Tuesday 3 January 2017

Remaja terjebak perbuatan negatif

Usia remaja dikaitkan hidup penuh cabaran dan perlu bimbingan untuk bina jati diri agar tidak terpesong ke arah binasa diri sendiri, keluarga dan negara. Perhatian perlu diberikan memandangkan terdapat banyak kes melibatkan remaja dikatikan perkara negatif. 

Tidak dinafikan bukan semua remaja berdepan perkara itu. Namun, jika perkara ini tidak dicegah ia akan merosakkan imej remaja secara keseluruhannya. Kejadian ini tentunya cuba dielak memandangkan imej remaja sebagai aset terpenting negara perlu dijaga. 

Perjalanan hidup remaja masih jauh dan memerlukan lebih banyak pengalaman untuk mencapai kejayaan hidup pada masa depan serta menjadi hamba yang mendapat keredaan Allah. Kejayaan yang diharapkan bukan saja di dunia, bahkan lebih penting lagi kehidupan di akhirat. 

Remaja perlu memiliki ciri keunggulan iaitu dari segi keperibadian, pengetahuan berkaitan hukum dan amalan seorang muslim, penguasaan ilmu serta kemahiran dan akhlak mulia. 
 
Remaja harus memahami tujuan manusia dilahirkan di dunia ini dengan mempersiapkan diri sebagai khalifah Allah. 

Dalam mengharungi kehidupan ini, kita mesti mengetahui bahawa setiap amalan besar mahu pun kecil, baik atau jahat tidak terlepas daripada dicatat oleh dua malaikat yang ditugaskan untuk setiap manusia.

Firman Allah yang bermaksud: "Ketika dua malaikat (yang mengawal dan menjaganya) menerima dan menulis segala perkataan dan perbuatannya; yang satu duduk di sebelah kanannya dan yang satu lagi di sebelah kirinya. Tidak ada sebarang perkataan yang dilafazkan (atau perbuatan yang dilakukannya) melainkan ada di sisinya malaikat pengawas yang sentiasa sedia (menerima dan menulisnya)." (Surah al-Qaf, ayat 17-18).

Soal dosa pahala mula dicatatkan apabila seseorang dikira mencapai umur baligh.  Bagi kanak-kanak lelaki dikira baligh apabila 'datang mimpi' dan bagi perempuan pula 'datang bulan'. Umur baligh tidak sama antara individu. Perempuan biasanya lebih awal baligh antara umur 9 hingga 12 tahun. Manakala lelaki pula ketika lingkungan umur 12 hingga 15 tahun. 

Hukum fikah membincangkan secara khusus perkara ini, termasuklah dalam hal-hal dianggap 'kejadian luar biasa' bagi menentukan seseorang itu telah dikira baligh biarpun tanpa tanda-tanda umum yang biasa dialami individu lain. Hal ini penting kerana ia melibatkan kesempurnaan bagi perlaksanaan ibadat serta perkara berkaitan halal dan haram.

Kembali kepada perbincangan kehidupan alam rermaja, nyata sekali soal dosa pahala bukannya dikira apabila umur dewasa yang biasa difahami kebanyakan orang iaitu apabila mencapai usia 21 tahun atau apabila telah berkahwin. 

Dengan kata lain, amat malang sekali apabila didapati golongan remaja masih jahil dan jauh daripada amalan agama, sedangkan mereka sebenarnya telah dikira baligh dan telah dicatatkan dosa dan pahalanya. Maka itu, bukan alasan untuk remaja hidup tanpa batasan agama semata-mata merasakan diri mereka masih muda atau tidak mengetahui hukum agama.

Di sini pentingnya ibu bapa mendidik anak-anak mengenai agama sejak awal lagi. Perkara pokok adalah solat. Rasulullah menyuruh agar anak diajar bersembahyang ketika umurnya tujuh tahun dan jika ketika umur 10 tahun masih berdegil tidak mahu bersolat, maka hendaklah dipukul untuk pengajaran.

Sesungguhnya, pengisian kehidupan seharian remaja mesti bersandarkan kepada kehendak agama seperti mana terkandung di dalam al-Quran dan sunnah sebagai penunjuk ke arah jalan yang diredai Allah. Keseimbangan dan keterampilan dalam beragama akan menentukan matlamat hidup tidak lari dari apa yang sepatutnya.

No comments:

Post a Comment