah ditanya, Apa hukum memakai gigi emas atau memakai sesuatu dari emas di hidung? Apakah harus dihilangkan ketika meninggal?  

Beliau menjawab: "Terdapat hadis Arjafah bahwasanya ia terpotong hidungnya ketika berjihad maka ia memakai hidung buatan dari perak kemudian membusuk maka Rasulullah memberikan rukhsah (keringanan) agar memakai hidung buatan dari emas. 

Maknanya adalah ia membuat dari emas untuk menutupi bahagian hidung yang terpotong agar tidak mencacat penampilannya. Demikian juga boleh membuat gigi buatan dari emas.  


Terdapat riwayat dari sahabat bahwa mereka mengikat gigi mereka dengan pita dari emas. Hal tersebut ketika ada keperluan. Jika tidak layak baginya gigi dari daun atau tulang atau sejenisnya.

Adapun ketika meninggal maka boleh mengambilnya dari mulut atau hidung si mati jika tidak merosakkan jenazah. Jika dibimbangi akan merosakkan jasad, contohnya menyebabkan mulut menjadi terbuka terus menerus dan sejenisnya maka boleh meninggalkan emas di jasad si mati.  

Wanita dibolehkan berhias dengan gigi emas asalkan bukan termasuk dalam bentuk pembaziran. 

Syaikh Muhammad bin Shalih Al-
Utasimin berkata: Gigi dari emas tidak boleh dipakai oleh lelaki kecuali darurat, kerana laki-laki haram baginya memakai emas dan berhias dengannya. Adapun wanita maka jika telah terbiasa adat bagi wanita berhias dengan gigi dari emas maka tidak mengapa. Boleh bagi mereka memakai gigi dari emas jika telah terbiasa adat berhias dengan emas dan bukan termasuk membuang-buang harta."

No comments:

Post a Comment