Sunday 15 January 2017

Asas utama akidah Islam

Syariat Islam dibina atas asas akidah yang benar kepada Allah, serta pengabdian diri kepada-Nya. Hakikat ini bertepatan dengan tujuan penciptaan manusia.  

Firman Allah dalam surah Adz-Dzariyat ayat 56 yang bermaksud: "Dan Aku tidak menciptakan jin dan manusia melainkan supaya mereka mengabdikan diri kepda-Ku."

Oleh itu, perlaksanaan syariat Islam adalah sebahagian daripada asas keimanan dan tuntutan tauhid. Justeru setiap perbuatan manusia diberikan pembalasan baik dan buruk, sesuai dengan tahap-tahap pembalasan yang telah dijelaskan dalam al-Quran dan hadis. 
           
Keimanan kepada Allah adalah asas utama akidah Islam. Percaya adanya Allah dan kekuasan-Nya menjadi teras untuk manusia mengikuti syariah agama. Mana mungkin seseorang itu mematuhi sesuatu peraturan yang ditetapkan, sedangkan dia tidak mengenali dan tahu yang berkuasa menetapkan peraturan itu.

Sesungguhnya, bagi manusia berfikiran waras tidak sukar untuk menerima kewujudan dan kekuasan Allah. Perhatikan alam semesta itu yang cukup kompleks penciptaannya. Semua ini tentu dicipta oleh Maha Berkuasa, termasuklah mencipta manusia. 

Firman Allah dalam surah Ibrahim ayat 10 bermaksud: "Patukkah berlaku sebarang syak tentang wujudnya Allah, Tuhan yang mencipta langit dan bumi."

Bumi dan seluruh isinya telah berusia berjuta-juta tahun. Namun, sistem peredaran dan aktiviti alam berjalan dengan teratur. Hal ini membuktikan ia hanya ditadbir dan diuruskan oleh satu kuasa tanpa berkongsi. Tiada pihak lain perlu diambil pandangan atau bantuan untuk menguruskan perjalanan dunia ini.

Perkara ini dijelaskan melalui firman yang bermaksud: "Kalau ada di langit dan di bumi tuhan-tuhan yang lain dari Allah, nescaya rosaklah pentadbiran kedua-duanya. Maka (bertauhidlah kamu kepada Allah yang menegaskan: Maha Suci Allah, Tuhan yang mempunyai Arasy dari apa yang mereka sifatkan," - (Surah al-Anbia, ayat 22)

Berdasarkan dalil al-Quran, hadis dan akal lojik, tiada syak lagi di sebalik penciptaan alam semesta ini adanya Maha Pencipta iaitu Allah. Sebagai penguasa, Allah berhak menentukan apa yang perlu dilakukan oleh hamba-Nya. Satu-satunya syariat yang diterima di sisi Allah adalah Islam. Sesiapa yang memilih selain Islam sebagai cara hidup, maka dia ingkar pada perintah Maha Berkuasa.

No comments:

Post a Comment