Monday 2 January 2017

Cari rezeki jadi ibadah

Cari rezeki ibadah, tuntutan agama. Islam galak cari rezeki. Setiap makhluk dicipta Allah SWT telah ditetapkan rezeki yang mencukupi baginya. Namun, rezeki itu tidak datang bergolek jika tidak diusahakan. 

Setiap orang perlu bekerja mengikut kemampuan masing-masing yang menyumbang kepada kebaikan. Dunia yang terbentang luas ini memerlukan tenaga manusia untuk dimakmurkan. 

Firman Allah SWT bermaksud: “Dan tuntutlah dengan kurniaan yang telah dilimpahkan Allah kepadamu itu kebahagian hari akhirat dan janganlah engkau melupakan bahagianmu (keperluan dan bekalan) dari dunia.” (Surah al-Qasas, ayat 77)

Justeru, sesiapa yang memilih menjadi penganggur sebenarnya menolak rahmat Allah SWT. Perkara yang amat merugikan apabila didapati banyak remaja Islam lebih suka berfoya-foya daripada berusaha mencari rezeki yang sentiasa terbentang luas.   

Sesungguhnya, rezeki berada di mana-mana, hatta di dalam timbunan sampah! Banyak orang bekerja mencari bahan kitar semula dalam timbunan sampah. Usaha itu bukan saja mendatangkan rezeki, tetapi memberi kesejahteraan kepada orang ramai. 

Sampah sarap yang dikitar semula dapat mengelak berlaku kekotoran dan menyediakan bahan mentah untuk digunakan semula. Banyak individu mampu menyara keluarga dengan kerja mencari sampah yang boleh dikitar semula. Biarpun kerja itu menyebabkan badan kotor, tetapi yang penting ialah kebersihan hati melakukan kerja-kerja itu untuk mencari keredaan Allah SWT. 

Sesungguhnya, Allah SWT tidak memandang mulia atau hina sesuatu pekerjaan berdasarkan ‘tarafnya’ atau di tempat mana dilakukan. Asalkan pekerjaan itu halal dan memberi kebaikan, ia dipandang mulia oleh Allah SWT.

Sabda Rasulullah SAW bermaksud: “Tidak makan seorang itu sebarang makanan pun lebih baik daripada dia memakan makanan daripada hasil tangannya sendiri. Sesungguhnya Nabi Daud mengambil makanan dari usaha tangannya sendiri.” (Hadis riwayat Bukhari)

Keberkataan rezeki meliputi kebahagiaan hidup, kesejahteraan, kedamaian, keselamatan, dijauhi daripada fitnah dan memberi kebaikan. Walaupun apa yang diperoleh itu sedikit, rezeki yang diberkati lebih bermakna berbanding rezeki haram yang banyak.  

Rezeki yang tidak halal diperoleh secara menipu, rasuah, perjudian dan sebagainya tidak mendatangkan kebahagiaan kepada pemiliknya. Lagi banyak harta diperoleh secara tidak halal, lagi banyak masalah yang timbul akibatnya. Anak-anak yang dibesarkan dengan makanan dibeli menggunakan wang haram akan mendatangkan masalah kepada ibu bapa. 

Setiap muslim perlu bersungguh-sungguh mencari rezeki agar tidak perlu meminta-minta daripada orang lain. Sabda Rasulullah SAW bermaksud: “Janganlah kamu meminta-minta daripada orang lain.” (Hadis riwayat Ibnu Hanbal).

Galakan agar setiap muslim bekerja bersungguh-sungguh dan melarang daripada meminta-minta membuktikan pentingnya usaha mencari rezeki. Agama Islam mementingkan kepada kecemerlangan dan kejayaan dalam semua aspek kehidupan umatnya. 

Sesungguhnya Allah SWT tidak akan mengubah nasib mana-mana individu atau kaum, jika diri sendiri tidak mahu berusaha mengubahnya. Kemiskinan bukan satu takdir, atau bala yang tidak boleh diubah. Allah SWT memerintahkan agar manusia berusaha mengubah nasib menjadi lebih baik. 

Firman Allah SWT bermaksud: “Sesungguhnya Allah tidak akan mengubah nasib sesuatu kaum sehingga mereka mengubah keadaan yang ada pada diri mereka sendiri.” (Surah ar-Rad ayat 11).

Jangan sekali-kali mudah berputus asa jika berdepan dengan kegagalan. Gagal sekali tidak bermakna gagal selama-lamanya. Ketekunan dan kerja kuat yang dilakukan tanpa jemu membuahkan hasil yang lebih besar.    

Umat Islam perlu merebut segala peluang yang disediakan oleh Allah SWT. Maruah umat Islam lebih dipandang mulia dan tinggi jika mempunyai kekayaan setanding dengan umat lain. Tanggapan mengatakan Islam agama kemiskinan dan kemunduran perlu diubah. 

Umat Islam mesti kembali bangkit meneroka alam luas. Penguasaan ilmu, ekonomi dan  cara hidup yang luhur wajib diusahakan untuk memulihkan kembali maruah Islam yang semakin tercalar sekarang ini.

No comments:

Post a Comment