Sunday 15 January 2017

Sejarah takaful di Malaysia

Istilah takaful dari kata kerja "kafala", bererti memelihara, menjamin atau menjaga. Matlamat takaful berdasarkan konsep saling menolong, berkorban, menjamin dan berkerjasama. 

Kontrak takaful diasakan untuk kebajikan dan amanah melalui prinsip qard hasan dan mudarabah. Perkara utama perbezaan antara takaful dengan insurans konvensional ialah takaful memenuhi tuntutan syariat, yang terhindar perbuatan dosa apabila ia bebas gharar, riba, maisir.

Untuk lebih jelas, makalah ini memuatkan latar belakang penubuhan institusi takaful meliputi sejarah dan cabaran. Sejarah takaful di Malaysia bermula tahun 1984, rentetan kepada perkembangan semasa di peringkat global dan perubahan dasar kerajaan ke arah perlaksaan dasar-dasar Islam dalam sistem pemerintahan negara. 

Turut dibincangkan ialah konsep dan amalan institusi takaful yang secara amnya dilihat sama dengan fungsi insurans, tetapi hakikatnya takaful berlainan jauh dengan takaful dari segi roh dan keperluan kepada umat Islam.

Selari dengan tuntutan semasa yang memerlukan jaminan risiko dan pengurusan kewangan yang berhemah, sumbangan takaful kepada perkembangan kewangan Islam di Malaysia amat signifiken. Sektor takaful menjadi penggerak ekonomi yang aktif selain perbankan Islam.  

LATAR BELAKANG INSTITUSI TAKAFUL   
           
Sejarah Awal.  Umum diketahui takaful menggantikan konsep insurans konvensional yang diperkenalkan masyarakat Barat. Namun, hakikat sebenarnya, Barat yang meniru amalan diamalkan  masyarakat Arab Jahiliyyah dan dikembangkan pada zaman Nabi Muhammad SAW dan khalifah Islam seterusnya.  

Konsep 
pembayaran diyat (blood money) dan tolong menolong masyarakat Arab Jahiliyyah dikembangkan dalam Islam melalui dua konsep iaitu aqilah dan qasamah.  

Aqilah menumpukan kepada urusan kebajikan terhadap ahli, manakala qasamah pula hal bersangkutan barang perniagaan. Kedua-duanya berkaitan dengan gantirugi kepada ahli kumpulan ditimpa kecelakaan.

Punca Perlu Penubuhan Takaful.  Penubuhan takaful adalah rentetan keputusan Majlis Fatwa Dunia Pertama mengatakan insurans konvensional haram berdasarkan adanya gharar, maisir dan riba.  

Keputusan yang dibuat pada tahun 1960 di Kaherah, Mesir itu turut diulang pada persidangan kedua di Makkah, Arab Saudi dan pada 16 Jun 1972, ketika persidangan kali kelima yang diadakan di Kuala Lumpur masih mengekalkan keputusan yang sama.  

Sejarah Takaful Moden. Sejarah penubuhan takaful moden bermula dengan tertubuhnya Syarikat Insurans Islam di Sudan pada 1979. Pada tahun sama juga lahir Syarikat Insurans Islam Arab, di Arab Saudi. Manakala Dar al-Maal al-Islami menubuhkan Syarikat Takaful Islam Luxembourg empat tahun kemudian.

Sejarah Takaful Di Malaysia.  Di peringkat Malaysia, selari dengan perkembangan di peringkat antarabangsa Jawatankuasa Fatwa Kebangsaan memutuskan insurans nyawa yang terdapat di pasaran adalah haram.  

Lanjutan itu, pada 1982, satu Badan Petugas Khas ditubuhkan bagi mengkaji usaha mewujudkan insurans Islam di Malaysia. Dua tahun kemudian, satu laporan diserahkan kepada Parlimen, yang hasilnya pada tahun itu lahir syarikat takaful pertama di Malaysia selaras dengan Kerajaan meluluskan Akta Takaful pada tahun itu. Seksyen 2 akta itu mentakrifkan takaful satu skim berasaskan perpaduan dan persaudaraan untuk menyediakan bantuan kewangan kepada ahli yang terlibat.

KONSEP TAKAFUL
           
Takaful sinonim dengan insurans. Malah, kebanyakan orang memahami takaful sebagai terjemahan kepada maksud insurans. Tidak dinafikan maksud secara kasarnya takaful sama dengan insurans. Namun, hakikat sebenarnya takaful tidak sama dengan insurans dari segi konsep dan amalannya.   

Berasaskan Kepada Kerjasama Dan Derma.  Insurans berasaskan kepada peniagaan dan keuntungan yang dicipta oleh golongan kapitalis. Sedangkan takaful berasaskan kepada perpaduan dan persaudaraan untuk menyediakan bantuan kewangan kepada ahli terbabit berteraskan kepada wahyu dan hadis yang terkandung nilai-nilai Islam seperti tabarru (derma) dan tawun (kerjasama). 

Biarpun sesama ahli tidak mengenali antara satu sama lain, mereka sebenar telah terikat dengan persetujuan bersama ketika kontrak termeterai yang dilakukan antara pengendali takaful dan ahli.

Keikhlasan Membantu.  Ahli takaful dijelaskan tentang konsep membantu yang mana sumbangan kepada dana akan digunakan untuk membantu mana-mana ahli yang ditimpa bencana.  

Penyertaan mereka bukan untuk mendapat keuntungan peribadi kerana tidak ada siapa yang mengharapkan diri, keluarga atau hartanya ditimpa bencana semata-mata ingin mendapat bantuan atau pampasan daripada wang dana. 

Perkongsian.  Umat Islam adalah bersaudara. Maka itu, segala urusan kehidupan hendaklah dikongsi bersama termasuk dalam suka dan duka. Mereka yang menyertai takaful berikrar akan membantu ahli lain yang ditimpa kecelakaan.  

Sekiranya tidak ada ahli ditimpa kecelakaan atau masih ada baki selepas ditolak gantirugi kepada ahli, maka sumbangan yang dikumpul akan dipulangkan kepada ahli mengikut terma-terma yang dipersetujui.    

Samarata.  Takaful tidak menetapkan siapa yang layak dan tidak layak menyertainya. Ia terbuka kepada sesiapa yang memenuhi terma yang ditetapkan. Mereka mendapat hak seperti yang terdapat pada surat akad. Tidak ada sesiapa yang mendapat layanan lebih baik berbanding ahli lain atau terdapat ahli dinafikan hak mereka.    

           
AMALAN TAKAFUL

Syarikat Takaful Sebagai Pengurus Dana.  Dalam insurans, syarikat sebagai pengendali menawarkan polisi yang mana untuk memilikinya seseorang perlu membayar sejumlah wang yang tatacara dipersetujui. Sebagai balasannya, pemegang polisi akan mendapat manfaat sepertinya tercatat dalam polisi.  

Syarikat bebas menggunakan wang yang diperoleh melalui pembayaran perimium sama ada melaburkan di institusi kewangan dan sebagainya. Tidak ada istilah perkongsian untung rugi dalam insurans konvensional. 

Berbeza dengan konsep takaful. Pengendali takaful tidak dianggap pemilik perniagaan sebaliknya hanya pentadbir kumpulan wang takaful dan mengurusnya bagi pihak peserta. 

Pengendali takaful diamanahkan mengurus dana terkumpul dari ahli, termasuk melaburkannya untuk tujuan mendapat keuntungan dan menyediakan dana yang cukup untuk membantu ahli mengalami kecelakaan.

Balasan atau upah kepada pengendali takaful diambil daripada lebihan kumpulan wang takaful, fi wakalah, keuntungan pelaburan kumpulan wang pemegang saham dan bahagian keuntungan pelaburan kumpulan wang takaful.   

Kontrak Berasas Syariat.  Di Malaysia, kontrak takaful di antara pengendali (syarikat takaful) dengan peserta (pemegang polisi takaful) dimeterai berasaskan sama ada kontrak wakalah atau kontrak Mudharabah. 

Berdasarkan kaedah wakalah, syarikat dilantik oleh peserta untuk menguruskan perlindungan takaful serta perkara lain. Manakala peserta pula membayarkan fi sebagai upah di atas perkhidmatan diterima. Kaedah ini paling banyak diamalkan di Malaysia.  

Mudharabah pula berkonsepkan pembahagian keuntungan pelaburan, yang mana para peserta melantik syarikat takaful menguruskan perlindungan  dan perkara lain yang berkaitan. 

Aktiviti Pematuhan Syariat.  Dana yang dikumpul dari ahli dilaburkan bagi menjana keuntungan untuk diagihkan kepada ahli ditimpa bencana. Lebihan daripada agihan itu pula dianggap sebagai untung yang dikongsikan bersama dengan ahli dan syarikat pengendali takaful.  

Untuk memastikan keuntungan yang dijana itu halal, maka ia dilaburkan di dalam aktiviti yang memenuhi pamatuhan syariat dan memberi pulangan perkongsian untung kepada

Produk Memenuhi Keperluan Ummah.  Dalam tempoh 28 tahun diperkenalkan di Malaysia, industri takaful telah mencapai kemajuan memberangsangkan.  

Produk ditawarkan memenuhi keperluan segenap lapisan masyarakat. Ia satu perkembangan yang baik. Produk ditawarkan setanding insurans konvensional. Maka, bagi umat Islam yang inginkan sesuatu mematuhi syariah pasti memilih takaful.   

Tidak dinafikan, produk takaful sebenarnya diceduk daripada apa ditawarkan oleh insurans konvensional. Apa yang beza ialah pengendaliannya dari segi akad dan perkara lain yang berkaitan memenuhi pematuhan syariah. Justeru, apa ditawarkan oleh insurans konvensional, maka ia juga ditawarkan oleh takaful.  

Bermula dengan produk asas, kini rantaian produk takaful telah berkembang memenuhi keperluan ummah sesuai dengan tuntutan dunia hari ini. Produk takaful merangkumi berkaitan dengan perlindungan harta benda, pendidikan, simpanan, perubatan, pelaburan, kesihatan dan sebagainya. 

Biarpun berdepan cabaran pemain industri insurans konvensional yang telah lama bertapak, modal besar dan global, industri takaful di Malaysia tetap menunjukkan pertumbuhan memberansangkan.

No comments:

Post a Comment