Sunday 15 January 2017

Tujuh wasiat Raja Melayu

Wasiat adalah pesanan atau peringatan. Raja Melayu ada mewasiatkan dan menyerahkah tanggungjawab kepada rakyat untuk dilaksanakan. Ia dipanggil 7 Wasiat Raja Melayu.

Di negara kita, sistem pemerintahan Raja Berperlembagaan mula dilaksanakan sebaik negara mencapai kemerdekaan pada 31 Ogos 1957. Sistem ini hasil cadangan Jawatankuasa Lord Reid yang bertanggungjawab menyediakan draf Perlembagaan Persekutuan Tanah Melayu yang merdeka.

Ini bermakna, kedudukan Raja yang sebelum itu bersifat mutlak telah melalui proses ‘legal-rasional’ seperti yang termaktub dalam peruntukan Perlembagaan Persekutuan dalam perkara berkaitan kedudukan dan kuasa Yang di-Pertuan Agong dan Raja-Raja Melayu.

Pada dasarnya, Yang di-Pertuan Agong sebagai Ketua Negara berperanan sebagai ‘payung’ atau pelindung kepada seluruh rakyat Malaysia. 

Peranan sebagai Ketua Negara ini tidak boleh dipisahkan daripada persoalan mengenai keselamatan keseluruhan Persekutuan Malaysia. Oleh itu, Perlembagaan Persekutuan juga meletakkan Yang di-Pertuan Agong sebagai Ketua Tertinggi Angkatan Bersenjata bagi Malaysia.

Kedudukan dan peranan ini membangkitkan ‘memori sentimental’ seperti ‘Raja dan rakyat berpisah tiada’ yang menggambarkan pertautan erat antara Raja dan rakyat seperti berlaku ketika keagungan pemerintahan Raja-Raja Melayu dulu. 

Walaupun Raja yang ada pada hari ini tertakluk kepada Perlembagaan, institusi Raja masih dilihat penting dalam sistem pemerintahan Demokrasi Berparlimen di negara ini.

TUJUH WASIAT RAJA MELAYU 

-  Kami namakan dan kami panggil dia, bumi yang kamu pijak dan langit yang kamu junjung Persekutuan Tanah Melayu (sekarang dikenali dengan nama Malaysia)
-  Kami isytiharkan dan kami simpan untuk kamu dan kami benarkan kamu isytihar dan simpan untuk anak cucu kamu, selain gunung-ganang, tasik dan hutan simpan, tanah simpanan Melayu sehingga nisbah 50 peratus, selebihnya kamu rebutlah bersama kaum lain
-  Bagi menjaga kamu dan bagi melindungi anak cucu kamu serta harta hak milik kamu, kami tubuhkan Rejimen Askar Melayu selain untuk membanteras kekacauan dalam negara dan ancaman luar
-  Kami kekalkan dan kami jamin kerajaan dan kedaulatan Raja-Raja Melayu memerintah negara ini
-  Kami isytiharkan Islam adalah agama Persekutuan
-  Kami tetapkan bahasa kebangsaan ialah bahasa Melayu
-  Kami amanahkan dan kami pertanggungjawabkan kepada Raja-Raja Melayu untuk melindungi kedudukan istimewa orang Melayu dan kepentingan sah kaum lain. (kemudian ditambah kedudukan istimewa anak negeri Sabah dan Sarawak)

No comments:

Post a Comment